3

31 3 2
                                    

Sepanjang di PPR HICOM, Iskandar kelihatan sangat kekok apabila berinteraksi dengan anak murid yang menyertai kelas 3M. Bak katanya, 'Aku 23 tahun borak dengan dinding je. Umi aku mana kasi aku keluar dengan kawan-kawan.' Akan tetapi, dia mampu bergurau dengan mereka, sehingga anak-anak murid begitu suka untuk berborak dan bertanya soalan mengenai latihan yang diberikan kepada mereka.

Setiap kali sahaja azan Zohor dan Asar, dia mempamit dirinya untuk solat seketika di surau PPR HICOM. Itu sahaja sejujurnya menarik perhatian aku. Kerana apa? Jika mahu dibandingkan Amin yang pernah bersamanya sehingga 5 tahun, yang juga sejujurnya tidak mampu menjaga amal ibadahnya— sangatlah berbeza. Kerana aku juga tahu rutin harian Iskandar.

Pada waktu pagi, dia akan bangun dari tidur pada jam 5 pagi untuk qiamulail dan mengaji sambil menunggu  masuknya waktu solat Subuh. Sekiranya dia bercuti pada hari itu, Iskandar akan solat sunat Dhuha. Petangnya pula, dia akan membaca Al-Mathurat serta mengaji bersama uminya. Pada waktu malam pula, dia akan pergi ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di surau yang berdekatan dengan rumahnya serta mendengar ceramah selepas solat.

Jam telah tepat menunjukkan pukul 5, bermakna telah tamatnya sesi mengajar pada hari ini. Aku bersama Iskandar mengemas meja dan juga vakuum bilik tersebut sebelum beredar meninggalkan tempat itu. Hakikatnya, Iskandar tidak membenarkan aku mengemas dan hanya menyuruhku untuk menunggu di tepi. Setiap kali aku mahu mengangkat kerusi dan mengutip sampah, Iskandar akan merampas kerusi dan sampah itu daripadaku.

Anak mataku merenung setiap pergerakan lelaki berbadan tegap  itu melakukan setiap pekerjaan dengan baik. Aku menolak bingkai cermin mataku kembali ke batang hidungku. Adakah itu hanyalah cubaan untuk memikat hati aku? Huh! Masih jauh perjalanannya!

"Dah siap," ujar Iskandar seusai menyimpan kembali vakuum di tempat yang sewajarnya. Aku sekadar mengangguk dan menggapai beg yang tadi aku tinggalkan di lantai. Akan tetapi, si gorgon ini dengan pantas mengambil beg miliknya lalu dikepitkan pada ketiaknya. Tergamam.

"Hey."

Mata mereka bertemu seketika. "Takkan nak aku panggil kau 'Scara.' Kau belum beritahu aku nama penuh kau."

Scara. Itu adalah nama samaran aku setiap kali aku melenyapkan diriku di dalam dunia cosplay. Itu perkara biasa untuk setiap cosplayer merahsiakan identiti sebenar dan hidup dengan suatu nama khas yang hanya dikenali sesama cosplayer. Iskandar— nama samarannya adalah Zevs. Tidak aku pernah tahu kewujudannya di dalam dunia cosplay sejujurnya sehinggalah insiden yang berlaku baru-baru ini.

"Oh ya. Maaflah, sebab sejak melangkah ke dunia cosplay ni aku tak beritahu orang nama sebenar aku. Lagipun, aku benci nama aku," balasku sambil tanganku dengan ligat mengunci kembali pintu bilik PPR HICOM. Fokusku berdalih ke situ.

"Nurzahirah Dinah. Itu nama aku. Tapi, better panggil aku 'Hyra' je."

Iskandar tersenyum mendengarnya. "Kiranya aku ni special lah kan? Aku je yang tahu nama penuh kau?" ujarnya sambil tertawa. Aku sekadar memberi senyuman kecil. Senyumanku tadi membuatkan tawa Iskandar terhenti.

"Nampak gaya begitulah," balasku tenang.

Suasana petang di PPR HICOM sangatlah meriah. Kanak-kanak bermain di lobi sesama mereka, dan ada juga yang berkerumun di kedai jajan yang terletak di tepi bangunan blok tersebut. Sementara itu, aku dan Iskandar berjalan beriringan tanpa sepatah perkataan melintasi bibir kami sehingga tiba di tempat parkir motor.

Iskandar melirik mata ke arah aku yang kelihatan tenang dan agak kecil berdiri di sebelahnya. Aku sekadar mengerutkan dahiku apabila mata kami bertemu. Dengan pantas dia mengubah topik.

"Ha, dah sampai dah." Iskandar menghulurkan kunci motornya kepada aku yang masih kelihatan terkebil menerima kunci daripadanya.

"Aik? Kau nak suruh aku start motor ke?" soalku dengan nada keliru.

MINEOnde histórias criam vida. Descubra agora