Bab 18

3.5K 482 16
                                    


Lambat aku ke kedai pagi Sabtu itu. Semuanya gara-gara Rich. Pulang sahaja dari hospital malam tadi, dia membawaku terus ke apartmentnya. Walaupun aku geram kerana dia menjadi penyebab kelewatanku, aku tidak dapat menolak rasa bahagia yang aku rasakan saat terjaga dari tidur di dalam pelukannya. Jadi rasa geram memikirkan dia mematikan alarmku, kuletakkan ke tepi.

          Walaupun sudah lewat, aku tetap tidak lupa menyediakan sarapan untuknya. Kata orang nak pikat hati lelaki, kena bermula dari perutnya. Jadi, aku tidak akan pernah berhenti menggunakan kemahiranku itu untuk menjerat hatinya selagi aku masih berpeluang untuk berbuat demikian. Cuma, hasil kelewatanku, aku hanya menyediakan sandwich ringkas untuknya walaupun banyak pilihan masakan lain yang boleh aku sediakan. Rich kini sudah rajin mengisi bahan masakan di dapurnya. Mungkin dia sudah bosan mendengar aku berleter padanya tentang pentingnya sarapan setiap kali ke rumahnya dan melihat dapurnya yang hampir kosong.

          Aku meneliti sekali lagi hasil tanganku itu. Tersenyum mengaguminya. Di permukaan atas sandwich itu, aku lukiskan emoji wajah tersenyum menggunakan sos untuknya. Berharap dia juga tersenyum saat menikmatinya nanti. Bentuk-bentuk hati kecil berterbangan aku lukiskan dengan mayonis di permukaan pinggan. Berharap dia akan dapat menangkap maksud tersirat yang aku cuba sampaikan padanya melalui hidangan ringkas itu. Ya tak salah berharap kan?

          Aku mengenakan dress floral berwarna merah jambu yang kebetulan masih tertinggal di situ. Sesuai sekali dengan moodku yang sedang berbunga-bunga ketika ini. Baru sahaja meletakkan handbagku di dalam loker, aku terus ke kaunter apabila mendengar deringan telefon pejabat yang nyaring. Pantas tanganku mencapai gagangnya. Tidak mahu pemanggil di hujung sana menunggu terlalu lama sebelum panggilannya dilayan.

"me&u Florist. Apa boleh saya bantu?" Soalku mesra.

"Hello. Ni Hana ke?" Soal suara di hujung talian.

"Yea Hana bercakap. Ni siapa ya?" Jawabku, masih gagal meneka si pemanggil.

"Hana, Hans ni. I nak bagitahu yang I tak dapat datang ambil bouquet pagi ni. Boleh tak kalau you tolong hantarkan?" Soalnya.

"Oh okay. Boleh. Kami memang ada sediakan delivery service." Jawabku, enggan dia merasa bersalah.

"Good. Sorry susahkan you." Ujarnya.

"No worries. You just share location okay."

"Boleh. Tapi I tak ada nombor you."

"Kejap lagi I mesej." Ujarku sebelum memutuskan talian selepas berjanji akan menghubunginya kembali nanti.

Hana: Hi Hans, It's me Hana.

Hans: Thanks Hana.

Hans: (Location)

Hans: Kalau boleh sampai sebelum pukul 12 ya.

Hana. Okay.

Hans: Call kalau dah sampai.

Hana: Noted Doc.

          Sekitar pukul 11.00 pagi aku mula bergerak ke lokasi yang dikongsikan oleh Hans. Kawasan perumahan itu tidaklah terlalu jauh dari me&u Florist. Menurut perkiraanku, aku boleh sampai dalam masa kurang dari setengah jam. Sesuai dengan masa yang ditetapkan oleh Hans. Sesampainya di sana, aku melihat perkarangan rumah 2 tingkat itu penuh dengan kenderaan. Kemungkinan besar ada majlis yang sedang berlangsung di dalamnya. 'Patutlah dia tak boleh datang ambil sendiri bouquet ni.' Fikirku dalam hati.

Jerat Hati Dia ✔Where stories live. Discover now