Part 2

3.2K 47 7
                                    

Kondo Mutiara Plaza mula sunyi sepi apabila sudah memghampiri tengah malam. Aku kini sudah berada di hadapan kondo kediamanku. Jam di tangan tepat menunjukkan sepuluh minit lagi ke pukul 12.00 tengah malam.

Sebenarnya, sudah lama aku mahu balik. Risaukan ummi keseorangan di rumah. Tapi kesungguhan mama yang tidak putus-putus memujukku untuk menunaikan hasratnya untuk menerima Ustaz Ali memaksaku lebih lama berada di rumah orang tuaku. Biarpun papa sudah masuk ke bilik, hanya tinggal aku dengan mama, namun ianya tetap tidak mampu melepaskan diriku dari orang tuaku itu.

Apalah yang mereka nampak pada Ustaz Ali itu? Tiada apa yang menarik perhatianku untukku dekati dirinya. Apatah lagi untuk membuat hatiku terpikat.

Hanya keperibadiannya yang merendah diri dan baik belum cukup membuat jiwaku menari-nari.

Sungguh. Aku tidak lihat sebarang faktor yang luar biasa untuk menjadikan dirinya istimewa dalam hidupku.

Namun salahkah aku memilih mencari yang terbaik di antara terbaik? Kerana itu jodoh terlalu sukar untuk menghampiriku?

Tidak semena-mena; aku ketawa kecil.

Aku tidak pernah menganggap diriku ini cerewet, mahupun terlalu memilih. Tetapi adalah lebih baik memilih dari langsung tidak memilih, takut akhirnya aku juga yang jadi mangsa kecewa, sakit hati. Silap-silap, maruahku dipijak-pijak sesuka hati. Sepertimana aku dengan Razman.

Lelaki yang aku harapkan menjadi pelindung, tetapi dia sendiri tidak mampu melindungi dirinya dari keluarga!

Ketawaku masih bergema perlahan di ruang legar kondo di tingkat kediamanku berada. Ah! Pasti pemilik-pemilik yang mendengar ketawaku nanti memikirkan ada hantu yang mengilai. Namun ternyata aku rasa sungguh lucu bila memikirkan kembali hal mama dan papa yang menginginkan Ustaz Ali sebagai menantu mereka.

Gila ke apa?

Saat aku melangkah keluar dari lif untuk menuju ke pintu rumahku, ketawaku terhenti. Terdengar tangisan anak kecil entah dari mana.

Sungguhkah itu tangisan? Di tengah malam? Mendayu-dayu pula tangisannya.

Aku melihat jam di pergelangan tangan. Pukul 11.59 tengah malam.

Serta-merta bulu romaku meremang. Tengkukku rasa dingin sekali. Pantas aku mempercepatkan langkah. Namun semakin cepat kaki melangkah, semakin kuat tangisan itu kedengaran.

Ya ALLAH! Ini tak boleh jadi. Pantas aku membaca ayat Kursi, al-Fatihah, surah-surah yang aku ingat dalam waktu terdesak ini. Aku sudah tidak mampu berfikir. Aku mahu selamat. Aku mahu cepat sampai. Bukan bertembung dengan makhluk ALLAH yang menangis nyaring dan semakin dekat di telinga ini.

Sebaik sahaja menghampiri pintu rumah milikku, tangisan itu semakin jelas di telinga. Dan ketika itulah mataku terpandang sekujur tubuh anak kecil perempuan sedang menangis di hadapan pintu gril rumah mereka. Duduk sambil merapatkan kedua-dua lututnya di dada, dirinya hampir tidak kelihatan di sebalik rak kasut di rumahnya. Di mana ibu bapanya pergi? Takkan tak ada seorang pun jiran sedar anak kecil ini menangis di pintu rumah mereka yang terbuka luar tanpa pengawasan?

Pintu rumah anak kecil ini, betul-betul berhadapan dengan pintu rumahku.

Oh! Baru aku teringat. Ummi ada memberitahuku dia hari lalu, ada orang baru pindah masuk di situ. Tapi di mana ibu bapanya? Kenapa dibiarkan anak sekecil itu menangis keseorangan di tengah-tengah malam begini?

Tidakkah ibu bapanya mendengar tangisan anak mereka? Atau saja-saja mereka biarkan anak ini menangis kerana sudah tidur mati? Tidak baik membiarkan anak itu menangis sendirian begini.

Aku jadi serba-salah. Jika dibiarkan pasti aku dicop sebagai jiran tidak bertanggungjawab. Tapi jika aku ambil berat pula, silap-silap aku dituduh suka mencampuri urusan rumah tangga orang.

Terima Kasih Cinta Donde viven las historias. Descúbrelo ahora