Bab 18

8.5K 486 38
                                    

ADAM menolak pintu bilik bacaan merangkap bilik kerja arwah Dato' Maliki. Seketika, dia pegun di ambang pintu. Sorotan matanya meliar ke segenap ruang bilik yang penuh dengan buku dan fail yang tersusun rapi di kabinet-kabinet tinggi di tepi dinding.

Bola mata Adam akhirnya berhenti di meja kerja yang terletak di bahagian kanan bilik. Lama renungannya melekat di situ. Ternampak-nampak bayangan arwah daddynya sedang khusyuk membaca buku.

"Daddy..." Berdesir perlahan panggilan itu di celah bibirnya. Rasa rindu yang disimpan kemas selama bertahun-tahun membuatkan ulu hatinya dibelit rasa sebu.

Perlahan-lahan dia menapak masuk. Kerusi kulit empuk yang disorong masuk ke meja ditarik lalu punggungnya dilabuhkan. Permukaan meja kayu jati berwarna coklat gelap disentuh dengan telapak tangannya. Langsung tak berhabuk. Menandakan bilik ini sentiasa dijaga. Dia tahu, Datin Fatimah akan masuk ke bilik ini setiap hari untuk melepaskan rindu.

Pernah dia ternampak mummynya menangis bisu di sini sewaktu arwah daddynya baru pergi meninggalkan mereka secara mengejut. Bukan sehari dua, tetapi berminggu-minggu. Mungkin juga makan bulan tanpa pengetahuannya.

Bagaimana dia rasa langit seakan runtuh menghempapnya saat mendapat berita tentang pemergian Dato' Maliki, sudah tentu dunia Datin Fatimah lebih teruk. Suami yang berjanji sehidup semati telah pergi buat selamanya tanpa sebarang pamitan.

Masih dia ingat waktu berita kematian Dato' Maliki sampai ke telinganya, dia sedang bercuti bersama-sama rakan sekuliahnya di Manchester. Sebagai tanda meraikan kebebasan mereka yang baru tamat belajar. Siapa sangka, kegembiraan itu bertukar duka dalam sekelip mata.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia rasa ralat dan menyesal tidak terus pulang ke Malaysia. Beberapa kali Dato' Maliki bertanya bila dia akan pulang tetapi dia yang waktu itu banyak memikirkan keseronokan dan lebih memilih untuk melancong terlebih dahulu daripada terus pulang ke tanah air.

Sudahnya, kepulangan dia di Malaysia disambut oleh sekujur tubuh kaku yang tidak lagi bernyawa. Tiada lagi dakapan hangat Dato' Maliki merelung tubuh tegapnya. Tiada lagi suara daddynya mengungkap kata...

"Daddy rindu anak daddy ni."

Kalaulah waktu dapat diputar semula, dia akan terus pulang. Dia akan luangkan waktu sebanyak yang mungkin bersama Dato' Maliki. Sudahlah mereka anak beranak sangat jarang bertemu. Sejak sekolah dia sudah dihantar ke sekolah berasrama. Habis sekolah, dia terus terbang ke UK menyambung pengajian di sana pula bertahun lamanya.

Hanya sesekali sahaja dia pulang ke Malaysia. Itu pun ketika musim perayaan. Cuti semester pula dia lebih senang bekerja di UK untuk menimba pengalaman serba sedikit. Daddy dan mummynya tidak pernah merungut atau membantah apa saja yang dia lakukan asalkan dia tahu menjaga nama dan maruah keluarga. Mereka berdua sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Oleh sebab itu, dia jadi alpa. Terlalu ghairah meneroka dunia sehingga dia tidak terfikir betapa sedikitnya waktu yang dia luangkan bersama ibu bapanya. Sehinggalah dia disentak dengan berita kehilangan itu.

Kehilangan yang sungguh tiba-tiba.

Kehilangan yang dia sangka berpunca oleh serangan jantung selama ini.

Namun, punca itu diragui seratus peratus selepas dia diledakkan dengan bom kejutan tentang punca sebenar kematian arwah Dato' Maliki pada hari ini.

Adam menyandarkan badannya di kerusi empuk itu. Kemudian, kerusi itu dipusing membelakangi meja. Matanya dipaku pada buku-buku yang berada di kabinet. Tajam dia menikam renungan di situ.

"Betul ke daddy meninggal bukan sebab heart attack?" Bisiknya keras.

"Betul ke apa yang Uncle Yusuf cakapkan pada Adam tu, daddy?" Kedua-dua tangannya dikepal erat, menyerlahkan dan menimbulkan lagi urat-urat kasar yang berselirat.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now