BAB 7

1.6K 112 35
                                    

DIA memegang tepi abdomen. Boleh terasa cecair likat yang keluar di celah-celah jarinya. Banyak sekali. Tidak henti-henti. Tetapi, dia tetap cuba berdiri. Tetap cuba bertahan. Kedua-dua biji matanya masih tegak mencerlung ke hadapan, di sebalik darah yang meleleh-meleleh memenuhi muka.

"Pastikan dia mati."

Telinga dia mendengar arahan itu. Serta-merta, dia membawa tubuhnya ke dalam gaya bersedia. Perutnya dilepaskan. Tangannya diangkat ke depan, membentuk penumbuk. Boleh terlihat betapa merahnya tangan itu. Berlumuran darah. Kakinya terasa longlai, tersendeng-sendeng ke tepi. Hampir jatuh. Pandangan matanya juga ternampak semakin berbalam-balam. Dia cepat menggerakkan kepala ke kiri kanan, cuba menarik pandangannya semula. Biar boleh nampak mereka yang semakin mendatang.

Laju dan semakin dekat.

Zup! Desing angin lalu di sebelah telinganya. Datang daripada tendangan yang hampir mengenai mukanya. Yang sempat dia elak. Tangannya kemudian naik. Menumbuk orang yang penyerangnya tadi. Tepat mengenai bawah rahang.

Tetapi...

Dia pula yang menyenget ke kiri. Hampir tumbang, kalau tidak kerana dia cepat-cepat memaku kaki ke lantai.

Namun...

Buk! Kepalanya terangkat ke atas. Rahangnya terasa pecah. Darah bersembur keluar dari rongga hidung dan mulut. Kedua-dua kakinya juga terundur ke belakang beberapa tapak. Pada masa yang sama, belakangnya pula terasa dihentak. Telinganya seperti dapat mendengar bunyi patahnya tulang.

Dia terlempar ke tanah. Belum sempat dia mengangkat kepala, perutnya pula menjadi mangsa. Disepak berkali-kali. Tanpa henti. Dia mengerekot badan, cuba melindungi diri dengan sedikit tenaga yang masih bersisa.

"Berhenti."

Suara yang sama itu, sekali lagi memberi arahan. Segala tendangan dan serangan mati serta-merta. Dia membebaskan diri daripada mengerekot, dan meletak telapak tangan ke atas tanah. Dengan sedaya upaya, dia cuba mengangkat tubuh. Terjelepok semula hanya selepas sesaat.

Dia mencuba lagi. Tangannya terketar-ketar, antara menahan sakit dan menampung badan. Separuh tubuhnya naik ke atas semula. Sedikit-sedikit, bersama darah yang menitik-nitik ke atas lantai. Kemudian, dia mengangkat kepala. Merenung ke hadapan, walau tidak berapa nampak, dek cecair likat merah lagi hanyir yang penuh di seluruh mukanya.

Dia melihat. Orang itu datang. Dekat dan semakin dekat. Sampai depan-depan, orang itu menunduk kepala.

Mereka bertentang muka.

"Kau tak patut muncul." Telinganya mendengar.

Orang itu menegakkan semula badan dan berjalan pergi. Setapak-setapak, hingga sampai ke sebuah kereta. Pintunya dibuka dari dalam. Orang itu masuk. Pintu kembali bertutup.

Dan kemudian...

Buk! Kepalanya terpusing ke sebelah. Darah bersembur lagi. Tubuhnya sekali lagi menjadi habuan. Disepak, diterajang, dipukul.

Tetapi kali ini, dia tidak lagi cuba bertahan. Tidak lagi cuba melawan. Tidak lagi berusaha melindungi diri. Dia sudah tidak mampu. Sudah tidak berdaya. Lalu, yang tertinggal untuk dia buat hanyalah membiarkan seluruh tubuhnya jatuh terhempap semula ke atas lantai. Terbaring di situ. Menerima semuanya, sebelum sedikit-sedikit dia mengatup mata.

Di akhir pandangannya, ada seorang lelaki.





"KAU dah busuk."

"Huh?" Wolf terpanar.

"Badan kau melekit," ucap Phoenix. Tangan Wolf ditepis ke tepi. Tangan sendiri yang sedari tadi melekat atas dada kiri Wolf pula diangkat. Tetapi sepantas itu, Wolf memegang pergelangan tangannya dan melekapkan semula jari-jemarinya atas dada.

Phoniex mengerutkan dahi dan menaikkan anak mata. Melihat lelaki itu.

"I didn't see that coming from you." Wolf mengaku jujur.

"What?"

"Dalam keadaan sekarang, bau busuk aku yang kau peduli." Hampir Wolf tergelak dengan bicara sendiri. Tetapi, dia cepat-cepat membuat muka serius semula. Apatah lagi, bila melihat Phoenix mengukir senyuman sinis.

"Habis tu, nak aku pedulikan apa yang kau cakap tadi? Kau sendiri yang cakap, kan, semalam?"

"Apa?" Wolf bermain soalan, walhal dia dapat meneka apa yang bakal keluar dari bibir Phoenix yang dekat depan matanya itu.

"Kalau kau tanya apa-apa, aku cuma akan berbohong. Akan menafi. Akan menutup mulut. Jadi, apa kata kita jangan bazirkan air liur kita, masa kita dan tenaga kita daripada bercakap pasal tu?"

Tidak dapat menghalang diri kali ini, bibir Wolf bergerak sendiri. Membentuk senyuman segaris. Phoenix baru sahaja memulang paku buah keras kepadanya. Itu yang dia tuturkan semalam, itu yang dia dapat hari ini.

Langsung, Wolf menjongket bahu ke atas.

"You're right. Kita tak perlu bazirkan semua tu." Dia menyetujui saranan Phoenix, merangkap saranannya sendiri.

Phoenix menatap ke matanya, dalam-dalam. Bibirnya juga mengulum senyuman yang nampak sangat olok-oloknya.

"Now..." Phoenix melebarkan senyuman palsunya. "Will you please let me go?"

Wolf mengetatkan lagi pegangan di belakang pinggang isterinya.

"Try me." Dia mencabar.

Tidak sampai seminit kemudian...

Bum!

Bergegar lantai rumah dengan seorang lelaki besar yang baru sahaja dipijak kakinya, ditumbuk perutnya, diangkat tubuhnya ke atas bahu dan kemudian, dihempas ke atas lantai.

"Phoenix!" Wolf terjerit seraya mengangkat tubuhnya dari lantai. Kepalanya terngadah melihat isteri yang sedang berdiri memandangnya. Dengan muka yang tersangatlah selamba.

"What? Aku cuma menyahut cabaran kau." Tutur katanya juga tersangatlah selamba.

Wolf tersenyum halus.

"Tak payah senyum-senyum. Bangun, pergi mandi. Kita kena sampai ke ibu pejabat tepat pada masanya," sergah Phoenix.

Wolf bangkit dari lantai, sambil tangan menggosok-gosok pinggang. Tidaklah sakit tubuhnya. Apalah sangat 'serangan' tiba-tiba Phoenix itu? Sekadar rasa macam digigit semut!

"Cara kau bercakap macamlah kau yang jadi ejen untuk The Shadow." Dia mengejek.

Phoenix menjongket sebelah kening ke atas.

"Kau dah lupa? Aku nak gunakan kau orang semua." Dia juga menjawab dengan gaya mengejek.

Wolf mendekati isterinya. Sampai depan-depan muka, dia menyengetkan bibir dan turut mengangkat sebelah kening ke atas.

"Then, dipersilakan. Gunakan aku... semahu kau." Dia menjawab.

Phoenix membungkam. Tidak berkata apa-apa. Tetapi seperti selalu, wanita itu melawan matanya dengan berani. Wolf menyengetkan lagi bibirnya, sengaja menunjuk rupa tidak peduli dengan apa yang dikata oleh Phoenix dan apa yang cuba dibuat olehnya. Sesudah itu, dia bergerak ke tepi dan berjalan melepasi Phoenix.

Sebaik membelakangi...

Wolf mematikan senyum sengetnya. Kedua-dua matanya diangkat tegak ke hadapan. Kosong. Dingin. Tajam.

Kau tak mahu buka mulut... tak apa, Phoenix. Kau mahu berahsia, juga tak apa. Tetapi mereka yang sudah menyentuh kau... aku akan hapuskan mereka.

~ Bersambung...~

Sara says:

Wolf yang garang is back!! 😏😏🔥🔥
See you tomorrow.

Love, SA

CODE NAME WOLF (Published)Where stories live. Discover now