[Cinta yang tulus dapat menyembuhkan luka, tetapi kecurangan mencipta parut yang kekal]
*
*
*
Sambung....
Satu negara telah tahu mengenai kes penangkapan Maya bersama seorang lelaki yang bukan mahramnya.
Di media sosial pula netizen begitu aktif mengulas kisah itu. Pelbagai gambar dan video pendek dipaparkan mengenai Maya dan Johan. Malah madu Maya yang wajahnya tidak mereka ketahui itu ikut timbul dan diperkatakan menjadi punca kepada permasalahan hidup Maya. Hal madu ini Maya terus diamkan diri. Dia menutup mulut akan hal ini semasa ditanya wartawan sewaktu keluar dari balai polis pada malam tadi. Mungkin dia merasa selamat begitu.
Sepanjang malam itu pelbagai pendapat ikut tersebar. Ada yang percaya pada pernyataan Maya bahawa dia ke situ untuk ambil skrip lalu diserbu. Ada yang percaya Maya curang. Ada yang berkata suami Maya tidak adil sehingga Maya mengambil langkah yang salah. Ada yang kata madu Maya yang lakukan konspirasi itu. Mereka terus berkata walaupun mereka tidak duduk bersama Johan dan Maya. Mereka berkata seolah-olah mereka lebih tahu. Itulah netizen di zaman ini. Kadang-kadang begitu taksub dengan idola mereka sehingga menolak kebenaran. Malah jika ustaz menegur pun mereka tetap akan berkata mereka yang betul.
Makanya, Johan dan ahli keluarganya mengambil langkah berdiam diri sahaja pada malam itu walaupun telefon mereka berdering tanpa henti dari pelbagai pihak yang mahukan info lebih. Bagi Johan, tidak perlu dia mengulas semua benda itu. Dia sendiri telah lihat dengan matanya akan hal yang sebenar. Jadi Maya tidak boleh berhelah lagi.
Johan juga teringat akan kebimbangan Maya mengenai kulit bayi mereka semasa bayi mereka dilahirkan dulu samada hitam atau putih. Patutlah, kerana pengarah itu berkulit sedikit hitam. Johan menggenggam erat penumbuknya. Nasib baik anaknya berkulit putih sepertinya dan dia juga telah lakukan test DNA. Jadi dia tidak lah ragu lagi tentang itu. Malah wajah anaknya lebih banyak ciri-cirinya berbanding Maya.
Di rumah sewa Naila, wanita itu terkedu mendengar berita yang terpampang di skrin TV. Tidak pernah terlintas difikirannya dia akan mendengar berita sebegini. Jauh di sudut hatinya ada rasa kasihan kepada bekas suaminya, Johan. Naila tahu Johan begitu memuja Maya. Pasti lelaki itu dalam kedukaan yang amat dahsyat.
Ahh, biarlah. Buat apa nak sibuk hidup dia lagi. Batin Naila tidak mahu pening kepala memikirkan.
"Laa, kan dia ni pelakon popular tu ke. Suaminya dia kaya apa. Yang bodoh pergi curang, kau dah kenapa. Ish ish ish... awat lah yang bongok sangat perempuan ni..." Rakan serumah Naila yang rajin bercakap membuat komen terus menerus di depan Naila.
"Laki dia kan ada seorang lagi isteri." Rakan serumah Naila seorang lagi, yang jarang memberi komen juga ikut mengeluarkan komen yang membuat jantung Naila berdetak kencang. Janganlah tiba-tiba mereka mencari cerita lama dan wajahnya muncul. Semoga tidak. Kerana apa yang Naila tahu, wajahnya terlindung ketika kisahnya dan Johan tersebar dua tahun yang lepas.
"Tu la lelaki. Bila duit banyak mula pasang satu lagi. Lepas tu tak adil. Ni mesti Maya ni frust dengan laki dia."
"Bukan dia isteri kedua ke?" Sanggah rakan yang seorang lagi.
"Ye ke... tapi kau tengok kat you tube ni. Ada yang muat naik kata isteri dia yang sorang lagi tu punya kerja yang buatkan Maya tertangkap."
Jantung Naila semakin laju. Gila. Rasanya hendak saja dia menjerit ketika itu mengatakan Johan hanya ada seorang isteri iaitu Maya. Namun, Naila masih waras. Selagi dirinya tidak disentuh dan dibabitkan secara fizikal dia akan berdiam diri dan bersabar. Tapi jika sampai dia dipanggil untuk siasatan, maka pada masa itu dia akan berkata, dia sudah lama bercerai, dan rumahtangga Maya dan Johan runtuh bukan kerana dia.

YOU ARE READING
Tak Ingin Mengulang Rindu(TAMAT)
RomanceAmbisi luar biasa Naila untuk memiliki Johan tanpa mengira kifarah di Hari mendatang. Akan seperti apa kisahnya yang bila rasa tertipu, sakit hati dan kecewa mendominasi dalam diri.