29 Febuari: Kepada Adilea,

11 2 0
                                    

29 Febuari 1984...

Hati itu seperti kertas card-board.

Tampak keras. Sekali tertusuk ... kesannya takkan pernah hilang. – Adilea.

Wajah lelaki di hadapannya dipandang tajam. Pandangannya dialihkan pula ke arah wanita bersebelahan lelaki itu. Dia merenung tangan yang memaut kemas lengan lelaki itu. Jika matanya sebilah pisau pasti seluruh jasad lelaki dan wanita itu dicincang selumat-lumat.

Air mata merembes keluar. Tidak henti-henti sedari tadi. Suara dia pun sudah semakin serak. Pipi serasa lembap sahaja.

"Syed Arif!" Dia seru nama lelaki itu. Ada getar di hujung suara.

Lelaki itu menunduk. Merenung lantai. Barangkali tak sanggup beradu pandangan.

"Inikah sebab Arif nak putuskan pertunangan kita? Sanggup batalkan majlis kita yang cuma tinggal lagi beberapa minggu tu?" Lirih suaranya. Meruntun jiwa. Dia cuba kawal diri daripada meangi tapi, dia kalah. Air mata mencurah bagaikan paip air rosak. Tidak mampu untuk ditutup.

"Lea." Panggil Syed Arif lembut. Dia merenung wajah tunangnya itu. Ah, tidak. Kini, wanita itu bekas tunangnya. Mereka sudah tiada apa-apa ikatan. Putus. Dia sendiri yang memutuskannya. Minggu lepas dia pergi berjumpa sendiri dengan keluarga Adilea. Meminta majlis perkahwinan dibatalkan.

"Sebab perempuan ni Arif sanggup tinggalkan Lea!" Suaranya tinggi. Setinggi amarahnya.

"Lea." Seru Syed Arif lagi. Dia menoleh ke sekeliling. Orang ramai lalu-lalang mula memerhati ke arah mereka.

"Sanggup Arif buat Lea macam ni? Hebat sangat ke perempuan ni?" Luahnya kecewa.

"Tak. Rasanya tak layak pun dipanggil perempuan. Seorang perempuan takkan sanggup merampas hak perempuan lain." Dia merenung tepat ke mata perempuan itu.

"Kau tak layak dipanggil perempuan ... tapi betina. Betina sundal!" jerkahnya. Sekuat hati.

Pang! Satu tamparan melekat di wajah. Adilea terpempam. Lima jari Syed Arif singgah di pipinya. Pijar. Rasa itu menggigit pipinya. Malah ia sampai ke tangkai hati. Luluh rasa.

"Aku benci kau, Syed Arif!! Benci ni akan aku ikat pada nama kau sampai mati!" Dia berlari pergi meninggalkan Syed Arif dan pasangannya itu. Kedengaran namanya dilaungkan Syed Arif. Dia pekakkan telinga. Sungguh. Dia jadi benci mahu terus memandang wajah itu.

Aku haramkan seluruh rasa cinta ini untuk kau Syed Arif. Untuk seumur hidup kita. Dia terus melangkah membawa rasa sebal di hati.

***

29 Febuari 2012...

Dendam yang kupagari itu rupa-rupanya telah menjadi laman rinduku padamu. –Adilea.

Dadanya turun-naik menahan nafas. Sejak pulang daripada bertemu bakal besan di Restoran Papa Rizz tadi begitulah keadaannya. Dia menahan marah daripada dilepaskan kepada anaknya, Faisal.

"Ibu ...."

"Ibu takkan terima Sharifah tu sebagai menantu. Titik!"

"Tapi ibu ...."

"Faisal! Sampai mati ibu takkan terima perempuan tu." Sekali lagi dia memintas kata-kata Faisal.

"Terpulang pada ibu. Tapi, saya tetap akan kahwin dengan Munirah."

"Kalau betullah Faisal nakkan dia Faisal bukan lagi anak ibu!"

Dia berpaling meninggalkan ruang tamu. Langsung tidak memandang anak terunanya itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 23, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

ANTOLGI CERPEN: RUMAH NO.4Where stories live. Discover now