Part 1

6K 61 3
                                    


Mesyuarat yang aku hadiri tamat sebelum azan Maghrib. Cepat-cepat aku melangkah keluar dari pejabat. Waktu-waktu kemuncak dari tempat kerjaku di sekitar Jalan Ampang ke rumah orang tuaku di Bangi mengambil masa terlalu lama. Sedangkan di hujung minggu, aku mampu sampai di rumah orang tuaku dalam masa 30 minit sahaja.

Jam sudah hampir ke pukul 9.00 malam. Namun aku masih berada di jalan raya, di celah-celah kesesakan lalu lintas. Apa nak dikatakan, cari makan di tengah-tengah kota metropolitan, hadap jelah. Lima belas minit kemudian, barulah aku sampai di hadapan rumah orang tuaku.

Timbul rasa pelik di hati. Tiba-tiba sahaja mama dan papa beriya-iya suruh aku pulang ke rumah. Macam ada yang tak kena? Katanya, ada sesuatu yang mahu dibincangkan. Apa yang mahu dibincangkan sebenarnya? Apakah perkara yang mahu mereka bincangkan ada kena-mengena dengan diriku? Memandangkan aku satu-satunya anak perempuan dalam keluarga dan merupakan anak bongsu apatah lagi masih belum berkahwin.

Walau apa pun aku mesti pulang awal. Aku masih ada ummi yang tinggal bersamaku dan amat takut jika dibiarkan tinggal keseorangan sehingga larut malam. Harap-harap perbincangan nanti akan cepat-cepat berakhir.

Kini aku sudah berada di depan pintu rumah orang tuaku. Salam diberi namun tidak ada orang yang menjawab. Suasana sepi bila aku melangkah masuk. Namun akhirnya terdengar jua salamku disambut dan wajah pembantu rumah muncul dari arah dapur.

Bibik Risma sudah lebih 10 tahun bekerja dengan keluargaku. Setia dan tidak pernah pulang ke tanahairnya di Indonesia selama itu. Menurutnya, dia hanya sebatang kara. Tidak beribu dan tidak berbapa. Malah loghat Indonesia juga sudah terkubur dan kini fasib berbahasa Melayu.

"Ingatkan nak balik hujung minggu ni. Tapi mama beriya-iya telefon suruh An balik," ujarku bersahaja sambil melabuhkan tubuhku di salah sebuah sofa di situ.

"Tak bawa ummi sekali ke?" tanya Bibik Risma lagi sambil terjengah-jengah kepalanya ke pintu masuk.

"An dari tempat kerja bik. Mana sempat nak ambil ummi, kemudian nak datang sini lagi. Jalam jem teruk bik," getusku perlahan.

Bibik Risma tersengih.

"Anje? Dah lama sampai?" Suara mama kedengaran dari tingkat atas, terburu-buru menuruni anak tangga mendapat kan aku.

Aku terus mengalihkan ke arah tangga.

"Kenapa tak panggil mama, Anje dah sampai?" tanya mama. "Awak pun satu bik. Kenapa tak panggil saya?"

Mata mama beralih pada Bibik Risma pula.

"Anje baru sampai puan. Kerusinya pun belum panas lagi," keluh Bibik Risma sambil menggeleng bosan.

"Ada je jawabnya!" getus mama sambil menjeling memandang pembantu rumahnya yang melangkah semula ke dapur.

Aku lihat suasana sekeliling seketika. Sejak angah, panggilanku pada abangku yang nombor dua berpindah ke rumah baru, suasana semakin tenang, semakin sepi. Jika tidak, rumah ini tidak pernah sepi melainkan waktu tidur. Anak-anak angah dua orang, iaitu Aiman dan Suraya sentiasa memeriahkan suasana rumah teres dua tingkat ini.

Angah tinggal bersama mama dan papa sejak mereka berkahwin lima tahun lalu. Tiga tahun kemudian, sebaik sahaja tok wan meninggal dunia, aku diwasiatkan untuk menjaga ummi dan sekaligus kondo tempat tinggal mereka menjadi milikku. Aku nekad tinggal bersama ummi di Kondo Mutiara Plaza itu, memandangkan tempat kerjaku tidak jauh dari situ.

Rumah ini perlukan ruang untuk mama dan papa, serta angah dan isterinya serta dua orang anaknya. Kerana itu, aku mengalah. Tambahan ummi yang turut tinggal bersama kami sejak kematian suaminya yang aku panggil ayah Su dan juga satu-satunya anak mereka akibat kemalangan jalan raya, membuatkan aku melihat suasana tidak berapa ideal untuk kami semua tinggal di rumah teres dia tingkat itu bersama ahli keluarga yang lain.

Terima Kasih Cinta Where stories live. Discover now