BAB 2

55 1 0
                                    

HIDNI menghempaskan tubuh ke sofa. Rasa letih yang amat sangat setelah bertemu dengan klien yang banyak songeh. Mulanya cakap begitu dan apabila sampai, mahu tukar pula. Tidakkah itu meletihkan mereka?

Tapi itulah, Elene selalu mengutamakan pelanggan. Apa kata pelanggan, semuanya benar belaka. Yang susahnya adalah mereka.

Hidni memegang lehernya. Memicit perlahan. Dia mengeluh pula. Kalaulah ada peneman, tak adalah dia memicit leher dan bahu sendiri. Ini semua salah Nafis.

Telefonnya berdering. Hidni menjenguk sedikit dan melihat skrin. Tertera nama Nafis.

Aisy, baru teringatkan dia, dia sudah menelefon.

"Awak..." Hidni melekapkan telefon ke telinga.

"Awak apa khabar, Nini?" tanya Nafis. Suaranya kedengaran serak.

"Tak sihat ke?" tanya Hidni.

Dia tahu kalau Nafis tidak sihat, suaranya amatlah tidak bermaya dan mahu bermanja dengannya. Tapi sekarang, mereka tidak lagi dapat berbuat demikian. Sekarang, mereka berdua bagaikan lelaki dan perempuan yang sedang bercinta.

"Ya, Nini sayang. Demam." Nafis mahu bermanja.

"Dah pergi jumpa doktor ke?" tanya Hidni simpati.

"Belum. Nini temankan?"

"Alah, Nini baru balik. Lewat sikitlah. Belum mandi lagi ni."

"Okey, Fis tunggu Nini ya..."


HIDNI segera bingkas selepas selesai bersembang. Simpatinya melimpah kepada Nafis. Elok-elok bersama, kena berpisah pula. Sebab itu orang tua-tua cakap, mulut kena jaga. Nanti badan binasa.

Mereka berdua sudah merasainya.

Langsung tidak dapat kembali bersama melainkan Hidni berkahwin dengan orang lain dan bercerai, barulah mereka dapat berkahwin semula.

Kata-kata tidak semudah perbuatan. Semuanya tidak sama. Hati orang pun tidak sama.

Walaupun mereka berdua masih mencintai, tetapi disebabkan mulut, segalanya berubah.

Hidni turun dari kereta Grab di depan rumah Nafis. Dia terus keluar dan menghampiri pagar rumah. Baru saja mahu menelefon Nafis, Nafis sudah muncul di muka pintu. Hidni mengukir senyuman.

"Demam teruk ke?" tanya Hidni apabila melihat Nafis nampak tidak bermaya.

"Macamlah Nini tak kenal Fis. Macam nilah Fis kalau demam. Nak Nini aje. Bila ada Nini aje, mulalah nak sihat." Nafis berkata manja sambil ketawa.

Hidni menjeling Nafis.

"Kalau tak jadi duda dan janda, dapatlah Nini peluk awak, Fis. Tapi, bila dah jadi macam ni, nak sentuh pun tak dapat. Apatah lagi nak peluk," kata Hidni, sedikit kesal.

"Maaf ya, Nini. Kalaulah Fis tak terlajak kata..." Nafis berkata perlahan.

Menyesal pun sudah tidak berguna. Segalanya tidak mampu kembali seperti sediakala hanya dengan menyesal.

Mereka berdua masuk ke dalam kereta.

Nafis menyandar di kusyen kereta. Kepalanya betul-betul berat. Tapi, dia tetap kena memandu kerana Hidni tak berani memandu.

Dia menoleh sekilas ke arah Hidni. Jika masih bersama, tentunya dia sudah boleh memeluk Hidni.

Hidni tidak seperti perempuan lain. Walaupun masih mencintai, tapi kalau haram tetap haram. Tak boleh menjadi halal hanya kerana saling mencintai.

"Kesiannya awak, Nafis. Tak sihat, tapi kena memandu. Saya minta maaf ya." Hidni berkata perlahan.

Nak buat macam mana, dia tidak berani memandu selepas berlaku kemalangan tak lama dahulu.

"Tak apa, Nini. Asalkan awak ada dengan saya, saya okey saja," kata Nafis. Dia mengukir senyuman kepada Hidni.

Nafis tidak kisah Hidni tidak pandai memandu. Orang perempuan kalau dibiarkan berdikari, mereka tidak hairan dengan suami sendiri nanti. Sebab itulah Nafis tidak kisah.

"Boleh jalan tak ni?" tanya Hidni apabila melihat Nafis memegang kepala.

Sakit sangat barangkali.

Nafis menggeleng. Hidni menghampiri Nafis. Disebabkan darurat, dia memeluk pinggang Nafis. Nafis tersenyum, nampak sangat taktiknya menjadi.

Hidni dan Nafis beriringan masuk ke dalam klinik. Selepas mendaftar, mereka menanti. Nama Nafis dipanggil.

"Saya nak masuk dengan isteri saya, boleh?" Nafis bertanya.

Hidni menjegil Nafis. Nafis hanya buat tak tahu saja. Selagi mereka berdua masih mencintai, dia akan cakap Hidni adalah isterinya.

"Nini, temankan Fis..." Nafis masih mahu bermanja di depan orang.

Hidni bingkas. Nafis ni memang nak kena dengannya.

Mereka melangkah masuk. Memandang doktor lelaki yang tidak diketahui namanya. Tapi, berdasarkan rupa, dia kacak. Sekilas lalu saja Hidni pandang doktor tersebut. Selepas selesai, mereka berdua keluar.

"Fis, awak ni merepek ya..."

"Fis rindu nak cakap Nini isteri Fis." Nafis berkata sambil menunduk.

Penyesalan menghentam dirinya sejak kali pertama dia melafazkan talak tiga kepada Hidni. Segala kata-katanya sudah tidak dapat ditarik balik apabila dia memberitahu mama mentuanya.

Sudahnya, jam itu juga dia dihalau keluar dari rumah tersebut. Merayulah bagaimanapun, Puan Aisah tidak akan berkompromi.

Sampai sekarang dia tidak dapat kembali ke rumah itu. Agaknya kalau dia pergi juga, bekas ibu mertuanya itu akan simbah Nafis dengan air longkang. Bekas ibu mentua yang garangnya macam singa.


"BOLEH ke tinggal seorang?" tanya Hidni apabila mereka sudah tiba di rumah.

"Nini temankanlah. Fis nak Nini..." Nafis merayu.

"Awak jangan buat kerja gila, Fis. Nanti kat headline news, duda dan janda talak tiga ditangkap berkhalwat. Awak nak bagi keluarga kita malu ke?" Hidni menjeling Nafis.

Nafis senyum kelat.

"Cepat masuk dan rehat. Lepas makan, baru makan ubat." Hidni mengingatkan Nafis.

"Nini tak nak masuk ke?" Nafis memujuk lagi.

"Cepatlah masuk. Syaitan banyak ni..." Hidni menarik Nafis keluar dari keretanya.

Muka Nafis sudah masam.

Hidni tidak berkompromi. Dia cukup tidak berkenan dengan cara Nafis. Agaknya kalau dia pun sama perangai macam Nafis, malam ini mereka akan tidur bersama. Nafis bukannya boleh kira sangat.

Hidni tidak akan termakan dengan pujukan Nafis. Dia tahu sikap Nafis macam mana. Mengenalinya selama lima tahun dan tiga tahun berkahwin, segalanya Hidni sudah tahu.

Lebih baik Hidni tidak terikut-ikut. Syaitan cukup suka kalau umat Nabi Muhammad SAW berbuat maksiat.

Selama mereka berpisah, rasanya tidak pernah sehari pun mereka tidak bertemu. Kalau tidak dapat bertemu pada tengah hari, mereka akan bertemu di waktu petang.

Tetapi, terpaksa bersembunyi kerana mama Hidni sudah tidak mahu melihat muka Nafis. Nanti tak pasal-pasal Hidni bergaduh dengan mamanya pula. Daripada bekas menantu kesayangan, Nafis menjadi bekas menantu hantu.

Semuanya salah Nafis.Menjatuhkan talak tanpa berfikir panjang. Sudahnya, mereka berdua terseksakerana masih mencintai antara satu sama lain.

LELAKI YANG KAU PILIHWhere stories live. Discover now