Bab 10

1.2K 45 0
                                    

WAJAH Rezman kelat. Sejak Ryan tiba 15 minit yang lalu, dia langsung tidak bersuara. Peristiwa di majlis koktel Hazman hari Ahad lepas masih segar dalam ingatan. Ryan memang sengaja cari fasal dengannya. Sahabat jenis apakah ini?

"Kau bengang dengan aku lagi?" Ryan memandang Rezman. Tidak pernah lelaki itu menarik muka dengannya. Fasal perempuan, persahabatan mereka jadi goncang.

"Tak adil!" tekan Rezman. "Kau dah tau aku sukakan Zara. Tapi mengapa kau potong jalan aku? Selama ni, kalau kau susah aku selalu tolong. Malah aku sanggup kena tangkap basah dengan Dena semata-mata nak selamatkan kau. Aku tak sangka ini balasan kau pada aku!"

Hati Ryan pula yang panas mendengar cemuhan Rezman. Sahabatnya itu sudah pandai mengungkit budi yang ditabur.

"Biar aku jelaskan pada kau sekali lagi. Aku dan Zara tak ada apa-apa hubungan. Kami hanya kawan. Apa yang berlaku Ahad lepas, semata-mata kerana Zara tak selesa dengan kehadiran isteri kau. Aku pula tak selesa dengan kehadiran Dena. Dia macam ada perasaan pada aku lagi. Zara tak tahu cerita sebenar. Dia sangka Dena marahkannya kerana nak rebut kau. Cuba kau fikir baik-baik. Tak semua perempuan suka bermadu dan merampas hak orang lain. Zara bukan jenis mata duitan yang sanggup lakukan apa saja demi nak jadi senang. Faham?"

Rezman mengusap rambutnya ke belakang dengan kedua-dua belah tangan. Tahap kemarahannya turun sedikit selepas mendengar kata-kata Ryan yang panjang lebar. "Kau beritahu Zara fasal aku dengan Dena. Balas budi aku sikit."

Permintaan Rezman membuatkan Ryan tidak berasa selesa. "Walaupun dia tahu cerita sebenar, aku fikir, dia pasti tak selesa sebab kau letak dia nombor dua." Ryan cuba berhelah.

"Kalau dia nak aku ceraikan Dena, aku akan buat. Tak ada masalah!" Wajah Rezman serius.

"Kau memang benar-benar jatuh hati pada Zara? Cinta ataupun nafsu?"

"Cinta? Nafsu? Tak ada beza."

Ryan menggeleng kepala. "Ada beza." Dia tidak setuju dengan Rezman. "Apa yang aku rasa pada Gia ialah cinta. Apa yang aku rasa pada Dena dulu ialah nafsu. Dua perkara yang berbeza. Kalau kau mahukan Zara semata-mata kerana nafsu, aku tak akan benarkan!"

"Kau nak cari gaduh dengan aku?" Suara Rezman meninggi.

"Bukan nak cari gaduh. Aku tak mahu kau permainkan Zara. Dia gadis yang baik. Dia bukan seperti mana-mana gadis yang pernah kau dampingi."

"Kau jangan tertipu dengan Zara. Dia nampak naif. Tapi aku tahu, dia lebih daripada apa yang kita sangka. Gadis yang naif tak akan berani macam dia."

Zara memang gadis yang berani. Dia begitu selamba berkawan dengan teman sekerja lelaki. Seolah-olah tiada perasaan malu di hatinya hendak menegur baik sesiapa sahaja. Zara tidak berpura-pura. Seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dilindungkan. Jika gadis lain, tentu mereka akan mengawal tingkah laku, tutur bicara dan adab sopan sewaktu berbicara dengan rakan sekerja lelaki. Harapan mereka sudah tentu hendak menarik perhatian dengan cara yang beretika. Sebaliknya, sikap Zara membuatkan rakan sekerja lelaki menganggapnya sebagai kawan semata-mata, bukan pasangan bercinta. Ryan sendiri amat selesa berkawan dengan Zara kerana gadis itu tidak mengharapkan apa-apa daripadanya.

"Dia memang peramah kepada semua orang di pejabat. Tapi kau jangan ambil kesempatan atas sikapnya yang tak kisah. Dia masih ada perasaan yang perlu dijaga," nasihat Ryan.

"Ryan, kalau kau mahu persahabatan kita kekal, kau mesti bantu aku dapatkan Zara." Rezman mula mengugut.

"Kau nak buat apa pada Zara bila kau dah dapat dia?" Ryan menduga.

"Jadikan dia milik aku." Rezman menentang wajah Ryan.

"Milik sementara ataupun milik kekal?"

"Kau tak perlu tahu. Itu urusan aku. Aku hanya mahukan dia!"

Ryan mengeluh berat. Fikiran Rezman sudah semakin tidak siuman semenjak dia terlihat Zara. Lelaki itu benar-benar sudah tersihir dengan Zara. Tidak dapat tidak, gadis itu mesti menjadi miliknya.

"Kau akan berjaya selepas Dena bukan lagi isteri kau!" Ryan bangun, meninggalkan Rezman sendirian.

"Tak ada masalah!" sahut Rezman sambil tersenyum puas.

TAN SRI MUKRIZ melemparkan beberapa kepingan gambar di atas mejanya. Ryan merapatkan tubuhnya ke sisi meja. Sekeping demi sekeping gambar itu dibeleknya.

"Jelaskan?" Sepatah permintaan Tan Sri Mukriz.

Ryan tahu kesemua gambar itu diambil sewaktu majlis koktel Hazman minggu lepas. Gambar dia bersama Zara, beraksi dengan intim. Ada gambar dia menari bersama Zara. Ada gambar dia sedang berpura-pura membetulkan zip gaun Zara. Ada gambar dia dan Zara sedang berjalan keluar dari bilik penginapan hotel.

"Kau nak ulangi perbuatan tak bermoral tu lagi?" herdik Tan Sri Mukriz. Panas hatinya melihat gambar-gambar Ryan dan Zara yang nampak begitu intim. "Kalau kau berkenan sangat dengan budak Zara ni, ayah tak halang. Ayah tak mahu kau berzina lagi macam dulu!"

Berdesing telinga Ryan mendengar perkataan 'zina' itu disebut oleh ayahnya. Memang dia pernah buat silap, buat dosa. Tetapi dia tidak ada niat mahu mengulangi kesilapan yang sama.

"Dah macam-macam cerita ayah dengar fasal kamu berdua. Kalau benar hubungan kamu dah serius, kahwin sajalah! Sesesungguhnya perkahwinan itu menyelamatkan manusia daripada melakukan dosa berterusan."

"Saya dan Zara cuma kawan biasa saja. Kami tak bercinta." Ryan meletakkan kembali gambar-gambar itu di atas meja.

"Kalau tak bercinta, mengapa begitu intim? Sampai sewa bilik hotel?" Tajam renungan mata Tan Sri Mukriz menikam wajah Ryan. "Kalau mama tahu apa yang kau dah buat, hati dia pasti hancur lagi. Selepas apa yang kau buat pada Gia, ayah tak fikir kami boleh memaafkan kau sekali lagi!"

Ryan menghela nafas berat. Tan Sri Mukriz sanggup mengupah penyiasat demi hendak mengintip segala gerak lakunya. Dia amat tidak puas hati. Namun sebagai anak, dia tidak boleh membantah kata-kata orang tuanya. Dia tidak diajar melawan mereka.

"Apa yang saya lakukan semata-mata mahu selamatkan Zara daripada Rezman." Dia bersuara tenang. "Zara tidak mahu jadi perampas kebahagiaan rumah tangga Rezman."

"Rezman sukakan Zara?" Nada suara Tan Sri Mukriz tidak setinggi tadi.

Ryan mengangguk. "Sebab itu Zara minta bantuan saya berlakon di hadapan Rezman semasa majlis tu. Kebetulan penyiasat upahan ayah berjaya merakamkan lakonan kami."

"Kalau berlakon pun, tak kan nampak macam betul seperti dalam gambar tu," sindir Tan Sri Mukriz.

Ryan mencapai kembali gambar-gambar di atas meja ayahnya. Dia membelek satu per satu. Tiada apa yang aneh pada gambar-gambar itu. Ryan dan Zara hanya berlakon. Mungkin lakonan mereka terlalu berkesan sehingga orang lain pun percaya mereka ada hubungan sulit. Boleh menang anugerah kalau begini. Ryan menyembunyikan senyuman.

"Kau boleh ambil gambar tu. Tapi jangan bawa balik ke rumah. Nanti umi tengok, dia bising."

9

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now