2. Gangguan Tengah Malam

34 12 25
                                    

Di asrama aspuri bilik bernombor tujuh, kelihatannya ada seseorang yang baru sahaja terjaga dari lenanya. Tidak lain dan tidak bukan, gerangan itu tentunya si Fini. Seorang pelajar asrama yang suka bangun tengah malam untuk mengulangkaji pelajaran, itu sudah menjadi rutinnya acap kali peperiksaan sekolah kian mendekat, cara belajarnya memang begitu.

Lagipun fokusnya tidak mudah terganggu, maklumlah keadaan yang sunyi memang meningkatkan lagi tahap tumpuannya, baginya belajar tengah malam pada pukul satu setengah  hingga tiga pagi macam tu memang begitu sesuai, senang sahaja ilmu yang dia pelajari tersimpan rapi di benaknya. Malahan sahabat karibnya pun gemar berbuat begitu, tentang itu mereka berdua memang sekepala, kedua-dua mereka sering mengamalkan rutin tersebut.

Kini Fini berjalan dengan penuh berhati-hati, perlahan-lahan dia mula menapak ke arah katil sahabat karibnya. Sedaya upaya langkah kaki dihayun tanpa mengeluarkan sebarang bunyi, lagaknya ketika itu seperti seorang pencuri bersiri.

Matanya terkelip-kelip ingin memerhatikan keadaan sekelilingnya, dalam samar-samar kegelapan dia mula mendekati figura sahabat karibnya yang sedang nyenyak tidur. Suasana ketika itu memang agak gelap. Hanya lampu di bahagian koridor sahaja yang menyala menyalurkan cahaya. Lagi pula kain langsir di bilik itu memang agak tebal, jadi hanya sedikit sahajalah cahaya yang akan terpantul dari luar. Fini enggan menghidupkan suis lampu kerana tidak ingin mengganggu lena ahli biliknya yang lain.

"Ui Gadis, bangun. Jomlah pigi belajar."

Fini mengejutkan Sahabat karibnya. Gadis hanya bergerak sedikit menandakan yang dia sudah pun terjaga dari tidurnya. Tidak lama setelah itu, Fini pun berlalu pergi hendak bersiap-siap.

Usai Fini dan Gadis selesai bersiap, maka bermulalah sesi mengulangkaji. Masing-masing mereka tekun membelek buku, sesekali tangan mereka berdua bergerak-gerak lincah menconteng helaian kertas kajang yang bergaris-garis itu. Agaknya sedang membuat latihan mungkin.

Nak tahu di mana mereka berdua mengulangkaji pelajaran pada waktu tengah malam? Sudah tentu bilik yang terletak di hujung sekali menjadi pilihan mereka berdua, bilik itu digelar sebagai bilik rekreasi. Mengapa dipanggil bilik rekreasi? Mudah sahaja jawapannya, sebab bilik tersebut tempat pelajar asrama aspuri menonton televisyen ketika hujung minggu. Bilik tersebut terletak di tingkat bawah, betul-betul terletak di bawah bilik Fini dan Gadis.

Fini dan Gadis menggunakan sebuah meja kayu yang agak rendah, jadi mereka hanya perlu duduk bersila sahaja di situ, lantai di bilik itu memang sentiasa bersih, tiap hari pelajar asrama aspuri akan membersihkannya. Ketika itu hanya kedengaran bunyi kipas syiling yang menyalurkan angin, bunyi pen serta bunyi helaian kertas diselak sahaja yang menghiasi ruang pendengaran.

Tapi tidak lama kemudian.

Tiba-tiba ada bunyi asing yang mula bersuara.

Ngiut, push.

Bunyi pintu dibuka dan ditutup.

Wush, wush.

Bunyi seseorang menyiram-nyiram lantai seperti sedang mandi.

Gush gish gush.

Bunyi seseorang sedang memberus-berus sesuatu.

Bermacam-macam lagi bunyi yang terus-menerus menerjah ruang pendengaran mereka, bunyi seperti ada orang naik dan turun tangga, suara orang sedang bercakap-cakap, bunyi seperti ada benda jatuh dari atas. Setahu mereka pelajar asrama yang lain masih lagi lena diulit mimpi, lagi pula mustahil pelajar asrama yang lain tiba-tiba sahaja aktif di waktu tengah malam begini. Takkanlah ada aktiviti qiamullail pula. Selalunya aktiviti sebegitu akan dijalankan ketika hujung minggu sahaja bukannya di waktu persekolahan.

Entah mengapa hari itu, Fini dan Gadis disajikan dengan bunyi-bunyian yang tidak pernah mereka dengari sepanjang menjalankan rutin mengulangkaji di waktu tengah malam, ini memang gangguan kali pertama mereka harungi, sebelum ini tenang sahaja mereka belajar tanpa gangguan apa pun.

Fini dan Gadis hanya memekakkan telinga buat-buat tidak dengar, lagipun orang selalu kata kalau dengar bunyi-bunyi asing jangan ditegur.

Meskipun begitu, semakin mereka berdua cuba menafikan bunyi-bunyian itu, semakin rancak pula gangguan tidak diundang itu menerpah ruang pendengaran mereka. Seolah-olah gangguan misteri itu membawa rombongan untuk mengacau Fini dan Gadis.

Kali ini kedengaran pula bunyi tapak kaki berlegar-legar di koridor, bunyinya semakin lama semakin bertambah. Dari satu pasang bunyi tapak kaki diheret-heret di perkarangan koridor menjadi dua pasang kaki, tiga pasang kaki dan semakin banyak sampai tak mampu lagi dihitung.

Fini dan Gadis kian dihimpit rasa gelisah dan takut, mereka hanya mampu merenung langsir putih yang tersangkut kemas di bilik rekreasi itu. Tidak ingin rasanya mereka menyelak langsir itu. Waktu itu, mereka ibarat pelarian yang bersembunyi disebalik sebuah bilik yang bertutup.

Fini dan Gadis saling berpandangan antara satu sama lain, masing-masing mereka sudah pun menumpahkan keringat peluh dingin, gugup mula menguasai diri mereka kala itu, posisi mereka seolah-olah terkunci tidak mampu hendak berbuat apa-apa.

Sehinggalah...

ada sepasang tapak kaki yang sepertinya menuju ke arah bilik rekreasi tersebut.

Pak, pak, pak, pak, pak.

Derapan tapak kaki itu kian mendekat, Gadis dan Fini terus-menerus di ambang ketakutan. debaran jiwa yang mendesak membuatkan tubuh mereka berdua menggigil, degupan jantung kian kencang, otak terasa beku tidak mampu berfikir lagi, ibarat ruang pemikiran mereka kosong seperti sehelai kertas putih kosong yang belum diconteng apa-apa.

Ngiut.

Tombol pintu dipulas dari luar lalu terbuka luas.

Serta-merta Fini dan Gadis terpandang akan sosok seseorang yang berdiri kaku di depan pintu sedang merenung ke arah Fini dan Gadis.

Kelibat yang baru muncul itu, elok sahaja bersandar di tepi pintu sambil merenung ke arah Fini dan Gadis. Renungannya tersirat suatu makna. Hanya yang pernah melaluinya sahaja yang mampu memahami riak tersebut. Mulutnya hanya membisu, pakaiannya serba putih, kainnya agak labuh. Sekilas pandang macam kain telekung.

"Arhhhhh!!!"

Fini dan Gadis menjerit serentak. Walau tanpa sebarang bicara pun, sudah cukup membuatkan mereka berdua seram sejuk. Perasaan panik kian membara.

Dung, dung, dung, dung, dung.

Serta-merta dengan perasaan yang gementar, Fini dan Gadis menghalakan pandangan ke arah datangnya bunyi tersebut. Entah kali ini kejutan apa lagi yang bakal mereka harungi.

5:00 am

"Arhhhhh!!!"

Sekali lagi mereka berdua terjerit.

Ternyata...

"Hehhh. Macam mana buli salah tingu jam pula ni?"

Gadis mengeluh menempiaskan rasa kekesalannya.

"Enda sempatlah ni ulangkaji."

Fini pula bersuara menyuarakan kehampaannya.

Rupa-rupanya bunyi asing tu...

__________

Dipersilakan buat andaian sendiri.😂

Thanks yang sudih baca. Maaf kalau tidak terhibur.

fahamkah ending dia? Macam tak sampai ja ni.😂

Takut atau senyum?

Takut Atau Senyum???Where stories live. Discover now