Bab 18

176 14 1
                                    

BILIK itu terasa membahang walaupun air-cond terpasang. Yuzma rasa lain macam bila Hayyad turut berada dalam biliknya. Dia rasa canggung dan setiap pergerakannya terasa seperti diperhatikan. Yuzma pakai baju-T lengan panjang yang longgar dan seluar trek hitam. Itu lebih selamat. Kalau Hayyad buat hal, mudah untuk dia bertindak.

"Pelik betul perangai kau ni, kan? Kalau kat luar kau pakai baju entah apa-apa. Kalau boleh semua kau nak tayang. Tapi, kalau dalam bilik macam ni, beria-ia pula kau tutup semuanya. Kau ingat aku hadap sangat ke nak tengok badan kau tu?" Hayyad tersenyum mengejek. Tanpa dipelawa oleh tuan bilik, dia terus menghenyakkan tubuhnya di atas katil itu.

"Eh, you jangan nak buat I sakit hati! Suka hati I lah nak pakai apa pun," jawab Yuzma dan dia menjeling lelaki yang sedang terlentang atas bantalnya. Eii, bencinya!

"Sebelum ni bolehlah kau buat apa pun ikut suka hati kau. Tapi, sekarang ni kau kena buat ikut suka hati aku. Sebab kau tu isteri aku. Aku yang tanggung dosa kau, tahu tak? Jadi, apa pun yang kau nak buat kena tanya aku dulu," balas Hayyad serius.

Dia bingkas bangun dan duduk bersila. Matanya merenung tepat ke arah Yuzma. Terngiang-ngiang pula pesanan demi pesanan yang disampaikan oleh Tan Sri Mokhtar kepadanya tadi. Yang paling dia tak boleh lupa ialah bila bapa mertuanya mahu dia mendidik Yuzma menjadi wanita yang solehah. Berat tu! Nampak gaya macam tak boleh dididik saja.

"Tak payah nak pandai-pandai tentukan apa yang I nak buat. I takkan ikut cakap youlah. Sudah, tepi sikit. I nak tidur!" Yuzma menolak tubuh sasa Hayyad dengan niat mahu lelaki itu jatuh tergolek.

Tapi, sikit pun tidak berganjak. Berat macam kayu balak. Yuzma mendengus marah.

"Habis, kau nak aku tidur kat mana?" Hayyad jegilkan matanya.

"Suka hati youlah nak tidur mana pun. Tapi, bukan atas katil I. I tak suka berkongsi harta benda I dengan sesiapa pun. Jadi, I nak you turun dari katil I sekarang. Dan I nak you tahu yang I takkan benarkan you sentuh I."

Hayyad ketawa berdekah-dekah. Lucu mendengar amaran itu.

"Kalau aku nak sentuh juga?" Hayyad menduga selepas ketawanya reda.

"Cubalah kalau berani!" jawab Yuzma sambil memberikan jelingan tajam.

"Kau tak payah nak ugut aku. Kalau bukan ayah kau, jangan harap aku nak kahwin dengan kau. Allah beri akal untuk kita berfikir dan membezakan apa yang buruk dan apa yang baik. Tapi, aku hairan sebab kau cuma guna akal kau tu untuk perkara-perkara yang buruk aje. Mana perginya akal waras kau? Nampak macam terpelajar, tapi akal kau kosong!" kata Hayyad selamba.

"Apa?"

"Betullah! Kalau kau tu ada akal, kau tak akan rancang semua tu, kan? Kau takkan upah lelaki tu untuk jadi mangsa kau. Yang aku bengang sangat sekarang ni, aku yang jadi mangsa, bukannya lelaki tu."

"Siapa suruh you pergi motel tu? Kan I dah cakap jangan campur urusan I, tapi you yang degil. Kalau you tak pergi mesti I tak perlu kahwin dengan you. Kalau ayah I merayu sekalipun, you masih boleh menolak, kan?" Yuzma rasa tercabar.

Bukan salah dia pun. Dia dah rancang dengan teliti, tapi lelaki itu yang kacau daun. Sebab itu rancangannya jadi tunggang terbalik.

"Kalau aku tahu kau dah rancang perkara bodoh tu, aku takkan pergi ke motel tu tahu tak? Aku sendiri tak tahu kenapa Allah uji aku macam ni. Mungkin sebab aku banyak dosa, sebab tu Allah temukan aku dengan perempuan gila macam kau jadi isteri aku..."

Mata Yuzma terbuntang. Dia melompat naik atas katil dan niatnya mahu menampar mulut celopar lelaki itu. Tapi, tindakannya terbantut bila Hayyad lebih tangkas menangkap tangannya. Yuzma terkial-kial mahu melepaskan genggaman tangan itu.

"Kau tak payah nak tunjuk lagak dengan aku. Kalau aku nak, aku boleh buat apa saja kepada kau, tapi aku cuma suka benda yang cantik dan indah aje. Kau cantik..." Hayyad meliarkan jemarinya ke pipi Yuzma.

"Tapi, kau tak indah," kata Hayyad lagi seraya melepaskan tangan Yuzma.

Dia turun dari katil itu dan memilih untuk tidur di atas sofa tiga berangkai yang terletak di hujung katil.

"Kurang ajar!" jerit Yuzma tidak puas hati.

Dia belum pernah berjumpa lelaki yang mulutnya celopar macam Hayyad. Sudahlah kurang ajar. Berlagak pula tu! Apa beza cantik dengan indah? Kalau dah cantik, mestilah indah! Bodoh betul! bentaknya seraya menghenyakkan tubuhnya atas tilam tebal empuk itu.

"Jangan tutup lampu!" Suara garau itu memukul gegendang telinganya.

Yuzma buat-buat tak dengar. Dia baru panjangkan tangannya untuk menutup suis lampu sebelum terdengar Hayyad bersuara lagi.

"Kalau kau tutup lampu aku akan tidur atas katil kau tu!" Hayyad sempat mengugut. Dia tak boleh lelapkan mata kalau tidur dalam gelap.

Yuzma tergelak perlahan. Takut gelap ke mamat tu?

"Bukan takut gelap, tapi aku tak suka tidur dalam gelap. Bahaya!" kata Hayyad lagi.

Alasan! Kalau takut, cakap ajelah takut. Tak payah nak putar belit fakta! desis Yuzma dalam hati.

MAK SITI duduk di atas tangga sambil termenung sendirian. Malam itu, dia tiada mood mahu menonton televisyen walaupun siaran Astro Mustika HD sedang menayangkan drama kegemarannya. Dia tinggalkan Amnie yang sedang tercongok depan TV.

Dia rasa tidak sedap hati dan sejak tadi dia rasa berdebar-debar. Dia tidak tahu kenapa. Nak kata ada darah tinggi, elok saja tekanan darahnya sejak muda. 128/90! Maintain. Apa yang dia perasan, hatinya rasa berdebar-debar bila dia teringatkan Hayyad dan Ammar.

Kenapa agaknya Hayyad masih belum balik ke rumah? Besar sangat ke masalah Ammar kali ini?

Lamunannya terhenti bila ternampak sebuah kereta berwarna kuning memasuki halaman rumahnya. Cepat sahaja dia mengecam kereta itu. Itu kereta Aisyah. Mak Siti tersenyum simpul melihat Aisyah keluar dari perut kereta.

"Assalamualaikum, mak cik," sapa Aisyah lembut seraya mendekati Mak Siti yang sedang berdiri di tangga.

"Waalaikumussalam, Aisyah. Dari mana ni?" Mak Siti menyambut huluran tangan Aisyah yang mahu bersalam dengannya. Gadis itu menyalami dan mengucup tangannya.

"Aisyah dari rumah. Nak hantar hantaran yang dah siap tu. Semuanya tujuh dulang dan Aisyah akan balas sembilan dulang." Aisyah tersenyum manis.

Sejak Hayyad menyatakan hasrat mahu meminangnya, bibirnya tidak pernah lekang dengan senyuman.

"Oh, ya ke? Susahkan Aisyah aje kena siapkan hantaran daripada pihak Hayyad sekali. Si Hayyad pun masih tak nampak batang hidung lagi. Cincin pun tak beli lagi. Risau betul mak cik. Tak pernah pula dia pergi lama-lama macam ni." Mak Siti pamer wajah risau.

"Dia tak apa-apa, mak cik. Aisyah baru aje cakap dengan dia. Aisyah dah beritahu yang Aisyah dah siapkan semua hantaran. Lagipun, masih ada tiga hari lagi, kan? Masih sempat lagi nak beli cincin," balas Aisyah dengan reaksi yang masih seperti tadi.

"Harap-harap sempatlah, Aisyah. Mak cik bukan apa, risau sebab Hayyad tu tak pernah tinggalkan kebun pisang kesayangan dia tu lama-lama. Tapi, kalau dah Aisyah cakap macam tu, lega sikit hati mak cik ni."

"Mak cik jangan risau, okey? Kalau tak esok, mesti dia akan balik lusa," tegas Aisyah lagi. Yakin!

"Insya-Allah, Aisyah. Eh, jomlah masuk dulu." Mak Siti menggarukan kepalanya.

Ralit pula bersembang dengan Aisyah di tangga. Sampaikan terlupa nak mempelawa gadis itu masuk ke dalam rumah.

"Baiklah, mak cik. Tapi, kita ambil hantaran dalam kereta Aisyah dulu ya?"

Mak Siti tepuk dahi. "Oh, mak cik lupa lagi. Kejap mak cik panggilkan Amnie."

Aisyah sekadar mengangguk. Dia melangkah turun dari tangga dan kembali menghampiri keretanya. 

HINGGA CINTA MENYATUKANWhere stories live. Discover now