Bab 13

6.1K 90 7
                                    

Siti mengeliat sedikit. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Telinganya bagai mendengar suara alunan ayat suci. Perlahan tetapi jelas sebutannya.

Dalam kesamaran lampu tidur, terlihat jelas dimatanya Faizal dalam keadaan qiam menghadap kiblat. Walaupun membelakangkan katilnya, suara Faizal jelas sekali ditelinga Siti. Siti mengerling jam di dinding bilik. Belum pun sampai 3.30 pagi.

Siti kembali memusatkan perhatiannya pada Faizal. Takbir, rukuk, sujud, semuanya dilakukan dengan tertib dan penuh kusyuk. Selesai memberi salam, Faizal menadah tangan. Panjang sekali doa dibaca Faizal. Kedengaran seperti Faizal teresak-esak. Sayu hatinya bila Faizal turut menyebut-nyebut namanya di dalam doanya yang panjang itu.

Siti kembali memejamkan mata berpura-pura tidur apabila dilihatnya Faizal mula bangun melipat sejadah. Faizal naik ke atas katil lalu lampu tidur di tepi katil dipadamkan. Sempat Faizal menghadiahkan kucupan di pipinya sebelum kembali berbaring disebelah Siti.

Ketika Faizal mula berdengkur perlahan, Siti masih cuba memujuk matanya untuk lena. Ada juga sesekali sebelum ini dia tersedar ketika Faizal bangun bertahajjud, tetapi baru hari ini dia berpeluang mendengar doa-doa Faizal untuk dirinya.

Siti menghela nafas panjang. Dia mengiring menghadap Faizal yang sedang lena. Tangannya dilingkarkan di atas dada Faizal. Benar dia tak ada zuriat tapi dia ada suami yang penyayang. Ada rezeki lain yang melimpah ruah hasil dari kasih sayangnya itu. Dan, dia harus bersyukur untuk itu.

ʻʻKenapa abang tak kejut Siti bangun tahajjud sekali?ʼʼ tanya Siti semasa mereka sedang bersarapan pagi minggu itu. Faizal terdiam.

ʻʻAbang takut Siti letih. Lena je tidurʼʼ jawap Faizal.

ʻʻAbang kerja lagi letih kot. Siti buat apa je kat rumah ni? Bukannya ada anak nak dijaga. Kucing pun tak deʼʼ Jawapan Siti buat Faizal tersenyum.

ʻʻOkey. Nanti abang kejut. Kita jemaah sekaliʼʼ Faizal diam seketika. ʻʻSayang nak kucing ke?ʼʼ

ʻʻIshh, tak nak lah. Nanti tak pasal-pasal asyik terbersin je. Siti nak kerja boleh tak, bang?ʼʼ

ʻʻKerja apa?ʼʼ

ʻʻApa-apa lah. Janji kerja. Bosanlah duduk rumah. Mak pun dah makin sihatʼʼ

Yang sebenarnya Siti nak lari dari Hafizi. Kalau dia masih ada di rumah ketika Faizal bekerja dan emak pula ke masjid, peluang untuk Hafizi datang menerjah sesuka hati terbuka luas.

ʻʻNantilah abang tengok macam manaʼʼ jawap Faizal.

Kopi yang hampir sejuk dihirup. Kerja apalah yang sesuai untuk Siti, fikirnya. Dia kalau boleh tak mahu Siti bekerja. Dia lebih dari mampu menyara Siti dan emaknya.

Petang itu juga dia ke rumah sepupunya, Murni. Tinggal di kampung, rumah saudara-mara pun sekitar kampung jugalah.

ʻʻAda apa, bang?ʼʼ tanya Murni. Berkerut-kerut dahinya menahan panas. Faizal ni diajak masuk ke rumah tak mahu pula, getus hati Murni.

ʻʻMurni ajar budak tuition lagi tak?ʼʼ tanya Faizal dari dalam kereta. Dia tak mahu turun berbual dengan Murni. Si Murni ni kalau dilayan berborak, sampai ke Maghrib nanti pun tak sudah.

ʻʻAjar. Kenapa, bang?ʼʼ

ʻʻNak pakai pengajar tak?ʼʼ

ʻʻEh, nak laa, bang. Mana abang tau Murni nak cari Cikgu ni?ʼʼ tanya Murni.

ʻʻMak bagi tahu. Kalau macam tu, nanti abang suruh Kak Siti jumpa Murni ya? Murni bincanglah dengan diaʼʼ

ʻʻBoleh, bang. Boleh. Esok Murni datang rumah jumpa diaʼʼ jawap Murni riang.

Lega hatinya mendengar pertanyaan Faizal. Kawannya yang sama-sama mengajar kelas tambahan dengannya tengah tunggu masa je nak bersalin. Jadi, dia terpaksa mencari pengganti sementara. Mujurlah ada calon yang datang menyerah diri.

Siti menyelak sehelai demi sehelai helaian buku rujukan Matematik Sekolah Rendah di atas ribanya. Ruang tamu rumah batu dua tingkat itu sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi kipas yang berpusing laju.

ʻʻBoleh kan, kak? Akak ajar Tahun 5 dengan Tahun 4. Tahun 6 saya ajar. Tak ramai pun muridnya. Setakat ni ada 12 orang jeʼʼ Murni bersuara memecah sunyi.

ʻʻErr... Boleh ke akak ni mengajar? Murni lainlah. Memang kerja Murni jadi Cikguʼʼ jawap Siti risau.

ʻʻAkak cubalah dulu. Lagipun, kita bukan sepenuhnya mengajar. Kelas ni lebih pada pengukuhan untuk persediaan murid UPSR. Lebih pada buat latih tubi je, kak. Nak harapkan kami kat sekolah, memang tak terkejar, kakʼʼ terang Murni.

Murni cuba meyakinkan Siti. Dia tahu kerja Siti dulu pun bukannya calang-calang jawatan. Berhenti kerja pun atas permintaan suami. Tapi, tak apalah. Suami Siti kaya. Murni tersengih sendiri.

ʻʻTak apa, kak. Jangan risau. Nanti saya tunjukkan kat akak apa yang perlu ditekankan dalam kelas. Ada silibus yang boleh kita buat panduanʼʼ terang Murni lagi.

ʻʻKalau macam tu, okeylah. Bila boleh start kelas?ʼʼ

Jawapan Siti melegakan hati Murni. Kelas tambahan ini hasil inisiatif Jawatan Kuasa Kampung untuk membantu anak-anak yang akan mengambil UPSR. Jadi yang mengajarnya pun anak-anak kampung itu jugalah.

Hanya kelas untuk subjek tertentu sahaja yang diadakan. Bayarannya pun tidaklah semahal dan semewah kelas tambahan di bandar sana. Kelasnya pun hanya tiga hari sahaja iaitu Selasa, Khamis dan Jumaat.

Sebagaimana Murni, Siti juga merasa lega. Sekurang-kurangnya masa senggangnya di waktu petang mula terisi. Cuba sajalah. Mana tahu nanti suka pula, fikirnya.

Yang pentingnya, dia dapat mengelak kejutan demi kejutan dari Hafizi.

AlongWhere stories live. Discover now