1

2 0 0
                                    

SEBUNGKUS mi segera dicapai dari atas rak. Sempat dia menjengket untuk melihat stok mi segeranya. Masih berbaki dua pek. Cukuplah untuk dua hari lagi. Lagipula gaji akan masuk lusa.

Siap mencapai mangkuk dan pinggan dari atas rak yang sama, dia seterusnya mengambil kunci bilik yang disangkut di hook langsir. Mahu keluar untuk mengambil air panas di pantri yang berada di tingkat tiga. 

Sampai sahaja di pantri, dia terus ke arah mesin penapis air SK Magic. Automatik terbayang wajah kacak Park Seo-joon. Sambil menunggu air panasnya cukup untuk merendam mi segera, otaknya mula berjalan.

Duit PTPTN masih berbaki beberapa ratus. Tapi, duit itu disimpan untuk waktu kecemasan. Duit sedekah Pak Ngah Man masih berbaki 40 ringgit. Lusa dia akan terima duit gaji dari kedai buku tempat dia bekerja secara part-time sebanyak RM 800. 

RM500 akan dipindahkan ke akaun ibu. Selalunya 450, tapi kerana Ilham perlu menyertai kem di luar sekolah yang memakan belanja RM50, jadi bulan ini dia perlu pindahkan lebih daripada kebiasaan. 

Tolak apa yang patut, tinggalah RM300 duit gajinya. RM300 untuk sebulan. Hm, insya-Allah cukup. Nanti dapat sahaja gaji, dia perlu singgah di kedai runcit Aceh untuk beli mi segera dan roti. Mi segera untuk malam dan roti untuk pagi. Tengah hari? Tengah hari dia selalu makan nasi dengan telur mata di kafe Kak Ton. 

Bila dia boleh makan sedap? Tentulah setiap hari Jumaat. Ada edaran nasi berlauk percuma untuk makan tengah hari di masjid. Siap pakej dengan teh o ais atau sirap. Bolehlah buat dia bertukar angin sekali seminggu. Tidaklah telur mata penat tengok mukanya. 

Atau, apabila teman sebiliknya menghulurkan apa-apa yang tidak boleh dihabiskan. Bolehlah dia merasa makanan yang tidak pernah dijamahnya sebelum ini.

"Eh, Naina!"

Naina berpaling. Sempat dia mematikan butang air panas. Sedang elok air panas mencecah paras yang dia mahukan.

"Kau tak ikut Lai, Farah semua pergi steamboat ke?"

Soalan Puteri dibalas dengan senyuman dahulu. Sementara dia mahu beralih ke meja yang berada di tepi dinding pantri. Mahu merendam mi segeranya di dalam air panas.

"Tak ikut."

"Kenapa?"

"Aku ada presentation esok. Nak kena prepare." 

"La ya ke? Aku ingatkan kau join sekali."

"Tak pun." Naina menggeleng. "Hm, aku balik bilik dulu Puteri. Jumpa esok."

"Okey."

Keluar dari pantri, Naina berjalan ke lif. Mangkuk di tangan dipegang berhati-hati. Risau terkena air panas dan risau tertumpah. Jika tertumpah, mungkin dia terpaksa berlapar sahaja malam ini.

Sampai di bilik, Soraya, teman sebiliknya sedang menggosok tudung. Orang senang. Seterika dibawa sendiri dari rumah. Tidak perlu bersusah-payah ke bilik gosok di tingkat lima. Dan, tidak perlu pening kepala jika tertangkap dek jawatankuasa hostel. Senang saja bayar denda.

"Dari mana Naina?"

"Ambik air panas. Nak makan maggi."

"La, kenapa tak guna water heater Aya je?" 

"Takpe Aya. Lagipun boleh jalan-jalan tengok orang." 

Soraya kerap kali menyuruhnya menggunakan jag pemanas air milik gadis itu. Tapi, Naina yang menolak. Bukan apa... Dia risau jika jag itu rosak semasa diguna olehnya. Mana mampu dia ganti jag itu. 

"Hm, iyelah... Aya nak keluar ni. Nak keluar dengan Naim. Aya nak kirim apa-apa?"

Nak kirim? "Takpe lah Aya. Naina makan maggi je."

"Okey."







KEHIDUPAN Naina tidak seperti kehidupan anak muda lain. Dia orang susah. Hm, kalau ikutkan mungkin dia sepatutnya tidak tergolong dalam kategori susah kerana ayahnya merupakan pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi. Tapi, kerana keadaan, dia secara tidak langsung perlu hidup seperti orang susah.

Dia anak pertama daripada empat orang adik beradik. Adik pertamanya, Ilham berada di tingkatan lima. Yang seterusnya, Jihan (perempuan) berada di tingkatan dua, dan akhir sekali Syaza masih di sekolah rendah. Darjah empat. Ibu mereka, menjual kuih tradisional - lepat pisang, kuih kapur dan kuih lapis. Dibuat sendiri lalu dihantar ke kedai-kedai di sekitar kampung. Tapi, kerja begitu tentulah tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan. Atas sebab itu, Naina menghantar duit belanja kepada ibunya. 

Ayahnya? Ayah sudah selamat berkahwin baru. Dengan seorang wanita bekerjaya yang ditemuinya semasa majlis reunioun universiti enam tahun yang lalu. Sejak enam tahun yang lalu itulah kehidupan Naina berubah seratus peratus. 

Figura seorang ayah sudah tidak wujud dalam kehidupan Naina bahkan adik-adiknya. Nafkah langsung terabai. Ayahnya mencurahkan segala-galanya kepada keluarga barunya. Baru-baru ini dia lihat ayah membawa isteri serta anak-anak barunya menunaikan umrah. Siap dengan pakej menziarah kota Turki lagi. 

Dek kerana jawatan ayah, Naina tidak boleh memohon bantuan zakat atau biasiswa yang dikhususkan bagi anak yang datang daripada keluarga susah. Padahal, kalau ikutkan Naina lebih daripada susah. Seorang pelajar sepenuh masa yang baru berusia 21 tahun sudah perlu menanggung kelangsungan hidup keluarga. 

Tidak cukup susah?

Tapi, tak apa. Adalah tu hikmahnya. Mungkin Allah nak persiapkan Naina untuk sesuatu yang lebih mencabar. Lagipun, kesusahan itu Allah hantar sekali dengan ganjaran pahala.

SinkronisasiWhere stories live. Discover now