CERITERA 5 : Teleskop Ajaib

9 1 0
                                    


PAGI hujung minggu. Cuaca redup mendamaikan hati dan minda yang bergelora. Sesuai bagi sesiapa yang mahu meluangkan masa bersama keluarga. Pekan sudah dipenuhi ramai orang kampung yang ingin berniaga dan ada yang mencari keperluan mereka. Kedengaran juga suara tawar-menawar di tamu hujung minggu Kampung Sinar Cahaya Bulan ini. Pelbagai jualan seperti barang-barang, makanan, minuman dan banyak lagi yang boleh menjadi tatapan pengunjung.

"Adik-adik cuba fikirkan tentang filem atau cerita kartun tentang angkasa lepas! Macam kartun atau cerita Star Wars, Star Trek, Apollo, Ultraman dan macam-macam lagi. Angkasa lepas dipenuhi dengan bintang-bintang, planet-planet dan meteor-meteor yang dapat dilihat di dalam filem-filem ini. Setiap satunya dikenali sebagai objek angkasa." Farid seakan seorang guru yang mengajar murid-muridnya. Wajah kanak-kanak yang menjadi anak muridnya sentiasa teruja mendengar cerita Farid.

"Baik cikgu!" Kata seorang pelajarnya.

"Bukan cikgu, panggil saya Doktor Farid!" Kanak-kanak di situ tertawa.

"Anak murid sekalian, berbilion objek-objek angkasa ini berkumpul untuk membentuk himpunan gergasi sistem-sistem bintang yang dikenali sebagai galaksi. Semua objek-objek angkasa ini sangat besar. Sebagai contohnya, planet kita Bumi adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan objek-objek angkasa lain. Namun begitu, bumi ini cukup besar untuk menampung manusia, haiwan, gunung-ganang, lautan dan apa-apa sahaja yang kamu dapat fikirkan. Hebatkan angkasa lepas." Jelas Farid sebagai pembuka bicaranya pagi itu.

"Jadi, lohong hitam tu apa pulak abang Farid?" Seorang kanak-kanak kecil berminat dengan penjelasan itu mula menunjukkan minatnya dengan persoalan. Mungkin daripada kartun atau filem yang pernah dilihatnya.

"Ada kajian yang membuktikan bahawa adanya lohong hitam yang amat besar terhendap di dada galaksi. Lohong hitam adalah daripada bahan bintang yang telah mati bermaksud jisimnya begitu padat sehingga tiada satu benda pun termasuk cahaya dapat terlepas dari tarikan gravitinya. Konsep lohong hitam telah disuarakan beberapa dekad yang lalu." Jelas Farid kepada kumpulan kanak-kanak dan beberapa orang belia kampung yang tiba-tiba tertarik dengan penerangan Farid yang tampak begitu mengagumkan serta bersungguh-sungguh menunjukkan teleskop ajaibnya. 

"Adik-adik dan abang-abang pemuda tiang negara, harapan nusa dan bangsa. Ini ialah Hubble Scope Telescope atau HST yang terletak di angkasa raya." Sekadar gambar bersaiz A3, Farid menunjukkan kepada para peserta yang berhimpun di situ.

"Wow, hebatnya teleskop ajaib ni Doktor Farid." Kata anak Pak Nafi yang baru berusia 9 tahun yang juga teruja dan kagum dengan penerangannya.

" HST ni dapat merakam dengan sejelas-jelasnya pertembungan komet Shoemaker-Levy ke permukaan planet gas Musytari pada tahun 1994. Peristiwa tersebut merupakan satu pertembungan terus yang melibatkan sebuah planet yang dapat dirakam oleh manusia."

"Eh, Farid ni nak membentang atau berpidato?" Soal Nashriq.

"Aah...gaya berpidato dan bercakap tu dah ala-ala macam pidato aku tengok. Tapi dia boleh tahan. Mau tak ramai aku tengok peminat-peminat yang datang tengok syarahan dan pembentangan dia ni."

"Betul kata kau, aku rasa, aku pun macam tertarik dengan pidato Farid ni. Jom!" Pelawa Nashriq yang juga perasan bahawa ada satu tarikan magnet yang bisa menarik penontonnya.

"Aku pun nak dengar, mana tahu boleh tambah ilmu dengan si Doktor Farid ni." Ikut serta. Berdiri bersama-sama adik kecil dan belia yang mahu mendengarnya.

"Tuan-tuan yang budiman dan masih setia bersama saya. HST juga membantu kita memberi maklumat yang alam semesta kita sedang berkembang dan bukan sebaliknya sedang mengecut seperti yang pernah dipercayai dulu. Fenomena adanya daya 'anti-graviti' yang mengisikan ruang vakum di angkasa lepas dikatakan telah menyumbang pada fenomena yang mengembangkan alam semesta kita. Susulan daripada fenomena itu konsep malar kosmologikal ( cosmological constant ) kian dibicarakan. Dengan adanya HST juga alat ini memberi maklumat yang alam semesta ini mempunyai sekurang-kurangnya 120 bilion galaksi dan setiap galaksi mempunyai berbilion-bilion bintang ! HST juga dapat menaksirkan bahawa usia alam semesta dengan agak tepat sekitar  berada dalam lingkungan 13 hingga 15 bilion tahun."

H.I.P.N.O.S.I.SWhere stories live. Discover now