Part 3

366 9 0
                                    

"Shit!!"

Aku tidak suka mencarut, tetapi aku akan mencarut jika ada perkara yang aku kurang gemar dan menjengkelkan berlaku di hadapan mata. Aku cuma rimas dan meluat melihat sekumpulan manusia yang sedang bermegah-megah dengan ijazah kelas pertama yang mereka perolehi. Mereka digelar pelajar cemerlang sedangkan aku dan beberapa rakan yang lain digelar tidak cemerlang. Mereka mendabik dada sedangkan kami tiada apa-apa untuk dibangga. Mereka bermegah sambil menjeling sinis pada kami yang jatuh rebah.

Aku kurang gemar dengan sistem pengkelasan berpandukan markah peperiksaan ini. Aku tidak faham mengapa kita perlu dikelaskan dengan cemerlang, memuaskan dan juga gagal? Mengapa perlu ada kelas untuk pelajar pandai dan kelas untuk pelajar corot? Mengapa mereka perlu diasingkan? Tidak bolehkah mereka diletakkan di dalam kelas yang sama, saling membantu antara satu sama lain. Kamu bijak dan bantu kawan kamu yang mungkin sedikit malas sehingga menampakkan beliau kurang bijak diatas kertas peperiksaan.

Perkara yang tidak betul ini sudah berlaku sedari peringkat sekolah lagi. Ia berterusan sehingga ke peringkat universiti. Mereka yang pandai terus disogok dengan pelbagai kemudahan dan perhatian manakala yang gagal disisih tanpa sebarang pembelaan. Tiada usaha untuk mengenalpasti mengapa yang gagal itu gagal, mengapa yang tidak cemerlang itu tidak cemerlang. Sebaliknya, yang terbaik itu terus menerus dibuai dengan pelbagai pujian melangit yang buatkan mereka yang lain terasa bingit.

"Wei Azne, jom keluar, majlis dah habis ni, nanti ramai orang, berebut pulak"

Monolog dalaman aku segera terhapus tatkala gegendang telingaku terdengar seseorang mengajakku keluar dari dewan. Hazim, kawan baikku sudah mula bangun dan mencuit pehaku sebagai hint menyuruhku bangun juga. Hazim ini kawan baikku dari semester pertama lagi. Aku cukup hormat pada dia. Cukup. Dia tidak cemerlang, sama sahaja seperti aku, tetapi dia tidak pernah meniru di dalam peperiksaan. Segala markah yang beliau terima adalah hasil titik peluhnya bersengkang mata mentelaah buku pelajaran yang tebal-tebal belaka itu.

Sedikit usahanya, maka sedikitlah markahnya. Malah, aku langsung tidak terkejut melihat markahnya yang sedikit kerana kesihatan ibunya yang kurang baik memang menganggu tumpuannya terhadap pelajaran. Ini buatkan aku sedar bahawa bukan semua pelajar corot itu malas sikapnya. Bukan semua pelajar corot itu bodoh orangnya. Pasti ada satu sebab musabab di sebaliknya. Aku tidak peduli apa orang kata. Asalkan apa yang aku perolehi adalah dari jalan yang mulia dan tanpa dusta. Itu sudah cukup suci.

٭٭٭

Graduan sedang berasak-asak keluar dari dewan. Aku dan Hazim tidak terkecuali. Mujur tiada gelagat graduan yang meraba-raba benda yang tidak sepatutnya diraba. Dalam aku berasak-asak itu, aku terpandang seorang rakan fakultiku yang berwajah cantik. Manis. Aku senyum padanya dan dia sempat membalas. Aku cuma terfikir, kemana halatuju beliau selepas ini, adakah bekerja di pejabat atau bertuah menjadi seorang personaliti hebat?

Ramai graduan dan ibubapa sudah berada di luar dewan. Masing-masing mengeluarkan telefon bimbit dari saku kerana ingin bertemu. Aku tidak terkecuali, cuma berasa sedikit skeptikal. Di tengah keramaian orang yang berkumpul di satu tempat yang sama ini, mampukah syarikat telekomunikasi menyediakan sebuah perkhidmatan yang bagus tanpa gangguan? Aku cuma risau aku gagal untuk menghubungi kedua orang tuaku.

"Along!!!" satu jeritan kedengaran dari luar dewan. Aku kenal akan suara itu dan aku mula mencari-cari. Itu suara dari adik lelakiku, satu-satunya adik yang aku ada di dalam dunia ini. Tubuh badan kurusnya itu sering mengingatkan aku terhadap zaman kecilku. Kurus kering dan tinggi menjulang. Saling tak tumpah. Di sisi adikku ada ibuku yang nampak ceria mengendong sejambak bunga yang aku yakin akan dihadiahkan kepadaku sebentar lagi. Aku yakin.

٭٭٭

Aku terus memeluk erat ibuku sambil ibuku tidak putus-putus mengucap kata tahniah. Ucapan tahniah yang pada pandangan aku masih terlalu awal untuk diucapkan. Perjalanan aku masih panjang dan jauh di luar sana. Luar di mana semua orang berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia.

Memiliki sekeping ijazah tidak menjanjikan apa-apa sekarang ini. Ribuan yang lain turut mempunyai kertas yang aku pegang ini. Saban tahun, universiti dari utara membawa ke universiti di Malaysia Timur tidak putus-putus menghasilkan ribuan graduan. Malah, ijazah perguruan yang satu ketika dahulu menjanjikan jawatan sebagai seorang guru kepada pemegangnya juga sudah tidak menjanjikan perkara yang sama lagi. Kita boleh lihat sendiri graduan yang ada ijazah seperti ini pun masih perlu menunggu sebelum boleh diangkat menjadi seorang guru. Ia makin menambahkan kerisauan terhadap diriku yang hanya pemegang ijazah biasa-biasa sahaja.

"Mak, mana ayah?" aku bertanya kerana sedikit hairan melihat ayah tidak ada bersama.

"Ayah kamu ada dekat sana, tengah berborak dengan Ikram" kata mak sambil jari telunjuknya menuding ke arah satu penjuru.

Aku nampak dari jauh ayah sedang berborak dengan sepupuku yang paling rapat, Ikram. Hubungan aku dengan Ikram cukup akrab. Ayahnya merupakan adik kepada ayahku. Selepas ayahnya meninggal dunia kerana dihempap tiang elektrik satu ketika dulu, Ikram menjadi lebih akrab dengan keluarga kami. Dia sering meluahkan rasa sunyinya padaku selepas dia kehilangan ayah, walaupun dia tahu, sunyinya itu tidak terubat. Tetapi, hidup perlu diteruskan, yang masih hidup perlu terus berdiri dan bukan hanya duduk mengenang nasib diri.

Di sisi Ikram aku dapat melihat ada seorang gadis berambut panjang yang taraf kecantikannya bukan boleh dibuat main-main. Kecantikkannya itu dengan mudah akan dapat mencuri perhatian mana-mana lelaki yang lalu-lalang di hadapannya. Kulitnya putih bersih, memungkinkan beliau ini seorang anak orang kaya. Anak orang kaya ni biasanya cantik dan berkulit putih, hasil mendapat zat dan nutrien yang lengkap daripada makanan-makanan yang boleh tahan harganya.

Loser AbadiWhere stories live. Discover now