PROLOG

158 10 2
                                    

LAMA Firas memandang skrin telefon. Masih tidak percaya Hilda mahu bertemunya. Sekali lagi mesej wanita itu dibaca.

Betul. Bekas isterinya itu mahu mengadakan pertemuan.

Pelik. Selama dua tahun ini, mereka langsung tidak pernah bersemuka. Semua urusan berkaitan anak-anak hanya melalui orang tengah.

Bukan dia tidak cuba untuk menjernihkan keadaan, tetapi Hilda tidak memberikan kerjasama. Rasa seperti mengemis setiap kali mahu bertemu anak-anak.

Firas akui gugup. Entah bagaimana reaksinya nanti apabila berhadapan dengan Hilda. Berharap dia dapat mengawal apa jua perasaan yang akan muncul. Lebih-lebih lagi rasa marah yang masih bersisa.

Telefon di atas meja diambil. Blazer yang disangkut turut dicapai. Mahu penampilan yang kemas saat bertemu wanita itu. Untuk apa?

Supaya perempuan itu sedar dia kehilangan seorang lelaki yang punya segalanya.

Hati segera beristighfar dek keterlanjurannya bersifat riak.


FIRAS melangkah masuk ke restoran. Terkedu saat melihat figura bekas isterinya. Sedang merenung jauh ke luar tingkap.

Wanita itu sudah berhijab? Sejak bila?

Entah. Tapi, dia akui Hilda nampak manis.

Hilda langsung tidak menyedari kehadirannya. Firas bedeham. Cuba mengusir rasa gugup sekali gus mematikan lamunan wanita di hadapannya.

"Apa mimpi awak? Tiba-tiba ajak jumpa?" tanyanya.

Kunci kereta dan telefon dibuang ke atas meja. Jam tangan dilirik sekilas. Gaya seperti marah kerana mencuri masanya untuk pertemuan itu. Acah-acah dia terpaling sibuk di dunia ini.

Hilda menelan liur. Tingkah dingin dan kasar Firas membuatkan dia memikir semula tujuan pertemuan itu diadakan. Jujur, ada debaran yang sedang membadai.

Pelayan menghampiri Firas.

Firas melirik air kosong di hadapan Hilda. Dia juga memesan minuman yang sama.

Hilda memerhati. Setelah dua tahun tidak bertentang mata, wajah Firas nampak lebih matang. Ada garis-garis halus yang muncul, sesuai dengan usia yang semakin meningkat. Sudah 36 tahun usia Firas bin Dato' Fakrudin.

Firas melirik jam di pergelangan tangan. Dia tidak akan mengulangi soalannya. Biar tingkahnya yang berbicara. Memberitahu yang dia mahu pertemuan ini segera ditamatkan.

Apabila Hilda masih membisu, Firas membuang pandang ke luar restoran. Kalau wanita itu masih membisu, rancangannya adalah menunggu minuman yang dipesan sampai, teguk sedikit untuk hilangkan dahaga dan pergi dari situ.

Dia masih cuba untuk tidak memandang wajah Hilda. Tidak tahu kenapa. Bimbang amarahnya memuncak kembali? Atau bimbang rasa cinta menyapa lagi? Paling dia bimbang, Hilda menghulurkan kad jemputan kahwin.

Kenapa perlu takut? Firas sendiri tidak faham.

Pelayan menghantar minuman.

Ekor mata Firas melirik Hilda ketika meneguk minumannya. Masih ada saki-baki rindu untuk wanita itu. Bohonglah kalau dia telah membuang terus wanita itu daripada hatinya. Terlalu banyak kenangan yang tersemat rapi dalam lipatan ingatan.

"Has the cat get your tongue?" soal Firas apabila tidak betah lagi menunggu.

Dia yakin. Kalau tidak penting, Hilda tidak akan aturkan pertemuan ini. Sama-sama membenci. Jadi, cepat-cepatlah cakap. Kan senang?

Hilda masih membisu.

Buang masa! desis hati Firas. Dia mengutip barang-barangnya di atas meja.

"You're wasting my time,"ujarnya, lalu berdiri.

Hilda bungkam. Kenapa lidahnya keras sangat? Pita suara langsung tidak berfungi. Semalaman dia menyusun ayat. Dia berlatih. Tapi, nampak gayanya bukan mudah bila Firas berada di hadapannya.

"Saya nak bagi peluang awak bersama dengan anak-anak semula. Terutamanya Kimi."

Tergamam. Firas duduk semula. Wah, menarik peluang yang ditawarkan, desis hatinya. Sebelum ini nak jumpa anak pun tak dikasinya. Banyak alasan.

"Let's hear it," ujar Faris dengan angkuh.

Kedua-dua tangan disilang pada dada sambil mata tunak memandang wajah di hadapannya. Namun, sekejap sahaja. Apabila pandangan mereka bertaut, dia larikan anak mata ke arah lain.

Firas menggigit bibir bawah. Benci apabila dia kalah tanpa perlu berlawan. Hanya dengan pandangan itu, dia tewas.

Hilda menatap wajah Firas. Mampukah mereka tinggal sebumbung semula? Bagaimana keadaannya nanti? Ya Allah. Sukarnya untuk aku luahkan rancanganku ini. Hatinya berdesis.

Firas menelan liur. Ligat otaknya berfikir. Apa yang payah sangat ni?

"Boleh cepat sikit tak? Saya tak ada masa nak borak panjang dengan awak." Firas menggesa.

Lemah juga hatinya apabila ditenung begitu. Sungguh, dia tidak suka dengan rasa tewas yang dirasakan saat ini. Tapi, dia perlu bijak mengawal situasi.

"Satu cara aje untuk dekatkan awak dengan anak-anak."

Jeda.

Firas menjongketkan kening.

"Kita kahwin semula dan tinggal bersama. Hil akan tolong abang untuk rapat semula dengan anak-anak."

Firas tergamam. Abang? Kahwin? Tinggal bersama?

Mereka berbalas pandang seketika sebelum Hilda melarikan anak matanya. Pandangan Firas sangat tajam sehingga tembus ke hatinya.

"What's your game?" tanya Firas dengan wajah serius.

Hilda menggeleng. "Hil sedar Kimi dan Naura perlukan sebuah keluarga yang lengkap. Mereka sedang membesar."

Firas masih merenung Hilda tajam. Mahu membaca wajah itu. Tapi, gagal.

"Puan Hilda binti Hamdan, saya tak bodoh. Saya kenal awak. Jenis bongkak. Susah payah awak habiskan duit untuk tuntut fasakh, tiba-tiba nak ajak kahwin semula? Gila ke apa?" Firas mencapai kasar telefon dan kunci kereta, lalu berdiri.

Hilda turut berdiri. "Hil belum habis cakap lagi."

"Saya tak ada masa nak layan permintaan gila awak." Firas membuka langkah.

Dia yakin tawaran Hilda adalah satu perangkap. Cuma, tidak jelas cara dia akan terjerat.

"Hil tak gila. Abah sakit. Dia kena buat dialisis. Hil perlukan duit."

Berubah wajah Firas. Kaki berhenti melangkah. Terbayang wajah bekas mertuanya.

Firas berpaling. Kecewa yang singgah buat sekian kalinya perlu ditutup. Itu tujuan untuk mereka kembali memegang title husband and wife?

"Jangan risau. Saya akan tanggung semua perbelanjaan dia. Tak perlu kut sampai nak kahwin dengan awak. Buat sakit jiwa. Saya lebih rela tanggung sepuluh orang lagi yang nak buat dialisis daripada jadi suami awak sekali lagi. Azab."

Hilda tergamam. Dipandang wajah Firas tanpa berkedip. Dia mengetap bibir. Hati dirusuh rasa pilu. Dia tunduk. Kematian kata.

Kalaulah Firas tahu apa yang dia sedang hadapi saat ini. Betapa payahnya untuk menghadap lelaki itu. Masih trauma dek dibelasah sebelum ini. Masih terbayang-bayang wajah bengis Firas. Masih teringat kesakitan yang ditinggalkan oleh lelaki itu. Tapi, apakan daya.

"Ada duit tak nak bayar minuman saya?"

Sekali lagi rasa perit menikam mendengarkan sindiran Firas. Air kosong aje pun. Taklah sengkek sampai tahap macam tu, desis hatinya.

Hilda angguk tanpa memandang si pelontar soalan.

Firas melangkah pergi. Lebih baik dia segera angkat kaki sebelum rasa bersalah semakin menghimpit. Sebelum air mata Hilda melemahkan hati lelakinya.

Hilda memandang susuktubuh Firas sehingga hilang daripada pandangan. Diameraup wajah sekali gus menyapu air matayang mula turun.

SELINGKUH ASMARAWhere stories live. Discover now