Bab 32

163 15 3
                                    

"AWAK sedang bazirkan masa saya Emir." Sengaja Dara melirik jam di pergelangan tangan dia berkali-kali.

Mana tidaknya, Emir itu sejak dari tadi hanya membuang masa dengan merenung dirinya tanpa bersuara. Kemudiannya, dia diperdengarkan pula keluh kesah lelaki ini yang tiada kesudahannya. Dia datang bukan sebagai pakar kaunseling.

"You're totally different, Dara. Saya macam baru kenal awak." Akhirnya Emir itu bersuara, sempat dia menggeleng kepala tidak percaya.

Dara perlu kalungkan pingat emas buat Haris. Lelaki itu berjaya munculkan sisi baharunya untuk berhadapan dengan Emir. Dan sejujurnya. dia dengan merasa sangat bangga bila Emir berkata dirinya sudah berubah sepenuhnya. Inilah hasil daripada didikan Haris dalam masa beberapa bulan ini.

Dara silang tangan ke dada. Dia hanya pamerkan senyuman buat Emir. Senyuman sinis mungkin. Jangan harap dia nak bermanis muka lagi.

"Jadi...Awak nak cakap, awak tak pernah berubah langsung? Awak tu kononnya lelaki yang baik, yang sangat bertanggungjawab, yang sentiasa dahulukan keluarga?"

"Oh...Senang cakap, semuanya yang baik-baik itu hanya ada pada awak. Begitukah Emir?"

Perubahan pertama yang Dara lihat, duduk Emir itu sudah tidak senang lagi. Beberapa kali dia melihat Emir ke depan, kemudiannya ke belakang semula bersandar pada kerusi. Dan sekarang, entah kenapa dia rasa Emir itu pula dah macam ayam betina yang menunggu masa untuk bertelur.

"Look..." Emir mendekatkan tubuhnya ke meja. Sepuluh jarinya berada di atas, lalu diramas-ramas.

Apa yang Dara dapat simpulkan, Emir itu nampak resah benar.

"Saya dah lihat semuanya semalam Emir." Potong Dara bila Emir itu masih menimang-nimang untuk bersuara.

"Awak sangat baik Emir, sampai saya tak sangka awak sanggup jejakkan kaki ke kelab malam. Saya pun tak tahu awak cari rezeki dengan cara berjudi dan hasilnya awak salurkan kepada orang tua awak untuk biayai rawatan mereka. Itu yang awak panggil tanggungjawab?" Senget kepala Dara. Menanti Emir membela diri.

Tadinya, Emir memperlihatkan sisinya yang resah. Rasa resah itu kini berganti dengan mukanya yang sudah merah-merah menahan marah.

"Tak mustahil kalau saya katakan, duit 'kita' yang awak canang-canangkan tu pun dah lesap hasil daripada kerugian awak berjudi." Dara beranikan diri bertentang mata dengan Emir.

Emir sepertinya tidak terkesan dengan kata-kata Dara. Lelaki itu membuang pandangan ke tempat lain untuk beberapa minit, barulah dia kembali mencari wajah Dara dengan muka lebih tenang.

Dara geleng kepala.Bagaimana Emir itu boleh tenang kalau terang-terang sudah tertangkap?

"Jangan cakap awak berjudi semata-mata untuk membayar semula duit saya yang dah lesap tu? Semalam saya nampak sendiri macam mana awak kalah dengan teruk!" Dara tak kisah apa pun reaksi balas Emir, apa yang dia tahu, dia jujur dengan apa yang terhidang pada sepasang matanya malam tadi.

Penyakit senyuman Dara berjangkit pada Emir. Namun senyuman sinis lelaki ini jauh lebih teruk berbanding dia.

"Awak nampak jahat saya, jahat awak? Perempuan baik-baik, tak akan pernah sesekali jejakkan kaki ke kelab malam."

Sikit lagi air minuman Dara hampir sampai ke muka Emir. Dasar Emir tak sedar diri.

Setelah sisi jahatnya Emir terserlah, terasa betapa bodohnya Dara ketika ini. Dia yang bodoh sebab masih sibuk terhegeh-hegeh mencari tahu siapa sebenarnya lelaki ini. Awal-awal, kan bagus kalau dia sedekah saja duit tersebut dan tutup kes. Selesai dua masalah. Masalah dendam langsai, jiwa pun tak sakit. Penyakit darah tinggi pun akan jauhi dirinya.

Tapi bila topeng kebaikkan Emir sudah tertanggal, maka Dara amalkan konsep hutang tetap hutang. Banyak yang dia boleh buat dengan duit itu. Walaupun tahu harapan dia untuk mendapatkan semula wangnya tipis, sekurang-kurangnya dia perlu berikan Emir itu pengajaran. Biar terang sikit hatinya.

"Awak sengaja nak intip saya kan?"

Nah. Emir sudah menuduh. Dan tak dapat Dara sangkalkan, tuduhan lelaki itu sangat mengena. Tapi dia belum bodoh untuk jujur. Biar saja lelaki itu menuduh selagi belum ada bukti kukuh.

"Bagus juga saya jadi jahat. Jadi baik ni penat, Emir. Sangat-sangat penat. Kena pula saya selalu terserempak dengan manusia yang topeng mukanya berlapis-lapis. Suka ambil kesempatan."

Dara perasan, rahang Emir itu bergerak-gerak.

"Atau perlu saya sampaikan nasihat pada Umairah? Dengar-dengar, dia anak orang kaya. Mungkin dia mangsa seterusnya awak? Atau pun, Umairah senasib dengan saya? Perempuan yang naif dipergunakan oleh lelaki tak guna macam awak, Emir."

Marah Emir itu sudah sampai ke kemuncak bila lelaki itu bangkit tiba-tiba. Sikit lagi meja yang diduduki mereka hampir terbalik kalau bukan tubuh Dara yang menjadi penghalang.

"Awak nak lawan saya, huh?" Emir menekan kuat meja makan. Dia tenung Dara seperti mahu menelan hidup-hidup.

Dara sikit pun tak takut dengan ugutan Emir. Dia ada pelindung yang sentiasa berada disampingnya. Dia hanya perlu berdoa saja.

Perangkap cintaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang