"Sarah. Aku tak sure sama ada patut atau tak untuk aku cakap begini tapi apa-apapun tahniah. Kau dah jadi tunangan orang." Khadijah memeluk sisi badan Sarah. Sarah mengulum senyum untuk Khadijah.
Baru sahaja berakhir majlis Datin Paduka Juwita Lawias menyarungkan cincin emas belah rotan di jari manis tangan kanan Sarah. Majlis tersebut hanya berlangsung secara kecilkecilan. Kedatangan ibu bapa Dr. Taufiq yang berasal dari Semporna, Sabah itu disambut dengan keluarga kecil milik Sarah beserta saudara-maranya. Hanya Khadijah sahaja menjadi teman Sarah waktu ini memandangkan Zahra duduk jauh di pantai timur tanah air.
"Terima kasih Khadijah. Susah-susah kau teman aku. Merewang pun kau juga. Kau tunang nanti ingatkan aku untuk buat benda yang sama tau." Sarah mengusik Khadijah. Dia dapat mengagak jawapan yang akan dilontarkan gadis itu sebentar nanti.
"Kau kalau kena ketuk dengan aku kang Sarah, tak sempat pula nak bergelar bini Dr. Taufiq. Apa benda yang susahnya? Aku duduk dua jengkal je dari rumah kau. Bab merewang tu aku bukan buat apapun. Tolong mak kau masak sikit-sikit je. Ayat kau yang terakhir tu aku simpan masuk poket." Khadijah membalas geram. Manakan tidak, sepanjang dua hari dia menetap di rumah Sarah yang sudah menjadi rumah keduanya sejak mereka berada di zaman asasi lagi; Sarah tidak habishabis berterima kasih padanya.
"Tapikan, aku tak sangkalah mak Dr. Taufiq tu asalnya orang Sabah. Patutlah Dr. Taufiq ada gaya-gaya orang Borneo sikit. Sekarang baru aku perasan dia ada telo Sabahan sikit kalau bercakap." Sarah mengangguk mengiyakan bicara Khadijah.
Masih dia ingat beberapa hari lepas ibunya mengirimkan pesan melalui Whatsapp bahawa mereka mengambil keputusan untuk menerima risikan Dr. Taufiq. Ibu bapanya juga menetapkan hari ini; seminggu selepas risikan tersebut sebagai tarikh pertunangan mereka berdua. Apabila ditanya mengapa ambil masa yang agak lama untuk majlis pertunangan mereka dijalankan, ibunya memberitahu bahawa keluarga Dr. Taufiq di Sabah gagal menemui tarikh lain yang terdekat di mana mereka mampu meluangkan masa. Siapa sangka, ibu dan bapa Dr. Taufiq menguruskan syarikat perkapalan milik mereka sendiri.
"Patutlah aku tengok Dr. Taufiq tu lain sikit gayanya. Orang berada rupanya. Untunglah kau Sarah. Dahlah Dr. Taufiq tu ada rupa, berilmu, beragama. Berduit pula tu. Lepas ni dah kaya jangan lupa aku." Tangan Sarah mencubit sedikit peha kiri Khadijah yang sudah mengekek ketawa. Ada-ada sahaja sahabatnya itu.
"Khadijah." Sarah bersuara serius. Senyuman Khadijah mati. Dia seperti dapat membau aksara yang bakal dituturkan oleh Sarah.
"Jadi kaya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Jujur aku cakap, aku takut kalau dihidangkan dengan harta yang bertimbun. Aku takut nafsu aku waktu itu menelan kewarasan aku sendiri. Aku takut perbelanjaan aku menambahkan beban aku dalam proses hisab di Mahsyar nanti." Khadijah mendengar dengan tekun.
"Kau pernah dengar tentang ceramah berkaitan harta dan Alam Akhirat, Khadijah?" Sarah bertanya.
"Pernah, tapi aku tak berapa ingat sangat. Yang aku ingat ada ustaz pernah beritahu, hati-hati pada orang kaya. Tak ramai orang kaya dalam syurga." Sarah tersenyum bangga menatap Khadijah. Gadis itu juga penuh dengan ilmu. Mereka banyak meluangkan masa bersama bertukar-tukar pendapat dan ilmu sama ada sirah, akidah, fiqh, mahupun ibadah.
"Betul tu. Memang semua orang sama ada miskin mahupun kaya boleh masuk syurga tetapi ustaz tu bagitahu Rasulullah SAW diizinkan oleh Allah untuk nampak perkara ghaib. Salah satunya adalah keadaan syurga dan neraka. Rasulullah SAW menyifatkan bahawa majoriti ahli syurga adalah dalam kalangan orang miskin."
"Salahkah jadi kaya? Tak Dijah. Jadi kaya tak salah kalau cara pengurusan hantar tu betul. Banyakkan belanja harta pada jalan Allah. Rasulullah SAW pernah berpesan supaya banyakkan bersedekah. Bersedekah mampu meringankan hisab."

ANDA SEDANG MEMBACA
TAKDIR | NOVEL [C]
Romance"I am writing this letter for Sr. Siti Sarah to be my spouse until the end of my life" - DR. MUHAMMAD TAUFIQ WAJDI. "Seandainya nanti, Dr. didedahkan dengan versi saya yang saya sendiri ralat memilikinya. Saya sudi dilepaskan dengan cara baik." -SIT...