EPISOD 1: WANITA MISTERI DI PINTU PAGAR

740 20 6
                                    

𝙈𝙄𝙎𝙏𝙀𝙍𝙄 𝙋𝙊𝙃𝙊𝙉 𝘾𝙀𝙈𝘼𝙍𝘼
Episod 1

𝟮𝟮 𝗢𝗸𝘁𝗼𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟮 (𝗦𝗮𝗯𝘁𝘂):
Hari cuti hujung minggu yang indah itu, aku seperti biasa berjoging di trek kawasan laluan berbukit di belakang taman perumahan kami. Aktiviti berjoging ini aku amalkan sejak sebelum kahwin lagi. Lazimnya pada hari bekerja aku berjoging sekitar 5 kilometer lepas waktu pejabat jika hari itu dapat balik on time. Pada hari minggu pula aku gandakan hobi kegemaranku itu antara 7 hingga 10 kilometer.

Lepas selesai aktiviti joging aku menuju ke kereta Honda CRV yang aku parkir di bawah pokok di pinggir bukit. Aku memandu kereta ke kedai mamak yang paling sedap makanannya di lokaliti kami. Aku pekena sebiji toseh masala bersama dua gelas air suam. Segelas air suam tidak cukup bagi menggantikan keringat yang mencurah keluar selepas berjoging 10 km. Perlu dua gelas baru hilang dahaga.

Lepas perut sudah berisi aku pulang ke rumah. Di dalam kereta aku menyanyi kecil mengikut bait-bait lagu yang dipancarkan oleh stesen lagu kegemaranku, SuriaFM. Menyanyi adalah salah satu hobiku sejak kecil. Masa di sekolah dahulu hampir setiap pertandingan menyanyi aku pasti menyertainya.

Ketika kereta yang aku pandu sampai di depan pintu pagar rumah, mataku terpandang susuk tubuh seorang wanita yang membelakangi jalan sedang berdiri di depan pintu pagar rumahku. Kepalanya bergerak ke kiri dan kanan seperti meninjau-ninjau rumahku. Tangannya kelihatan sedang membelek mangga rumahku, seperti cuba membukanya. Lagaknya seperti mahu memasuki rumah. Siapa gerangan dia? Hatiku berdebar. Entah-entah dia penceroboh tak?

Dari belakang, tubuhnya sebiji menyerupai dia! Dia yang pernah melekat di jiwa dan teguh bertakhta di hatiku. Dia yang pernah berkongsi satu katil denganku, berkongsi momen-momen indah bersamaku.

Tapi tak kan wanita di depan aku itu dia? Tak mungkin dia. 100% tak mungkin dan aku sangat yakin itu! Mana mungkin dia kembali? Dan tiada cara rasanya untuk dia bisa kembali.

Dia sudah enam bulan menghilang diri entah ke mana. Laporan polis yang aku buat tentang kehilangannya macam sia-sia saja. Usaha aku, keluargaku dan keluarga dia mengesan wanita yang pernah menduduki mercu singgahsana hatiku itu juga tidak membuahkan hasil. Dia seperti hilang begitu sahaja dari radar dunia tanpa meninggalkan sebarang jejak.

Betul, dari belakang, susuk itu memang sebiji macam dia. Sebiji! T-shirt levi's warna cerah dan jean levi's biru yang dipakainya..ah, bukankah itu pakaian terakhir yang dipakainya pada hari kehilangannya?

Aku meneliti lagi tubuh wanita yang membelakangiku. Tubuhnya kecil molek. Ketinggian kira-kira 157 cm. Kulit putih melepak seperti kulit wanita Cina atau Korea. Ah, mengapa kasut charles & keith yang dipakainya juga sama seperti kasut yang pernah aku beli di hari jadinya yang ke-28 beberapa minggu sebelum kehilangannya?

Walaupun aku begitu yakin di hadapanku itu bukan dia, sangat yakin, namun mengapa begitu banyak persamaan fizikal antara mereka berdua?

Cuma yang paling ketara membezakan mereka berdua ialah wanita dihadapanku itu berhijab. Dia yang aku kenali selama empat tahun ini bukan sahaja tidak berhijab tetapi sangat tidak menyenangi wanita berhijab.

Aku mematikan enjin kereta. Aku menghampiri wanita yang masih tercegat di hadapan pintu pagar rumahku. Apa yang dimahunya?

Ketika berada kira-kira semeter di belakangnya, wanita itu tiba-tiba menoleh ke arahku.

Aku sangat terkejut!

Ketika itu aku rasa jantungku sudah luruh ke tanah. Darah membuak menyirap ke segenap saraf otak. Boleh kena strok kalau aku ada darah tinggi!

Mengapa begitu seiras wajah wanita di hadapanku dengan wajah dia? Oh Tuhan, copy & paste apakah ini?

Aku menampar lenganku. Pedih. Aku cubit mukaku. Sakit. Maknanya ini bukan mimpi. Ini realiti. Wanita di hadapanku adalah satu realiti. Bukan fantasi.

Tapi mengapa dia di sini? Dan jikalah itu dia sebenar yang pernah menduduki rumah ini, bagaimana dia berupaya sampai ke sini? Ia sangat tak masuk akal! Tak mungkin. Tak mungkin!

Mata kami bertembung. Mata bundar yang sangat mirip mata miliknya.

"Abang!" jerit wanita itu tersenyum sangat manis sambil memeluk erat tubuhku. Hangat badannya bersatu dengan tubuhku yang masih bersisa peluh hasil joging tadi. Bau perfume chanel menusuk hidungku. Wangian yang begitu mempesona menyerap ke seluruh akar sarafku.

Tapi mengapa dia memanggil aku 'abang'? Panggilan itu menambah firasatku wanita di depanku ini bukan dia. Mesti wanita yang sedang memelukku ini penyamar. Dia yang pernah tinggal dalam rumah ini, pernah menjadi ratu hatiku, dia tidak pernah memanggil aku 'abang', tidak pernah sekali pun. Kami menggunakan ganti nama "I" dan "you" setiap kali berbicara.

Aku hanya berdiri tegak. Tidak membalas pelukannya. Tanganku lurus di kedua belah paha seperti lagak askar yang berdiri di perbarisan kawad. Hati masih terkeliru.

Tapi susuk itu memang sangat persis mirip dia! Pakaian, kasut dan minyak wangi chanel yang dipakai aku kenal benar serupa dengan yang pernah digunakannya. Memang serupa namun jauh di sudut hatiku, aku masih sangat yakin itu bukan dia! Sangat yakin! Tidak mungkin dia yang menghilang selama enam bulan itu akan pulang.

Ketika aku terpinga-pinga tanpa kata, dia masih memelukku dengan erat. Sedetik, dua detik, aku hanya membiarkan dia memelukku tanpa aku membalas pelukannya. Aku masih seperti tugu, berdiri tegak membatu. Benak hati masih terkeliru dengan pelbagai persoalan. Siapa dia wanita dalam pelukanku ini? Tak mungkin dia yang aku kenali itu!

Selepas beberapa detik, kepalanya mendongak ke arahku. Ku lihat matanya sedikit berkaca.

Dibadai rasa bersalah kerana membiar diri menjadi tugu, aku perlahan-lahan membalas pelukannya. Sebuah pelukan longgar. Pelukan tidak ikhlas, pelukan hipokrit. Pelukan cuma sekadar untuk mengambil hatinya.

Tapi sumpah, ketika dada kami bertembung dalam pelukan eratnya, aku tidak merasai apa-apa aliran letrik luar biasa seperti yang seharusnya aku rasai. Tiada rasa rindu, apa lagi rasa cinta. Yang ada cuma rasa keliru, pelik dan terasing yang menebal dibenakku. Dan hatiku masih berkata: wanita ini bukan dia!

Aku akhirnya melepaskan pelukan. Wanita itu juga begitu, perlahan melepaskan pelukannya. Aku renung kelopak matanya yang berair. Ah, mengapa mata bundar berwarna coklat gelap itu sangat mengingatkan aku kepada wanita yang pernah menduduki takhta hatiku?

Tapi hatiku masih berbisik: wanita di depanku kini tak mungkin dia!

Masalahnya jika bukan dia, siapa pula?

"Ini..ni..," aku tergagap-gagap untuk meneruskan bicara, ingin bertanya siapa dia yang sebenar. Walaupun aku yakin betul dengan firasatku wanita itu bukan dia tapi aku juga tidak mahu menyinggung hatinya.

Wanita itu mengesat genangan air di bawah pelupuk matanya. Kepalanya di dongak ke arahku yang berketinggian 174 cm.

"Mengapa bang? Abang nampak macam tak kenal?" suara halusnya seperti meminta simpati, "Abang tak ingat ke sapa di depan abang ni? Memang abang tak ingat, tak kenal? Ini Kay, tak kan abang tak ingat?"

Memang aku tahu wajahnya persis Kay. Kau tak payah cerita pun aku tahu. Tapi masalahnya aku tidak yakin kau tu Kay. Noktah!

Aku merenung dahi wanita di depanku. Licin, halus. Ia persis dahi Kay yang bertahun aku kenali. Dahi yang ratusan kali pernah aku kucupi semasa dia pernah menjadi isteriku.

Tapi dahi wanita di depanku itu tidak sama dengan dahi Kay pada saat terakhir dia berada di depanku sebelum kehilangannya enam bulan lepas! Sangat berbeza!

Bolehkah aku percaya dia adalah Kay, isteri yang pernah aku kahwini empat tahun lepas hanya kerana punya wajah serupa? Memang wajahnya mirip Kay tapi dahi itu meyakinkan aku dia bukan milik Kay, isteriku. Ada sesuatu tanda yang sepatutnya ada di dahinya pada saat terakhir aku melihatnya tapi kini tanda itu tiada di situ. Tak mungkin tanda itu hilang sepantas enam bulan. Mustahil!

𝐁𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐛𝐮𝐧𝐠 𝐄𝐩𝐢𝐬𝐨𝐝 𝟐.

MISTERI POHON CEMARAWhere stories live. Discover now