Bab 11

154 7 3
                                    

Kepala dijenguk keluar dari bilik air. Aman. Aku berlari anak keluar. Almari dibuka. Melihat pakaian yang tergantung kemas di situ membawa aku kepada alam realiti. Pakaian aku tak ada dekat sini. Tuala yang menutup bahu aku tarik ke dada. Meniru gaya Darma dengan menjenguk kepala ke sebalik dinding seperti awal tadi.

Macam tahu diri diperhatikan, Darma yang sedang duduk di birai katil terus mengangkat wajah.

"Beg saya mana?" soalku perlahan.

Separuh hati menyalahkan diri sendiri sebab lebih mementingkan tidur sehingga terlupa dengan bagasi yang berisi keperluan diri sendiri itu.

"Oh, maaf." Dia bingkas bangun. "Saya lupa ambil sebab terus mandi tadi. Sebentar."

Laju saja dia keluar dari bilik. Tak lama lepas tu dia masuk bersama bagasiku. Diletakkan di hadapanku sebelum berdiri. Memandang aku atas bawah sebelum kembali ke ruangan sebelah.

Kepala digeleng. Nasib baik cara dia pandang aku tu normal. Tak adalah rasa macam kena judge. Pakaian tidur dicapai. Semua skincare disapu ke badan sebelum mengemaskan bagasi ke sebelah almari. Ini bukan rumah aku. Aku tak tahu sama ada aku perlu kemas barangan aku ni ke dalam almari atau tak.

Tuala dicapai. Ingin mengeringkan rambut. Kaki melangkah ke ruangan sebelah.

"Nampak telefon saya tak? Rasanya saya ada pegang masa masuk kereta tadi."

Darma mengangguk. Telefonku dicapai dari nightstand. "Nah!"

"Terima kasih." Aku sambut hulurannya. Skrin ditekan.

Mata melirik Darma apabila nombor yang tertera di skrin menunjukkan dua panggilan tak berjawab dua minit lalu. Darma nampak tenang je. Dia sedarkah ada yang cuba telefon aku atau dia tak perasan sebab telefonku dalam silent mode?

"Ada orang telefon, tapi saya tak jawab sebab tak ada nama."

Liur ditelan. Tipu kalau aku tak kenal pemilik nombor ini, tapi Darma tak perlu tahu. Aku tak bersedia untuk melihat reaksinya.

"Saya tak kenal nombor ni." Pembohongan pertama.

Dia mengangguk. "Tak apa. Sekarang jom Isyak. Sekali solat sunat."

"Solat sunat apa?" tanyaku sambil melihat dia yang bangun mengambil sejadah.

Dihamparkan atas lantai. Aku turut mengambil telekung dari bagasi.

"Solat sunat lepas menikah. Soalnya semalam saya tidak sempat mengajak kamu. Saya ada ketuk kamar Effa, dia bilang kalau kamu sudah ketiduran. Jadi mendingan selesai majlis baru dilakukan supaya lebih senang."

Hidung digaru. "Saya penat sangat semalam."

Dia tersenyum. "Tak apa."

Telekung yang baru ingin dipakai dilepas ke lantai. "Saya ambil wuduk kejap."

Kembali dari bilik air, telekung segera dipakai. Berimamkan Darma sebagai suami masih menjadi perkara asing buatku walaupun dah dua hari menjadi makmumnya. Selama ni kalau solat berjemaah di rumah mesti abah yang akan jadi imam. Suara dan cara bacaan abah sudah dicam.

Nasib baik Darma adalah imam yang baik. Setakat ni tak ada pula dia mulakan bacaan dengan alif lam mim dalam solat. Aku kena biasakan diri sebab dari pandangan aku, Darma akan memastikan kami solat berjemaah setiap kali bersama. Walaupun dia tak pernah cakap.

Selesai solat sunat dua rakaat, dia pusingkan badan. Duduk berteleku di hadapanku. Meletakkan telapak tangan atas kepalaku lalu membacakan sesuatu dalam nada perlahan sebelum mengucup dahiku agak lama.

Hangat.

Setelah itu tangannya aku cium. Sejujurnya terlalu banyak yang bermain dalam fikiranku. Mampukah dia menerima segala kekuranganku? Mampukah aku mempercayai dia? Bencikah dia selepas tahu segala masa silam aku suatu hari nanti?

Dia SempurnaWhere stories live. Discover now