Part 15

118 8 0
                                    

"DADDY, please." Suara si puteri kedengaran separuh merayu. Merayu agar dilepaskan dari terus diseksa si abang sepupu.

Setiap hari diheret si abang sepupu ke syarikat buat otaknya yang sebelum ini tidak perlu digunakan untuk bekerja terasa cukup tertekan. Hampir gagal berfungsi.

"Lia..." Lembut nada yang digunakan Tuan Marzuki. Tangan turut mengusap lembut ubun-ubun si anak memujuk agar Dahlia terus kuat mengharungi cabaran.

Simpati bercambah di hati melihat wajah terdera si puteri kesayangan. Malang sekali dia tidak boleh menunaikan hajat sang puteri.

Janjinya pada Muiz perlu dikotakan. Setiap keputusan lelaki muda itu perlu diberi sokongan. Tidak boleh berpihak pada si puteri. Lagi pula apa yang dilakukan demi kebaikan puterinya. Bukan untuk merosakkan kehidupan Dahlia.

"Lia perlu dengar cakap Muiz. Lia akan jadi pewaris daddy. You need to learn everything," tutur Tuan Marzuki serius.

"Kenapa Lia?" soal Dahlia ragu. Kepala yang dilentok di bahu Tuan Marzuki diangkat. Mata menilik reaksi di wajah kacak lelaki veteran yang selesa bersandar di sofa panjang empuk di sudut bilik pejabat.

Sejak bila pula dia akan menjadi pewaris Simfoni Group? Kenapa bukan lelaki pembuli itu?
Sedari awal lelaki pembuli itu yang mengikut Tuan Marzuki ke syarikat. Sejak berada di bangku sekolah lagi sebenarnya.

Pantang ada peluang Tuan Marzuki akan membawa Muiz untuk belajar tentang selok-belok syarikat. Dan lelaki pembuli itu memang punya bakat.

Sebaik menghabiskan pelajaran di peringkat universiti, Muiz terus diheret bekerja di syarikat Tuan Marzuki. Dan 6 tahun lalu Tuan Marzuki mengarahkan Muiz mengendalikan anak syarikat yang baru dibuka di luar negara.

Di tangan Muiz anak syarikat itu berdiri hampir setanding dengan ibu syarikat. Menunjukkan kehebatan dan kelayakan lelaki itu untuk mewarisi Simfoni Group.

Kenapa tiba-tiba sahaja dia yang tidak tahu apa-apa diangkat untuk menjadi pewaris Tuan Marzuki? Dia langsung tidak layak. Malah tidak berminat.

"You're my girl. Daddy akan tinggalkan segalanya untuk Lia. Bukan orang lain," balas Tuan Marzuki tenang.

Keputusan itu tidak pernah berubah dari dahulu hingga sekarang. Andai si puteri tidak berminat sekalipun, Muiz akan membantu Dahlia menguruskan segalanya. Kedudukan Dahlia sebagai pewaris syarikat tidak akan tergugat.

"I don't want it," putus Dahlia tanpa ragu.
Terdiam sejenak Tuan Marzuki mendengar keputusan puterinya. Kemudian tergeleng kecil. Tidak tahu patut ketawa atau menangis dengan bicara si anak.

Pewaris lain sibuk ingin mempertahankan kedudukan. Pewarisnya pula mahu menyerahkan takhta ke tangan orang lain.

"It's yours," tegas Tuan Marzuki. Mula menggunakan nada diktator. Tidak membenarkan si puteri menolak hak sendiri.

Bukan dia tidak mengakui kehebatan si anak saudara. Namun si anak saudara lebih dari mampu bangun di atas kaki sendiri. Tidak perlu mewarisi syarikatnya.

"Daddy!"

"Lia perlu belajar."
Dahlia mengeluh berat bila Tuan Marzuki mula bertegas. Bibir dimuncungkan geram.

"Daddy ajar Lia," tingkah Dahlia tidak mahu bergurukan si pembuli.

Kalau dia terpaksa belajar, biar Tuan Marzuki sahaja yang mengajarnya. Dia tidak mahu berada bersama si pembuli setiap waktu dan ketika.

Dadanya terasa sesak dek sikap diktator lelaki itu yang suka memberi arahan dan jelas ingin memonopoli hidupnya. 6 tahun berlalu tetap tidak dapat mengubah keinginan lelaki itu. Argh, benci!

"Abang yang akan ajar Lia."

Suara garau Hitler bergema rapat di telinga Dahlia. Desah nafas si Hitler terasa menghembus lembut pada cuping telinga buat nafasnya hampir tersekat di kerongkong.

Entah sejak bila lelaki pembuli sesuka hati melangkah masuk ke bilik pejabat peneraju syarikat pun dia tidak tahu. Salam pun tidak diberi.

"Lia nak daddy ajar," bentak Dahlia bingkas bangun mencipta jarak di antara mereka. Bimbang cuping telinganya bersentuhan dengan bibir si pembuli.

'Perlu ke rapat-rapat macam ni? Tolong jaga jarak boleh tak?' Hati menggerutu geram.

"Daddy sibuk," tingkah Muiz seraya meraih jemari runcing Dahlia. Ingin mengheret gadis yang menghilang dari pandangan tanpa meminta kebenarannya.

Di mata seorang Mohd Muizzam, Nur Dahlia Awatif sudah berada di bawah tanggungjawabnya. Dalam erti kata lain menjadi hak milik mutlaknya. Hanya lafaz ijab kabul diperlukan untuk mengesahkan hubungan di antara mereka.

Lalu setiap gerak dan tingkah gadis itu perlu berada di dalam pengetahuannya. Perlu mendapat keiizinannya. Kebebasan selama 6 tahun yang diberikan telah tamat. Si gadis perlu menerima hakikat itu biarpun tidak rela.

"Daddy," rayu Dahlia cuba meminta simpati Tuan Marzuki.

Hanya dengan arahan Tuan Marzuki dia dapat melepaskan diri. Jika tidak dia akan terikat dengan si Hitler yang suka mengaturkan hidupnya.

"Daddy sibuk, Lia. Biar Muiz yang ajar Lia," tutur Tuan Marzuki tersenyum penuh makna.

Kembang-kempis hidung mancung si puteri mendengar jawapan itu. Nampak benar si daddy sengaja bersekongkol dengan si abang sepupu. Tidak sudi berpihak kepada anak sendiri.

Sejak si abang sepupu kembali, dia mula dianaktirikan bapa sendiri. Bagaimana hati tidak menyimpan benci pada lelaki pembuli itu?

Mata mencerun tajam pada lelaki di sisi sebelum membuang pandang ke arah lain. Bengang.
Dapat dibayangkan kehidupannya selepas ini.
Sentiasa berada di dalam genggaman si abang sepupu. Tiada lagi kebebasan seperti dulu.

Kepala mula berputar. Berfikir untuk melarikan diri. Jauh dari si pembuli. Jauh dari si bapa yang melayan puteri sendiri seperti anak tiri. Humph!

Вы достигли последнюю опубликованную часть.

⏰ Недавно обновлено: Apr 21 ⏰

Добавте эту историю в библиотеку и получите уведомление, когда следующия часть будет доступна!

Muiz For DahliaМесто, где живут истории. Откройте их для себя