BAB 1

98 8 0
                                    

BUKU yasin yang digunakan sedari tadi ditutup kemas. Air mawar yang dibawa disiramkan perlahan-lahan ke atas pusara arwah.

Nafas ditarik dalam sebelum tangan naik menyentuh lembut batu nisan yang jelas tertera nama arwah di situ.

Rasa sebak yang menghurung relung hatinya cuba di kawal sebaik mungkin. Tidak mahu terus hanyut dengan rasa sedih yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Mati itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Bila dan bagaimana caranya kematian seseorang itu, semuanya hanya Dia saja yang tahu. Ianya akan kekal menjadi rahsia yang Maha Esa.

"Assalamualaikum, Suriyani. I datang lagi dengan Ainul. Dah 5 tahun you pergi. I harap you tenang di alam sana. I dengan Ainul dekat sini baik-baik aje. You jangan risau selagi I hidup, I dan Ainul akan sentiasa doakan you semoga baik-baik saja di alam sana..." ucap Umar sayu.

Sudah 5 tahun berlalu. Namun tak pernah sekalipun Umar lupa untuk melawat pusara Suriyani. Doa juga tak pernah putus dikirimkan buat wanita itu.

Bukan hanya Suriyani bahkan pusara milik Luqman tidak terkecuali. Dan yang sentiasa menemaninya sudah tentulah Ainul Mardhiah.

Tujuan Umar cuma satu. Dia mahu Ainul mengenali siapa sebenarnya ibu bapa kandung anak kecil itu. Kerana sebuah kenyataan yang satu itu tetap tidak akan dapat diubah walau hingga ke mati sekalipun.

"Baba, kenapa baba selalu bawa Ainul datang sini?" suara halus Ainul menyentakkan Umar yang sudah semakin larut dengan kenangan silamnya.

Renungan polos Ainul dibalas redup. Bibir diukirkan dengan senyuman nipis sebelum bicara diatur. "Ini kubur mama Ainul, sayang. Kita selalu datang sini sebab baba nak Ainul tahu mama Ainul dah bahagia dekat sini. Bahagia bersama dengan orang-orang yang beriman," jawab Umar lembut.

"Kubur mama? Mama ada dekat dalam ni ke baba?" soal Ainul polos. Wajah Umar direnung meminta kepastian.

"Ya, sayang. Ini kubur mama Ainul. Tempat tinggal mama selepas meninggal," jawab Umar mengiyakan.

"Kenapa mama tinggal dekat sini, baba? Kenapa mama tak tinggal sekali dengan kita?" soal Ainul lagi.

"Sebab Allah lebih sayangkan mama. Sebab tu Dia jemput mama ke alam lain. Ke alam abadi yang akan kekal buat selamanya."

"Habis tu Allah tak sayang Ainul ke baba? Kenapa Allah tak jemput Ainul sekali? Ainul nak ikut mama. Ainul nak jumpa dengan mama," ujar Ainul naif.

Kepala digeleng seketika. "Bukan macam tu, sayang. Siapa cakap Allah tak sayangkan Ainul? Allah tu sayang pada Ainul. Pada semua hamba-hamba Nya. Cumanya kalau Ainul sama-sama ikut mama nanti siapa yang nak bacakan doa untuk mama dekat sana? Mama sangat perlukan doa Ainul. Jadinya Ainul dekat sini kena selalu bacakan doa untuk mama. Supaya mama tenang dekat alam sana," terang Umar.

"Tapi Ainul rindukan mama..." wajahnya sudah berubah mendung.

"Kalau Ainul rindukan mama, Ainul kena sentiasa sedekahkan Al-Fatihah untuk mama supaya mama tenang dekat alam sana," kepala Ainul diusap lembut.

Dianggukkan kepalanya tanda mengerti. "Ainul janji lepas ni, habis je solat Ainul akan sentiasa bacakan Al-Fatihah untuk mama. Mama mesti sukakan baba?" wajah dah mekar dengan senyuman suka.

"Ya, sayang. Mama akan suka," jawab Umar lembut.

Ainul Mardhiah ini umpama sehelai kain putih yang harus dicorakkan dengan sebaiknya. Jika tersalah corak maka hancurlah hidup anak ini. Dan sekiranya perkara itu terjadi Umar sendiri tidak akan pernah memaafkan dirinya.

Apapun yang terjadi nasib Ainul terletak di tangannya. Akan dia pikul segala tanggungjawabnya seperti janji yang telah diikrarkan selama ini.

*****

Kerana Dosa Semalam [E-BOOK] Where stories live. Discover now