SW-Part 10

7.9K 277 4
                                    

BILA aku masuk ke dapur untuk basuh pinggan mangkuk yang kotor di singki, ibu tegur aku.

"Dahlah tu, pinggan tu bila-bila saja boleh dibasuh. Bukannya urgent sangat. Pergi masuk bilik. Rehat!"

Terus aku mati akal bila ibu suruh masuk bilik. Aku pun bagi alasan tak mengantuk lagi. Malam ini aku takkan tidur! Aku nekad. Walau apa pun aku takkan lelapkan mata. Walaupun ini rumah aku dan itu bilik aku, tapi suasananya dah lain. Tiba-tiba sahaja aku rasa takut hendak melangkah masuk ke bilik.

Malam pertama. Aku dah fikir yang macam-macam. Aku masih tak bersedia lagi dengan semua tu. Walau apa pun, aku perlu elakkan diri daripada masuk bilik. Harap mereka semua memahami keadaan aku ini.

Majlis perkahwinan kami berakhir dengan jayanya. Walaupun ada sedikit masalah dengan makanan yang lambat sampai, tetapi semuanya berjalan dengan lancar. Aku sangka kalau buat majlis di dewan, tidaklah letih sangat, tapi sangkaanku salah belaka. Kalau dah namanya majlis kahwin, memang akan letih.

Namun aku cuba gagahkan diri. Kalau aku letih, ibu dan ayah lagilah letih. Jadi, aku tak sanggup biarkan mereka kemas saki-baki majlis. Rumah pun macam tongkang pecah dibuatnya. Barang-barang bersepah sana sini. Aku yang melihatnya pun sakit hati.

Memandangkan ibu tak bagi aku kemas dapur, ayah dan menantunya pula sibuk berbual-bual di ruang tamu sambil layan bola, aku ambil peluang ini melarikan diri ke ruang tamu atas. Sengaja tak nak bertembung dengan mereka. Cadangnya hendak melayan televisyen, malangnya semua channel tak ada cerita menarik. Akhirnya aku layan saja channel dokumentari sehinggalah terlelap.


****


"DAYAH..."

Suara Syazwan sayup-sayup kedengaran di telinga aku. Pelik. Kenapa pula aku termimpikan suara ini? Suara ini tak patut muncul dalam mimpi aku. Pergi jauh-jauh!

"Dayah..." panggil suara itu lagi.

Adui, apa hal lagi ni? Aku nak tidur pun dia kacau.

"Bangun, Dayah..."

Dia paksa aku bangun pula. Bukan aku tak nak bangun, masalahnya mata aku ni terlampau berat sangat. Nak buka pun tak ada tenaga.

"Wei, aku nak pergi kerja ni," katanya lagi.

Ada aku peduli? Kau nak pergi kerja, pergi sajalah. Yang berani masuk dalam mimpi aku ni apa hal? Menyampah betul. Tak habis-habis dengan kerja. Tak tahu ke yang kita baru berkahwin semalam?

Eh, nanti kejap! Kahwin? Aku pula tersentap. Mata aku yang berat tadi terus terbuka. Sedar-sedar saja aku rasa semacam. Aku terasa seperti berada di dada seseorang. Perlahan-lahan aku mendongak ke atas. Sekali lagi aku tersentap apabila menyedari yang aku tertidur berbantalkan dada Syazwan! Bukan itu sahaja, aku sedang memeluknya seperti memeluk bantal peluk!

Cepat-cepat aku tutup mata dan berpura-pura tidur. Macam mana aku boleh tidur bersamanya? Nanti sekejap. Malam tadi, aku rasa aku tak masuk bilik. Aku lepak di ruang tamu atas. Jadi, macam mana aku masuk ke dalam bilik ni? Siapa yang gagah perkasa sangat bawa aku masuk bilik ni?

"Sampai bila kau nak peluk aku ni?" tanya Syazwan.

Sekali lagi aku tersentap. Adui, kenapa semua ni mesti terjadi kepada aku? Kenapa aku selalu memalukan diri sendiri? Tak mengapa, Dayah! Bawa bertenang. Pura-pura saja tidur dan berpusing ke tempat lain. Kau boleh lakukan!

Dengan penuh kepura-puraan, aku melepaskan pelukan itu dan berpusing ke sebelah kanan. Langsung aku tak berani buka mata lagi. Namun, aku perasan Syazwan bangkit dari katil. Tatkala aku dengar pintu bilik air ditutup, cepat-cepat aku mencelik mata dan berlari ke luar.

SUAMIKU WORKAHOLICTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang