SEKALI. Dua kali. Berkali-kali. Wolf mengangkat tubuhnya dengan telapak tangan. Peluh menitis-nitis dari dahinya, wajahnya, dadanya... jatuh ke atas lantai. Dia meneruskan lagi, bersama nafas yang semakin lama semakin berdesah. Urat-urat menimbul di lengannya, perutnya dan belakangnya. Otot-otot mula terasa sakit, tetapi dia membiarkan sambil matanya tegak memandang ke hadapan. Kedua-dua biji matanya tampak memerah, di celah-celah peluh yang merenik.
Lebih setengah jam...
Wolf menjatuhkan tubuh ke bawah dan memusing badan. Terbaring dia di situ. Melihat siling, seperti semalam. Dadanya turun naik, menghela dan menghembus nafas. Segenap otaknya penuh dengan segala perbualan antara dia, Cobra dan Shark.
Usai mendapat kesimpulan bahawa Black Diamond Group ialah pemegang kunci kepada kehilangan Phoenix, mereka bercakap-cakap lagi. Lebih banyak yang dia tahu daripada Cobra. Lebih banyak juga yang dia tahu daripada Shark. Semuanya berkaitan dengan arahan yang diberi oleh Puan Ana Maria. Semuanya serta-merta juga berkaitan dengan Phoenix.
Benar, di antara Phoenix dan Black Diamond Group, ada yang mengikat mereka.
Wolf menunggu beberapa minit lagi, sambil terus menghela dan melepas nafas. Bukan setakat kerana nafasnya yang semakin putus dek push up yang dilakukan, tetapi juga kerana dia mahu menarik ketenangan ke dalam jiwanya.
Biar dia boleh terus berhadapan dengan Phoenix.
Usai merasakan diri sudah lega, Wolf bangun dari perbaringan. Tubuhnya juga diangkat berdiri. Terkaku sejenak dia di situ.
Di hujung sana, tidak jauh dari bilik tidur Phoenix, kelihatan wanita itu sedang tercegat. Memandang dia, dengan riak muka yang kosong sukar dimengerti. Wolf buat tidak peduli dan bergerak menghampiri kerusi berdekatan. Tuala kecil yang tergantung di situ, dia capai. Hujungnya dibuat mengelap leher dan dada yang tidak berlapik seurat benang.
Phoenix tetap berdiri di sana. Memerhati dia.
"Tangan kau..." Wanita itu menegur.
Ekor mata Wolf bergerak kepada telapak tangan dan jari-jemari yang masih berbalut. Boleh ternampak kesan darah yang menempel di kain putih. Wolf meletak semula tuala kecil ke atas kerusi dan mencabut kain pembalut dari tangannya. Kemudian, dia melemparnya ke tepi. Kain berdarah itu dibiarkan tersadai atas lantai.
Tanpa menghiraukan Phoenix, dia mengangkat kaki ke arah peti ais. Pintunya dibuka. Sebotol air sejuk ditarik keluar, diputar penutupnya dan dibawa ke bibir. Dia mendongakkan kepala dan meneguk airnya masuk ke tekak. Halkumnya bergerak atas bawah. Titis-titis air sejuk jatuh dari celah mulut dan menuruni leher. Wolf biarkan begitu sahaja. Matanya separa terkatup, menikmati segarnya rasa.
Puas, dia menjatuhkan semula botol dari mulut dan mengatup pintu peti ais. Kepalanya dipusing, melihat isteri yang masih berdiri di sebelah sana.
"Kau memang nak tercegat saja tengok badan aku ke apa?" Dia menyergah.
Phoenix tersentak, sebelum cepat-cepat berdehem dan membuat muka selamba. Senget bibir Wolf melihatnya.
"Kau memang betul-betul buat rumah aku jadi macam rumah kau, kan?" Phoenix memerli.
"Rumah kita." Wolf membetulkan, sambil bergerak menghampiri Phoenix.
"Aku dah cakap, kan? Aku pindah masuk ke rumah ni. So obviously, rumah ni dah jadi rumah kita," sambung Wolf.
Dia kini sudah sampai betul-betul di hadapan Phoenix.
Kepala Phoenix automatik terngadah menatap dia yang lebih tinggi. Kepala Wolf sedikit tunduk mahu menyamai pandangan mata isterinya.

ESTÁS LEYENDO
CODE NAME WOLF (Published)
AcciónHIGHEST RANKING: #1 in secretagent (11/2/2021) #1 in suspense (11/2/2021) #2 in novelfiksyen (11/2/2021) #3 in action-thriller (12/2/2021) ••• NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: 2021. BLACK OPERATION Objektif: Menjatuh...