Prolog

667 75 11
                                    

TAHUN 2010

MATA Ara automatik terbuntang tatkala membaca setiap patah perkataan yang tertera pada kertas yang dipegangnya. Selepas itu, sepantas kilat dia pandang ke arah Amir. Terkejut.

          “Seriuslah, Mir?”

Senyuman Amir melebar sehingga ke telinga. Dia menganggukkan kepala sebagai balasan.

          “Mir… Aku rasa nak nangis.”

          “Eei. Mengada-ngada.” Nak tergelak Amir melihat Ara yang sedang menyapu air mata olok-oloknya menggunakan jari. Overlah kawan baik dia yang sorang ni. Tak sah kalau tak berdrama.

          “Tahniah, Mir. Aku bangga sangat dengan kau,” ujar Ara penuh ikhlas. Ibu jarinya dinaikkan kepada Amir yang sedang duduk di sebelah. Tanda thumbs up.

Amir sekadar senyum. Pandangan dibuang jauh ke arah langit yang sedang terbentang luas di atmosfera.

Cantik. Selepas ini, tak bolehlah mereka lepak-lepak lagi di depan rumah Ara sambil menikmati keindahan alam. Tak dapatlah nak sembang-sembang sambil berkelah di atas pondok dengan makanan yang Ara hidangkan.

          “Aku macam tak percaya tau. Tak sia-sia kau belajar sungguh-sungguh untuk SPM. Sampai aku ajak memancing pun kau tak nak. Padahal memancing tu aktiviti favourite kita,” sambung Ara lagi. Kali ini dia betul-betul rasa sedih bila terkenangkan usaha-usaha Amir sewaktu nak dekat peperiksaan besar itu.

Dalam masa yang sama, dia juga sedih mengenangkan Amir yang sudah 18 tahun berada di sisinya bakal meninggalkannya dan menyambung pelajaran ke luar negara.

          “Ara.” Perlahan, Amir menyeru. Mata masih tunak memandang hamparan berwarna biru di atas kepala.

Ara kalih ke sebelah kanan.

          “Macam manalah agaknya nanti.”
Dahi Ara berkerut. “Huh? Macam mana apa?”

          “Macam mana aku nak hadap 4 tahun lebih tanpa kau?” luah Amir dengan perasaan yang berat. Kepala ditelengkan ke arah Ara. Mata mereka saling bersabung, berkongsi rasa yang sedang terbuku di dada.

Ara Adelia. Seorang perempuan yang telah mengambil tempat spesial di hati Amir selain ahli keluarganya. Dia la sahabat, dia la keluarga, dia la buah hati.

Ara diam seribu bahasa. Tak tahu nak bagi jawapan apa. Sebab dia juga inginkan jawapan itu.

Bagaimana Ara ingin hadap hari-harinya tanpa Amir? Sedangkan daripada kecil sehingga ke besar, lelaki itulah yang setia berada di sisinya selain umi dan abah.

Ya, dia anak tunggal. Sebab itulah Amir sangat berharga pada Ara. Dia cuma ada Amir sebagai tempat luahan. Selain abah, Amir la lelaki yang paling Ara sayang.

Sebuah senyuman Ara paksa juga untuk keluar.

          “Kita cuba okey?” Ara hulurkan buah tembikai dari dalam mangkuk kepada Amir.

Amir pandang tembikai itu kemudian dia pandang Ara balik. Terlepas tawa kecilnya. Ara turut sama ketawa walaupun tak tahu apa yang kelakar.

          “Kau tahu tak kau ni comel? Kenapa tiba-tiba bagi tembikai? Nak pujuk hati aku la kononnya?”

Tanpa segan silu Ara menjatuhkan kepala sekali, tanda mengeyakan.

          “Yalah. Supaya nanti takde la kau sedih sangat.”

          “Eleh! Cakap aku pulak. Kau tu tak sedih ke?”

          “Kenapa pulak aku nak sedih? Kau kan nak sambung belajar. Nak kejar cita-cita kau untuk jadi pelukis terkenal suatu hari nanti. Kau pergi pun demi masa depan kau. Daripada aku sedih, baik aku tumpang gembira untuk kau.” Tangan bertindak mencapai lagi sepotong tembikai di dalam mangkuk. Berguna juga umi suruh dia hidangkan tembikai dekat Amir tadi. Dapatlah buat hilang sedih bila jamah buah.

Biasa petang-petang begini, memang rutin Ara dengan Amir la melepak sambil berkelah. Tak berkelah, memancing. Itu je la kerjanya.

          “Serius? Takkan kau langsung tak sedih aku nak tinggalkan kau?” Soalan Amir buat Ara rasa nak hempuk kepala lelaki itu dengan mangkuk. Mangkuk buah ada di tengah-tengah antara mereka je ni. Jangan sampai Ara buat betul-betul.

Janganlah tanya macam tu. Daripada nak buang rasa sedih jauh-jauh automatik perasaan tu datang balik.

           “Ish! Yalah-yalah. Sedih tu sedih la jugak. Tapi, aku tumpang happy untuk kau. Sebab apa yang kau nak, kau dah berjaya dapatkan. Jangan sia-siakan peluang ni tau, Mir. Belajar rajin-rajin sampai kau graduate. Lepas tu dapat kerja bagus-bagus bolehlah halalkan aku,” usik Ara dengan selamba. Memang dia tak malu pun cakap ayat-ayat manis begini dengan Amir. Sebab dia tahu mereka suka sama suka. Sejak sekolah menengah lagi perasaan itu semakin bercambah.

          Dah macam kerang busuk Amir tersengih-sengih. “Mestilah! Aku kan dah janji dengan kau. Walaupun kita tak bercinta macam orang lain, tapi aku betul-betul sayangkan kau. Lebih daripada seorang kawan. Dan, aku pun tahu kau sayangkan aku, kan?”

          Mencerun anak mata berwarna hazel Ara memandang Amir. “Dah tahu tu kenapa tanya lagi? Sengaja eh!”

Mereka sama-sama menghambur tawa selepas itu. Menghabiskan sisa-sisa hari yang ada sebelum momen ini tidak dapat dicipta lagi.

          “Ara,” seru Amir sekali lagi. Ara setia memandang, menanti Amir yang sepertinya ingin membicarakan sesuatu yang penting.

          “Jangan lupakan aku.”

          “Mir… kenapa cakap macam tu? Bukannya kita takkan jumpa sampai bila-bila, kan? Kalau cuti panjang, kau baliklah sini. Jumpa aku, jumpa ibu. Boleh ajak Abang Man balik Malaysia sekali. Dah lama sangat dia kerja dekat sana. Tapi, bagus jugaklah. Boleh tengok-tengokkan kau nanti,” balas Ara panjang lebar. Makin dia renung mata Amir, makin hatinya sayu.

Kenapa Amir nampak sedih sangat? Macam nak tinggalkan Ara sampai bila-bila. Lelaki itu sepatutnya gembira sebab dapat sambung belajar ke luar negara dengan keputusan SPMnya yang cemerlang. Tak semua orang dapat rasa peluang keemasan begini.

          “Sebenarnya…”

          “Kenapa? Kau ada masalah ke?”

          “Abang Man suruh ibu pergi sana sekali. Tinggal dengan dia. Senang nak jenguk aku. Lagipun, takde orang yang boleh tengok-tengokkan ibu dekat sini. Jadi, aku tak boleh janji bila lagi kita boleh jumpa. Sebab tu aku sedih sangat.”

Lama Ara diam mendengar luahan jujur itu. Melihat Amir menunduk, dia juga turut berbuat benda yang sama.

Mampu ke dia? 18 tahun dia membesar dengan Amir. Dah la berjiran, daripada tadika sampai ke sekolah menengah pun sekelas. Boleh dikatakan mereka tak pernah berpisah lama-lama.

          “Takpe, Mir. Aku yakin. Kalau kita ada jodoh, Insya-Allah suatu hari nanti kita akan dipertemukan semula. Cuma, kau kena janji dengan aku.”

          “Janji apa?”

          “Jaga diri dan jaga hati. Untuk aku… untuk kita. Kau tahukan aku sayangkan kau, Mir?”

          “Aku pun sayangkan kau, Ara.”

Stuck With You ©Where stories live. Discover now