BAB 2

52 3 0
                                    

FIRAS memandang wajah yang masih bengkak dengan beberapa kesan calar. Masuk hari kelima peristiwa kemalangan, namun Hilda masih belum sedar.

Namun, melihatkan perkembangan positif isterinya hari demi hari, dia yakin dengan janji doktor. Hilda akan sedar dalam masa terdekat.

Ya, Firas mendoakan kesembuhan wanita itu. Tapi pada masa yang sama, dia perlu bersedia menghadapi amarah isterinya. Dia perlu ada jalan cerita yang meyakinkan bagi membuktikan dia dan Amani tidak mempunyai hubungan lebih daripada hubungan majikan dan staf.

"Encik Firas, doktor dah sampai untuk cek pesakit. Boleh encik keluar sebentar?"

Firas menoleh. Dipandang wajah Doktor Akram. Doktor Akram senyum.

"Jangan putus asa, Encik Firas. Teruskan berdoa. Kami di sini akan lakukan apa sahaja yang terdaya untuk bantu Puan Hilda," janji Doktor Akram.

"Terima kasih, doktor." Firas melangah keluar.

Terus mata menyorot Lydia di kerusi menunggu di luar bilik. Gadis itu kelihatan bermenung panjang.

"Eh, Lydia. Dah lama sampai?" sapa Firas.

Lydia tersenyum sinis. Tidak ada keperluan untuk menjawab soalan abang iparnya. Terlalu banyak persoalan yang berlegar dalam kepalanya. Apa yang berlaku sebenarnya?

Cerita Firas dan cerita pemandu yang melanggar kakaknya berbeza. Dua versi yang bukan sekadar berbeza, malah bercanggah.

"Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa angah tiba-tiba berlari ke tengah jalan?"

Firas memusingkan tubuh, menghadap Lydia. Belum sempat dia menjawab, soalan lain pula menyusul.

"Kenapa celebrate birthday di situ? Waktu kerja pulak tu. Kak Farah dan Atikah cakap angah tergesa-gesa keluar dari kedai. Macam ada kecemasan."

Firas memicit cuping telinga kanannya. Reaksi luar kawal apabila tidak selesa dengan situasi yang dihadapi.

"Apa sebenarnya yang Lydia nak dengar daripada abang? Kan abang dah cerita semua?"

"Cerita sebenar," tukas Lydia dengan wajah garang.

Sesuatu sangat abang iparnya ini.

Firas berdecit. Pangkal leher pula dipicit. Sejak Lydia berpisah dengan Fairosh, dia tak ubah seperti punching bag gadis itu. Memang leceh!

"Daripada Lydia buat kerja polis pencen ni, lebih baik berdoa atas tikar sejadah agar Hil cepat sedar." Firas menempelak Lydia.

Lydia mendengus kasar. Panas hatinya mendengar sindiran Firas.

"Lydia tahu ada sesuatu yang tak kena. Macamlah Lydia tak tahu yang korang ada masalah. Hei, orang tak buta lagilah!"

Kemunculan Hamdan dan Sharifah menghentikan bunga-bunga pertengkaran antara Firas dan Lydia. Masing-masing memaniskan wajah.

Apabila Doktor Akram keluar, mereka semua melangah masuk ke wad.

Hamdan membawa langkah terus ke katil. Dipandang luka-luka kecil pada wajah Hilda yang saling tak tumpah dengan wajah arwah isterinya, Halida.

"Abah dah bagi tahu along ke belum?" tanya Lydia.

Walaupun abangnya seorang yang tidak bertanggngjawab, sekurang-kurangnya dia dimaklumkan.

Hamdan tersentak. Dia memandang anak bongsunya sebelum mengangguk. Sudah tiga kali dia menghubungi Hafiz, tapi anaknya itu hanya berjanji. Memang keras hati anak sulungnya itu. Entah sampai bila anak-anaknya akan terus bermusuhan.

Kenapa susah sangat untuk anak-anak merestui perkahwinannya?

"Ayah, Firas ke surau sekejap." Firas meminta diri.

Tidak mahu campur tangan dalam soal adik-beradik Hilda. Dia tidak salahkan Hafiz seorang. Perangai Hilda pun boleh tahan juga. Kuat membentak membuatkan lelaki itu semakin jauh.

"Eloklah. Berdoa lama sikit atas tikar sejadah." Lydia menyindir pedas.

Hamdan mencerlung anak gadisnya. Sharifah menggeleng perlahan.

Firas menarik nafas dalam. Memujuk hati supaya bersabar. Nasib kau tak jadi isteri Fairosh. Kalau tak, muka kau kat mana-mana pun ada, desis hatinya.

"Kenapa acik cakap macam tu? Hormat sikit. Dia tu kan suami angah." Hamdan menegur.

Lydia menjeling tajam. "Tak payah hormat sangat, abah. Ada sesuatu yang tak kena ni."

"Kita dah bincang hal ni semalam. Kita tunggu sampai angah sedar. Kita tanya dia sendiri. Jangan fikir yang bukan-bukan. Jangan menuduh." Hamdan menegur.

"Abah..."

Hamdan mengangkat tangan kanan sebagai isyarat Lydia tidak menghabiskan ayatnya.

"Yang tinggalkan acik ialah Fairosh. Bukan Firas. Jadi, jangan lepaskan sakit hati acik pada dia. Hormat sikit. Dia tu abang ipar acik. Jangan lupa dia yang tanggung acik belajar." Hamdan bersuara tegas.

Sharifah menyentuh lembut tangan suaminuya. Lydia ni jenis cepat terasa hati. Tambah pula suaminya mengungkit bab duit.

"Sama aje dua ekor tu. Nama pun adik-beradik, kan?" tukas Lydia.

"Lydia!" Hamdan meninggikan suara.

Dia tidak pernah mengajar anak-anaknya bersikap kurang ajar.

Hilda membuka mata. Hamdan segera menghampiri anaknya.

"Angah, anak abah dah sedar," ujar Hamdan, sebak. Kepala Hilda diusap penuh kasih.

Hilda kelihatan buntu. Langsung tidak bersuara. Mata langsung tidak berkedip.

"Cepat, panggil doktor!" Hamdan bersuara kalut.

Lydia berlari keluar dari wad.

Sharifah hanya memandang dari jauh. Tidak mahu mengambil sebarang risiko. Dia sedar kehadirannya tidak diperlukan. Apabila pandangannya dengan Hilda bertembung, dia gugup.

Pandangan Hilda tidak seperti selalu.

SELINGKUH ASMARAWo Geschichten leben. Entdecke jetzt