Part 3

139 8 0
                                    

"KENAPA ni, sayang?" soal Hazwan lembut bila si gadis yang dibawa kelihatan seperti hilang fokus. Tidak berminat untuk menyanyi bersama mereka yang lain.

Malam ini karaoke menjadi pilihan untuk menghabiskan masa. Masing-masing tidak silu melontarkan suara. Menunjukkan bakat terpendam. Dan sememangnya ada di antara mereka yang cukup berbakat.

Pun begitu tiada siapa berminat untuk menjadi artis demi mencari populariti. Latar belakang keluarga masing-masing membuat mereka tidak perlu bekerja keras di dalam hidup. Tidak perlu berbuat apa-apa.

Andai ingin berjoli seumur hidup sekalipun tiada siapa akan menghalang. Harta yang bertimbun mampu diwarisi hingga 7 keturunan.

"Nothing," balas Dahlia acuh tidak acuh. Menggeleng perlahan. Berpeluk tubuh memerhatikan gelagat teman-teman yang sakan berjoget dek lagu rancak yang dinyanyikan.

Entah kenapa sejak beberapa hari ini moodnya seperti ke laut dalam. Bagai ada sesuatu yang tidak enak akan berlaku. Seolah keindahan dan kebebasan hidupnya akan berakhir tidak lama lagi.

Bertaut kening sejenak bila memikirkan perkara yang terasa mustahil untuk berlaku. Kebebasannya tidak akan dirampas sesiapa.

Dia bukan Kamila yang dijerat kekasih lama. Kekasih lama yang cuba merantai hidup Kamila dengan tali yang cukup suci.

Dia, puteri kesayangan Tuan Marzuki. Permintaannya sentiasa dipenuhi. Mana mungkin kebebasannya dapat disekat tanpa kebenaran Tuan Marzuki.

Daddy kesayangannya itu akan memastikannya sentiasa tersenyum ceria. Tidak pernah menghalangnya keluar berjoli.

Walaupun dia suka berjoli, dia tetap tahu menjaga diri. Tidak kira berapa ramai lelaki yang dijadikan kekasih sementara, dia tidak pernah membiarkan diri diambil kesempatan.

Lelaki-lelaki yang menjadi pilihan hanya diberi peluang untuk menggenggam jemarinya sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Tubuh puteri Tuan Marzuki perlu dijaga rapi. Tidak boleh dicela oleh mana-mana lelaki. Dia tahu andai ada yang berani bertindak dengan lebih jauh, Tuan Marzuki tidak akan teragak-agak untuk mengajar mereka yang cuba mengambil kesempatan ke atas puteri kesayangan lelaki veteran itu.

Dek pengaruh hebat Tuan Marzuki buat dia terlalu bebas melangkah. Tidak perlu risau andai lelaki yang dipilih cuba membuat onar.

Puteri kesayangan Tuan Marzuki mungkin nampak lepas dan bebas. Hakikatnya masih polos dan suci. Hanya boleh dipetik oleh seorang suami.

"Tell me," pinta Hazwan seraya meraih jemari runcing si gadis.

3 bulan bersama, hanya jemari runcing si gadis dapat disentuhnya. Membuatnya diejek teman-teman di sisi. Menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap gadis itu.

Pun begitu, dia tidak berani bertindak lebih daripada itu. Pengaruh Tuan Marzuki sudah cukup untuk membuatnya memadam niat yang bukan-bukan di hati. Takut untuk memprovok amarah lelaki veteran itu.

Dia bukan pewaris empayar keluarga. Setiap sen yang dimiliki semuanya datang dari elaun mewah yang diberikan keluarga.

Jika dia berani memprovok mereka yang punya kuasa, keluarganya tidak akan cuba melindunginya. Sedari awal lagi diberi amaran agar tidak mendatangkan masalah buat keluarga sendiri.

Andai dia mahu melakukan sesuatu sekalipun, perlu mendapat persetujuan gadis itu. Lalu dia lebih senang menggunakan taktik buaya. Perlahan-lahan cuba mencairkan hati seorang Dahlia.

"I nak balik," tingkah Dahlia merentap jemarinya dari genggaman Hazwan.

Dia bingkas bangun. Melangkah pergi tanpa meninggalkan sebarang alasan. Tidak peduli tentang pandangan teman-teman yang tertanya-tanya apa yang berlaku. Lagi pula hubungan yang wujud cuma teman berjoli. Tidak lebih daripada itu.

Soal lelaki bernama Hazwan pula lagilah tidak perlu diambil kisah. Dia tidak pernah serius melayan lelaki-lelaki yang cuba mendampinginya. Dia hanya ingin menghabiskan masa di samping mencuci mata.

Lelaki-lelaki yang dijadikan pilihan tentu sahaja punya paras yang sedap untuk dipandang. Tidak lupa pada tubuh berketak yang mampu membuat ramai gadis menelan liur berkali-kali.

Pun begitu lelaki-lelaki yang dipilih bukan di antara pewaris syarikat. Langsung tidak punya kepentingan di dalam keluarga. Hanya tahu berjoli sepertinya.

Namun kedudukan mereka sebenarnya jauh berbeza. Dia merupakan satu-satunya puteri kesayangan Tuan Marzuki. Status itu sudah cukup untuk menunjukkan kepentingan seorang Dahlia.

Hanya dia yang merendahkan nilai diri. Sudi menghabiskan masa dengan mereka yang bergantung hidup dengan elaun mewah yang disalurkan oleh keluarga masing-masing.

Semua itu tidak penting. Soal mood yang ke laut dalam perlu diberikan perhatian. Tidak suka bila dibayangi dengan kemungkinan yang bukan-bukan.
Pelik!

Dia cuba membenamkan rasa yang tidak enak. Cuba memikirkan yang baik-baik sahaja. Naluri yang kuat menghentak buatnya sukar untuk memadam bayangan yang tidak sepatutnya. Ish!

Muiz For DahliaWhere stories live. Discover now