Bab 20

239 15 2
                                    

TAN SRI MOKHTAR yang mahu keluar untuk bermain golf dengan beberapa orang rakan niaganya menghampiri Hayyad yang sedang berdiri di tepi kolam renang. Hayyad kelihatan seperti sedang termenung panjang. Dia berpeluk tubuh sambil merenung air kolam yang tidak beriak itu.

"Hayyad..." serunya lembut. Bahu menantunya itu ditepuk perlahan.

Hayyad segera menoleh. Terus sahaja dia mengukir senyum walaupun agak terkejut.

"Ya, Tan Sri..." Hayyad menggarukan kepalanya.

Dia tidak tahu sejak bila Tan Sri Mokhtar berada di belakangnya. Segan bila memikirkan mungkin Tan Sri Mokhtar memerhatikan tingkahnya.

"Kenapa panggil Tan Sri? Sekarang ni kamu dah jadi menantu ayah. Panggil ayah."

"Hah?" Hayyad ternganga. Wajahnya terus berubah riak.

"Panggil ayah," ulang Tan Sri Mokhtar tersenyum sambil memasukkan tangan kanannya ke dalam poket seluar slek hitamnya.

"Ya, ayah," jawab Hayyad teragak-agak.

Segan untuk menyebut panggilan itu. Canggung pula rasanya. Sebelum ini, mereka jarang berjumpa dan tidak pernah bersembang panjang. Dia sibuk mengekori Yuzma dan Tan Sri Mokhtar tentulah sibuk dengan kerjanya. Memang tidak ada masa untuk berbual.

"Kenapa kamu termenung kat sini?"

"Oh, sebenarnya saya ada hal nak bincang dengan... ayah." Hayyad masih lagi teragak-agak mahu menyebut perkataan ayah. Lidahnya rasa macam nak tergeliat saja.

"Apa dia?" tanya Tan Sri Mokhtar agak teruja.

"Sebelum tu, saya rasa saya kena beritahu sesuatu tentang diri saya..." Hayyad berjeda seketika sambil melirik ke arah Tan Sri Mokhtar yang berdiri di sisinya.

Lelaki itu kelihatan tertunggu-tunggu apakah yang ingin dia sampaikan.

"Saya cuma petani yang mengusahakan kebun pisang dan kebun sayur. Saya tak ada ijazah sebab saya cuma belajar sampai SPM aje. Saya orang kampung dan dunia saya bukan di sini. Kehidupan saya ada di sana."

"Jadi?" soal Tan Sri Mokhtar sepatah.

"Jadi, saya rasa Yuzma takkan boleh tinggal di kampung dengan saya," balas Hayyad berterus terang.

Dia mahu balik ke kampung, masalahnya ialah Yuzma. Dia serba salah sebenarnya. Kemunculan Yuzma bagaikan bebanan yang cukup berat untuk ditanggung olehnya. Kalau boleh, dia tidak mahu sesiapa pun di kampungnya tahu tentang dia dan Yuzma. Tapi, dia sedar yang dia tidak boleh menyembunyikan hakikat itu.

"Jom kita duduk di sana." Tan Sri Mokhtar melangkah menuju ke arah kerusi rotan yang terletak berhampiran dengan pancuran air buatan selang beberapa meter jaraknya dari kolam renang.

Hayyad membuntuti dari belakang. Dia turut duduk di atas kerusi selepas disuruh oleh bapa mertuanya.

"Hayyad, sekarang ni Yuzma dah jadi hak kamu yang sah. Yang mutlak. Kamu ada kuasa sepenuhnya ke atas Yuzma. Sama ada dia boleh tinggal di kampung ataupun tidak, itu masalah dia. Ayah tak nak kamu rasa serba salah. Bawa aje dia balik ke kampung kamu. Yuzma sudah jadi tanggungjawab kamu dan ayah nak minta kepada kamu supaya jaga dan didik dia menjadi isteri dan wanita yang baik dan solehah."

Hayyad terkebil-kebil mendengar amanat itu. Itu kali kedua Tan Sri Mokhtar bercakap tentang perkara itu. Kali pertama ialah selepas majlis akad nikah dia dengan Yuzma tempoh hari. Itu bukan sesuatu yang mudah. Yuzma memang payah nak dididik lagi. Degil!

"Saya cuma rasa yang saya ni bukan lelaki yang sesuai untuk jadi suami dia. Mungkin ada lelaki lain yang lebih layak untuk jadi suami Yuzma."

"Apa maksud kamu, Hayyad?" Dahi Tan Sri Mokhtar berkerut-kerut. Kata-kata Hayyad tadi seperti ada makna yang tersirat. Apakah?

HINGGA CINTA MENYATUKANWhere stories live. Discover now