Bab 8

1.3K 44 0
                                    

"AKU dah sampai. Kau kat mana?" Zara berjalan pantas menuju ke lobi Hotel One World.

"Ambil kunci di kaunter. Bilik 515."

Zara mengatur langkah menuju ke kaunter. Selepas mengambil kad kunci, dia menghampiri lif. Tidak lama kemudian pintu bilik 515 dibuka. Serta-merta bulu romanya meremang. Episod hitam yang berlaku lapan tahun lalu menyapa fikirannya. Zara memejamkan matanya dan menarik nafas dalam-dalam. Peristiwa lama tidak boleh mencederakan dia lagi. Yang sudah, biarkan berlalu. Dia memujuk hatinya.

Sepasang gaun biru terletak elok di atas katil. Di atas ambal sepasang kasut warna yang sama seperti gaun itu masih elok di dalam kotak. Satu set barang perhiasan mutiara dan clutch bag diletakkan di atas meja. Zara harap kesemua itu bukan milik Nurjia. Dia tidak sanggup hendak memakainya.

Zara menjeling jam tangan. Lagi 10 minit majlis hendak bermula. Dengan segera dia masuk ke dalam bilik mandi. Sekejap lagi tentu Ryan mencarinya.

Loceng pintu dibunyikan. Zara baru selesai mengenakan zip gaun di tubuhnya. Dengan berkaki ayam, dia membuka pintu. Ryan terpacak di hadapannya lengkap bersut hitam.

"Aku belum siap lagi." Zara meninggalkan pintu yang ditahan oleh Ryan.

"Ambillah masa selama mana yang kau perlukan. Majlis tu diadakan di sini. Di Jasmine Junior Ballroom." Ryan duduk di atas katil. Dia meneliti penampilan Zara. Tubuh gadis yang langsing dan tinggi itu amat sesuai dengan gaun yang baru dipilihnya tadi.

"Kalau macam tu, tak payah aku kelam-kabut macam kena kejar Along." Zara mengeluarkan perapi tanpa bilas dari beg soleknya. Dengan menggunakan perapi segera itu, rambutnya yang sedikit kusut tadi begitu mudah diratakan. Guna jari pun boleh. Zara masih ingat akan tag line iklan yang mempromosikan salah satu produk penjagaan rambut. Apabila Zara ingin menyanggulkan rambutnya, Ryan menghalang.

"Biarkan saja. Lagi cantik." Ryan suka melihat rambut Zara yang beralun lembut seperti sutera. Ia mengingatkannya kepada rambut Nurjia. Wajah Ryan menjadi tegang. Kenapa perlu lagi dia mengenang wanita itu? Buat hatinya terseksa sahaja.

"Tolong aku." Zara menghulurkan rantai mutiara kepada Ryan.

Lamunan singkat Ryan terganggu. Segera dia mencapai rantai mutiara dari tangan Zara dan membantu memakaikannya ke leher gadis itu. "Kau memang selalu aturkan pakaian untuk Nurjia?"

Soalan yang keluar dari bibir Zara mengejutkan Ryan. Sebelum ini tidak pernah Zara menyebut nama bekas isterinya itu. Ryan tidak menjawab. Zara berpaling memandang ke wajahnya.

"Alamak! Maaf. Aku tak bermaksud nak ungkit kisah lama kau." Zara rasa serba-salah. Segera dia menjauhi Ryan dan menghampiri cermin. Wajahnya disolekkan nipis sahaja malam itu. Kemudian haruman Escada Incredible Me disemburkan ke tubuhnya.

"Okey, siap!" Zara menyarungkan kasut tumit dua inci, menjadikan dia sama tinggi dengan Ryan. Zara menyulam tali clutch bag, yang senada dengan warna gaun dengan jari-jarinya.

Dia melangkah menghampiri pintu. Ryan mengekorinya tanpa sepatah kata. Menyesal benar Zara kerana keceloparan mulutnya berkata-kata tadi. Dia sudah merompak kegembiraan Ryan dengan kata-kata lancangnya. "Janganlah buat muka macam ni. Bersalah aku rasa. Aku janji, lepas ni aku tak akan sentuh hal peribadi kau."

Ryan tersenyum memandang Zara. Dia yang bersalah sebenarnya kerana sensitif tidak tentu fasal. Zara berasa lega melihat senyuman Ryan. Pintu lif terbuka dan mereka melangkah masuk.

"Kenapa kau ajak aku? Tak ajak rakan-rakan perempuan kau yang lain?" Zara terlupa sesuatu. Sepatutnya dia perlu menjarakkan diri daripada Ryan seandainya dia mahu mengalihkan perhatian orang terhadapnya. Mungkin Zara perlukan teman bicara, maka sebab itu dia menerima ajakan Ryan tadi.

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now