2

2 0 0
                                    

NAINA letakkan beg galas di dalam loker percuma setelah mengambil komputer riba dan buku nota. Kunci loker dicabut lalu dimasukkan ke dalam kocek seluar. 

Sambil melalukan kad akses di hadapan pengimbas, sempat dia memerhatikan ruang legar di sebelah kiri pintu masuk perpustakaan. Selalunya dia duduk di salah satu meja di ruang itu. Harapnya masih ada tempat kosong.

Berjalan tenang, Naina perasan ada satu tempat kosong. Terus dia lajukan langkah ke arah itu. Jika lambat, mungkin tempat itu akan menjadi milik orang lain. Iyelah, bukan dia seorang pelajar yang mahu duduk di tempat itu.

Ketika dia meletakkan komputer riba ke atas meja, matanya tertancap pada plug extension yang diletakkan di atas kerusi. Automatik keningnya terjungkit. Kepalanya dipusing ke sekeliling. Mahu melihat jika ada mana-mana pelajar yang datang menuntut plug extension itu. Tapi, apabila tiada hatta seorang, Naina buat keputusan untuk letakkan plug itu ke tepi tiang yang berada di sisi mejanya. 

Selamat duduk di kerusi, dia hidupkan komputer riba. Komputer riba ini disedekahkan oleh Pak Ngah Man semasa awal tahun pertama dulu. Komputer riba ini sudah lama, jadi ada masanya termati dengan sendiri. Nasib baiklah dia tahu fungsi auto-save. Jadi, sentiasa selamatlah kerja-kerjanya. 

Naina mengetik pautan Google Docs yang dikongsi Lai semalam. Dia, Lai dan Farah sering berada di dalam group assignment yang sama. Mereka bertiga sudah cukup selesa memandangkan sudah mula bekerjasama sejak semester satu. Walaupun begitu, Naina tidaklah begitu rapat dengan kedua-dua mereka. Bukan kerana sikap mereka, tapi kerana dirinya sendiri yang mengelak daripada berteman rapat dengan sesiapa. 

Sedang Naina ralit membaca pengenalan esei yang ditaip oleh Lai, tiba-tiba mejanya diketuk. Automatik mata dia hinggap pada satu tangan berurat yang mengetuk meja sebelum naik kepada wajah individu itu.

"Ya?"

"Hm, ni tempat aku."

"Eh? Tapi waktu saya sampai tadi meja ni kosong."

"Seingat aku, aku tanda dengan plug extension. Kau takde nampak plug aku ke? Pelik..."

Plug extension? "Ada-ada." Naina bangun dari kerusi. Melangkah beberapa tapak ke belakang sebelum dia menunduk untuk mencapai plug extension yang diletak di situ tadi. 

"Yang ni?" 

"Ha." Plug extension bertukar tangan.

Kalau begitu, memang betullah lelaki berbaju kolar itu lebih awal menanda tempat ini.

"Kejap ya? Saya kemas barang kejap." 

"Eh, tak apalah."

Naina menjungkit kening. Wajah lelaki itu dipandang, memohon penjelasan lanjut.

"Kau duduk je lah sini. Aku cari tempat lain."

Eh? Naina pusingkan tubuh, memandang sekeliling. Semua meja dan kerusi sudah berpenghuni.

"Takpe. Aku naik atas je. Kau duduklah."

Belum sempat Nain mengucapkan terima kasih, lelaki itu sudah beredar. Bukan main pantas langkah lelaki itu. Untunglah kaki panjang.





"RM 3."

Duit kertas di tangan dihulurkan kepada tauke, Kak Ton. Selepas itu, Naina menuang kicap Mudim yang memang disediakan Kak Ton di meja kaunter. Kicap dituang di atas nasi dan telur mata. Siap urusannya di meja kaunter, dia melangkah ke tempat biasanya.

Duduk sahaja di kerusi, Naina letakkan pinggan di atas meja. Telefon dikeluarkan dari dalam poket seluar. Dia mahu menghantar mesej kepada ibunya. Mahu memberitahu bahawa dia sudah memindah duit ke akaun ibunya.

Naina: Salam bu. Along dah transfer duit. Nanti ibu bagi Ilham 50 ya?

Siap menekan butang hantar, dia matikan telefon lalu gajet nipis itu diletakkan di tepi pinggan. Setelah itu, dia mula menjamah nasi. Petang ini, selepas Asar dia perlu bergegas ke kedai buku pula. Syifnya sampai pukul 10 malam ini. 

Waktu kerja yang fleksibel merupakan satu benda yang Naina syukuri. Uncle Chua, pemilik kedai buku sendiri yang meminta dia untuk mengisi jadual kerja mengikut jadual kelasnya. Baik bukan Uncle Chua?

Telur kuning diasingkan siap-siap. Dia suka telur kuning lebih berbanding telur mata. Jadi, telur kuning akan disimpan untuk dimakan akhir sekali. 

Sambil mengunyah nasi dan telur, Naina memandang sekeliling ruang kafe. Ruang kafe Kolej Amanah ini luas. Paling luas berbanding kafe-kafe kolej lain. Di kafe ini juga ada lebih banyak kedai. Di hujung sekali, ada kiosk Tealive. Di sebelah Tealive, ada Doonuts. Kedai donut berperisa yang paling popular pada masa ini. Di sebelah Doonuts tersusun kedai roti canai dan kedai runcit.

Di barisan sebelah sini pula, ada kedai Kak Ton, kedai air yang dimiliki oleh Kak Ton juga, kedai masakan panas dan akhir sekali kedai aneka sup. 

Naina cuma kerap berkunjung ke kedai Kak Ton. Satu-satunya kedai yang dia mampu untuk jejakkan kaki tanpa perlu memikirkan baki duitnya. Lagipun, makan nasi berlaukkan telur lebih mengenyangkan berbanding dessert dan sebagainya. Kalau dia tidak makan malam pun perutnya boleh tahan sampai pagi keesokan hari.

Awal-awal semasa dia mula praktikkan makan sekali sehari, teruk juga gastriknya. Sampai muntah-muntah. Tapi Naina buat bolayan. Tidak mahu manjakan tubuhnya. Dengan keadaan ekonomi keluarga, dia tidak punya ruang dan peluang untuk lemah.

Ya. Dia perlu menjadi kuat kerana itu satu-satunya pilihan yang dia ada.

 Ting!

Naina capai telefon. Pop-up mesej dari ibunya yang terpapar pada skrin ditekan dua kali. 

Ibu: Kenapa transfer duit yuran Ilham? Kan ibu dah kata tak perlu, along...

Tanpa berlengah, mesej itu dibalas.

Naina: Takpe. Along dapat gaji lebih sikit bulan ni. Ibu simpan je duit ibu, okey?

Dia tipu sebenarnya. Tipu sunat. Mana ada dia terima gaji lebih bulan ini. Gaji dalam jumlah yang sama saja. Tapi, jika dia tidak gunakan taktik itu, tentulah ibu akan berterusan mempersoalkan tindakannya.

Ibu: Terima kasih banyak-banyak, along... Moga Allah rahmati along sentiasa...

Naina tersenyum. Itu sudah cukup. Doa ibunya sudah cukup untuk menjadi pendukungnya bagi terus kuat.

SinkronisasiWhere stories live. Discover now