Kisah Kami Seperti K-Drama Full House.

11 1 0
                                    

Assalamualaikum admin dan pembaca KRT,

Terlebih dulu saya meminta kepada admin supaya profil Facebook saya ditutup. Niat saya berkongsi cerita ini sekadar hendak meluahkan dan meminta pendapat. Untuk pengetahuan admin dan pembaca, saya baru mendirikan rumah tangga pada awal tahun yang lalu. Kini sudah hampir lima bulan saya menjalani kehidupan sebagai seorang isteri.

Melihat apa yang saya miliki hari ini, semua orang berpendapat saya merupakan perempuan paling bertuah, malah paling bahagia. Menjadi isteri kepada seorang lelaki yang boleh dikatakan agak kacak juga. Jika mahu dibandingkan dengan pelakon Aaron Aziz seawal kemunculan beliau di dalam industri seni mungkin suami saya setanding. Selain kacak, dia juga merupakan seorang CEO (Chief Executive Officer) sebuah syarikat besar. Memandu pula kereta Audi R8. Ditambah pula dengan rumah tiga tingkat yang saya diami dengan panorama indah menghadap Selat Melaka. Dengan rekabentuk yang seakan-akan rumah dalam drama Korea, Full House. Drama yang pernah mencetuskan fenomena di kalangan penonton di Malaysia suatu ketika dulu.

Kehidupan rumahtangga saya mungkin nampak indah pada pandangan mata kasar. Tetapi, hakikatnya, perkahwinan kami merupakan perkahwinan kontrak. Kontrak yang dianggarkan bernilai hampir beberapa juta (admin akan faham selepas ini kenapa mahalnya harga kontrak tersebut) dan diikat selama setahun.

Segalanya bermula pada tahun lepas. Ketika itu di dalam perjalanan ke tempat kerja, kereta saya terlanggar keretanya. Oh, bukan dengan Audi R8 dia, tetapi Mazda 5 series milik ibunya. Saya akui kemalangan tersebut terjadi kerana kecuaian saya. Tetapi, ia bukanlah seratus peratus berpunca daripada saya juga. Ketika itu jalan agak lengang. Tidak semena-mena sebuah lori di lorong kanan menerjah masuk ke laluan di mana saya memandu. Oleh kerana mahu mengelak, saya termasuk ke lorong kiri, sekaligus melanggar sebuah kereta Mazda. Mujur juga tiada kemalangan jiwa yang berlaku, tetapi itulah kereta masing-masing agak sedikit kemek dan bercalar. Saya diminta membayar sejumlah ganti rugi yang berjumlah lima ribu ringgit.

Wang sebanyak itu mungkin sedikit kepada orang yang berkemampuan, tetapi tidak pada. Hidup sebagai rakyat marhaen yang bergaji kecil, simpanan pula asyik masuk kemudian keluar. Dengan ekonomi negara sekarang yang tidak menentu, tukaran matawang yang lemah. Harga barang pula melambung tinggi, GST digunapakai lagi. Saya ini bekerja sebagai kerani di sebuah premis perniagaan kecil-kecilan saja. Pakai pun kereta Kancil model lampu bulat. Zaman syarikat Perodua baru mula wujud. Manalah saya mampu untuk membayar gantirugi sebanyak itu sekaligus.

Biarpun saya memiliki rumah yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit, tetapi ia adalah sebuah aset yang tidak boleh dicairkan di dalam sekelip mata. Lagipula, tidak berbaloi saya menggadaikan sebuah rumah hanya untuk membayar harga kerosakan kereta yang bernilai 5 ribu ringgit sahaja. Hendak menuntut daripada pihak insurans, faham-faham sajalah. Kereta saya itu model lama. Insurans tahunan pun dibayar dengan beberapa ratus ringgit saja. Jalan terkahir sekali adalah cubaan berdiplomasi dengan si pemandu Mazda itu (yang kini memandu Audi R8).

Saya mengatur pertemuan dengannya. Riak wajahnya yang tegas membuatkan saya cuak ketika meminta tempoh waktu untuk saya melangsaikan hutangnya. Saya tebalkan muka merayu agar wang tersebut dapat dibayar secara ansuran. Yalah, gaji kasar saya baru seribu lebih. Tanpa menolak sebarang perbelanjaan pun saya masih perlukan tempoh 5 bulan bagi melangsaikan hutang tersebut. Disebabkan tidak mampu membayar ganti rugi seperti yang dituntut, dia meminta supaya saya menandatangani sebuah kontrak perkahwinan dengannya.

Gila! Permintaan yang sangat tidak masuk akal. Sewaktu permintaan itu keluar daripada mulutnya, saya terkejut bukan kepalang. Mulut terasa ringan hendak menyumpah. Tetapi, saya sabarkan hati. Saya ini manusia, mempunyai perasaan. Paling penting saya menjunjung sebuah maruah! Marahnya saya ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu. Rasa marah yang menggelegak di dalam diri saya zahirkan dengan menyimbah air kopi yang sudah suam ke wajahnya. Sangka saya apabila air kopi itu mewarnai wajah dan kemeja warna putih itu dia akan serik, tetapi perkara ini semakin menjadi-jadi pula.

ANTOLGI CERPEN: RUMAH NO.4Where stories live. Discover now