Bab 39

4K 90 12
                                    

Panahan cahaya lampu siling mengejutkan Faizal yang sedang lena. Matanya bagai dicucuk-cucuk. Berkerut dahinya menahan silau. Dipaksanya matanya terbuka mencari gerangan makhluk yang membuka lampu.

ʻʻSayang! Nak pergi mana?ʼʼ Terkejut Faizal melihat Siti yang sedang memakai tudung di hadapan cermin.

ʻʻBeli ais krimʼʼ jawap Siti. Tangannya lincah melipat sisi tudungnya yang berwarna biru itu.

ʻʻYa, Allah. Dah pukul 1 pagi dah ni. Esoklah abang belikanʼʼ Serak kedengaran suara Faizal. Matanya terasa bagi digam.

ʻʻTak pe. Abang tidurlah. Siti boleh beli sendiri. Dekat je 7E tu. Apa sangatlah setakat beli ais krim tu, kan?ʼʼ Tenang saja Siti menuturkan kata-kata. Tanpa menunggu Faizal, dia terus berjalan keluar dari bilik.

ʻʻEh, tunggu! Abang pergi belikanʼʼ Kelang-kabut Faizal bangun mencari dan memakai seluar tidurnya yang bergulung dihujung katil. Bajunya tak tahu tercampak entah ke mana. Lalu disarungnya sweater yang tergantung di dalam almari.

Siti melangkah perlahan menuruni tangga. Sebelah tangannya memegang kuat pemegang kayu yang terdapat pada tangga di tepi dinding itu. Sebelah lagi menampung perutnya yang sesekali mengeras dan terasa senak.

Lututnya terasa ngilu setiap kali dia melangkah menuruni tangga. Ketika kandungannya berusia 5 bulan lagi dia dah mula sakit lutut. Apatah lagi bila kandungannya ini mencecah ke 7 bulan.

Sampai ke mata tangga yang terakhir, Siti berhenti seketika. Termengah-mengah dia mengambil nafas. Tangan Faizal terlebih dahulu mencapai kunci kereta yang tergantung di tepi dinding ruang tamu sebelum sempat Siti mencapainya.

ʻʻKejap abang nak basuh mukaʼʼ kata Faizal sambil berjalan laju menuju ke sinki dapur. Siti pula melangkah perlahan keluar ke garaj lalu berdiri menunggu Faizal di sisi keretanya.

Faizal membukakan pintu kereta untuk Siti. Siti masuk tanpa sepatah kata. Sepanjang perjalanan ke 7E Siti diam membisu. Pandangannya dilontarkan ke luar tingkap kereta. Sikit pun tidak menoleh ke arah Faizal.

Faizal tahu Siti marahkannya. Dari pagi sebelum Faizal pergi kerja lagi Siti dah pesan belikan dia ais krim. Tak kisahlah ais krim apa pun. Asalkan ais krim. Ais krimnya yang terakhir dah dihabiskan Rizqy.

Sebelum balik kerja, Siti mesej lagi. Entah kenapa dia boleh terlupa pula. Terus berubah riak ceria di wajah Siti menjadi muram sepanjang malam. Bila dah malam, dia pula malas nak keluar.

Bila dilihatnya Siti diam saja, Faizal menyangka yang Siti dah tak kisah tentang ais krimnya. Manalah dia tahu yang Siti nekad juga mahu keluar mencari ais krim idamannya juga biarpun tengah malam buta.

Sejak Siti mengandung, inilah pertama kali Siti buat perangai macam ni. Selama ni tak pernah pun buat atau minta benda yang pelik-pelik. Tak pernah menyusahkan Faizal dengan permintaan yang bukan-bukan.

Hati Faizal dipagut rasa bersalah. Tangan Siti diraih dalam genggamannya. Dikucupnya jari-jemari Siti. Genggaman tangan Faizal tidak berbalas. Siti lebih berminat merenung lampu jalan dari memandang wajah Faizal.

Siti menahan rasa sedih dan pilu yang terbuku dihatinya. Entah mengapa susah sangat untuk dia memujuk hatinya kali ini. Bukan susah sangat pun benda yang dia minta. Itu pun Faizal tak boleh nak adakan.

Sampai di 7E, Siti terus menuju ke peti sejuk yang menempatkan pelbagai jenis ais krim. Sebatang ais krim dengan pembalut berwarna kuning terus diambilnya. Tanpa berlengah plastik ais krim dikoyakkan dan terus digigitnya ais krim idamannya itu.

Siti buat-buat tak nampak Faizal yang tercegat di sisinya. Nikmat betul rasanya bila dapat apa yang diidam-idamkan. Sekejap saja ais krim ditangannya sudah pun tinggal separuh.

AlongWhere stories live. Discover now