Bila Allah Izin

56 4 0
                                    

Dalam hidup ini, tak semua Allah beri lengkap dalam hidup seseorang hamba. Kenapa? Sedangkan kita ini hambaNya. Yang mengabdikan diri kepadaNya. Ya. Betul. Tetapi tidakkah terfikir jika kita diberi segala-galanya, dilimpahkan dengan pelbagai kesenangan, pasti.. Dan pasti kita tidak akan meminta apa-apa lagi daripadaNya. Tiada lagi doa dan tiada lagi tangisan. Begitu, bukan?

Maka, bersyukur seadanya. Ya, kita amat perlukan sesuatu tetapi tidak menjadi milik kita. Sakit. Sakit terasa. Tidakkah kita terfikir, sakit yang dirasa itu mampu membuahkan rasa pengabdian yang tinggi kepadaNya. Dengan cara apa? Pastinya dengan berdoa. Meminta padaNya.

Jangan dirisaukan jika belum lagi dapat apa yang dihajatkan. Usah dibimbangkan jika belum capai apa yang dimpikan.

Aku ingin kongsikan sesuatu.

Aku ada seorang sahabat. Orangnya sangat baik. Akhlaknya mulia bagi aku. Dia bercita-cita tinggi dan seorang yang tekun belajar. Sayangnya, dia sentiasa diuji tidak pernah dapat markah yang tinggi dalam pelajaran walaupun sudah gigih berusaha. Solat fardu sentiasa di awal waktu jika dibandingkan aku yang sering kali culas dalam bab-bab solat. Al-Quran menjadi santapan harian. Tidak muliakah sebegitu kawan-kawan? Mulia kan?

Pada masa yang sama, dia meminati seorang hamba Allah dalam diam. Seorang jejaka yang agak baik dari segi penampilan dan tingkah laku. Ok, abaikan dulu hal jejaka itu. Berbalik kepada sahabat tadi, dia selalu berkata kepada aku..

" Kenapa aku tak pernah dapat markah yang baik sedangkan aku tak pernah putus berusaha? "

Aku hanya mampu diam dan berfikir. Allah uji dia dengan cara begini sedangkan aku? Usahaku hanya sedikit tetapi markah aku selalu tinggi. Nikmat apakah itu? Adakah nikmat yang aku dapat itu istidraj? Sentap.

Berkali-kali juga aku lihat tangisan sahabat itu. Hampir setiap kali ujian. Sehingga satu masa, aku menemaninya mengulangkaji. Aku terdetik untuk bertanya.

" Apa kau rasa bila kau dah berusaha tetapi kau tak berjaya? Kau tak dapat apa yang kau nak? Kau marah? Geram?"

Aku cuba untuk mengorek isi hatinya. Cuba untuk memahami.

" Tipulah dulu aku tidak marah. Tidak geram. Sedih. Sekarang tidak lagi. "

Senyuman terukir di wajah si tabah itu.

" Kenapa? Bukankah kau belum dapat apa yang kau inginkan?"

Aku menyoal lagi. Pelik. Aku ingin tahu.

" Tak. Tidak marah. Tidak geram. Mana mungkin aku boleh marah dengan apa yang terjadi pada aku. Jika aku marah, bermakna aku marah dengan Tuhan. Jika aku geram, bermakna aku geram pada Tuhan. Kerana semuanya kerja Tuhan, kan?"

Keningnya terangkat satu memandang aku. Aku hanya mampu menelan air liur. Tiada kata.

"Kau tahu bagaimana rasanya di sayang Tuhan? Beginilah. Dengan keadaan aku ini. Aku yakin Allah uji sebegini kerana Dia sangat sayang pada aku. Jika tidak, Dia tidak akan uji aku dengan sesuatu yang mampu merobek hati aku. Aku tidak kesal. Kerana semua itu Allah belum izinkan untuk aku. Belum tiba untuk aku. Sekarang, rasalah pahitnya dulu. Nanti aku akan rasa nikmatnya yang sangat manis. Manis!"

Senyum lebar terukir lagi.

" Jadi aku? Allah sayangkah?" Hati aku terdetik. Ohh.. Abaikan isi hati aku itu. Harus muhasabah diri.

" Kau yakin, kau akan dapat apa yang kau nak? Kau yakin kau akan dapat Dekan akhir semester ni?"

Aku sengaja menguji dengan soalan yang agak tidak patut ketika itu.

" Aku yakin Allah belum izinkan aku dapat apa yang aku nak. Aku yakin dengan kuasa dia. Bukan Anugerah Dekan yang aku kejar. Mungkin bukan milik aku tetapi berkat sabar dan kesungguhan aku, tak mustahil Allah akan hadiahkan untuk aku. "

" Jadi, bila kau rasa kau akan dapat apa yang kau nak? Impian kau? Anugerah Dekan kau?" Sengaja aku uji lagi.

" Bila Allah izin.." Matanya memandang tepat mata aku dan senyuman masih terukir. Semakin lebar dan semakin manis.

Fuhhh! Makan dalam.

Sehingga aku tamat belajar, sahabat aku itu masih lagi bergelar pelajar. Dan masih gigih berusaha. Hampir setiap hari akan tinggalkan pesanan pada aku untuk titipkan doa buatnya dalam setiap doaku.

Allah Maha Adil dan Maha Baik Hati.

Sehingga satu hari, sahabat aku itu menelefon aku. Suaranya jelas menunjukkan dia sedang gambira dan bahagia.

" Kau tahu? Hajat aku sudah diizinkan Tuhan."

Aku terdiam. Terkejut.

" Hajat apakah?" Aku mungkin terlupa ketika itu.

" Allah sudah izinkan aku untuk berjaya. Berkat usaha dan doa kamu juga sebagai sahabat aku, Anugerah Dekan jadi milik aku sekarang! Allahu Akbar.."

Kedengaran suaranya bergetar dihujung talian. Di sambung pula dengan gelak ketawa bahagia. Siapa tidak bahagia. Keinginan tercapai. Tamat belajar dengan cemerlang.

" Cinta Tuhan itu unik, kan? Sekarang kau percaya? "

Ya. Aku percaya. Sangat percaya. Begitu juga kalian kan, kawan-kawan? RahmatNya sangat luas. Kadang kita mengeluh tentang apa yang belum menjadi milik kita. Kadang kita merasa marah pada diri, tak dapat tunaikan hasrat diri.

Tidakkah kita terfikir, Allah sangat rindukan doa hambaNya. Bukan meminta bila perlu. Buka merintih bila jatuh. Hakikatnya kita perlukan Dia setiap masa. Jika sesuatu yang dirancang, tak berjalan seperti yang dihajatkan.. Sabar. Mungkin belum tiba masanya.

Bukan sahaja tentang belajar. Tentang kerja, tentang jodoh. Tak perlu bertanya tentang ketidakcukupan orang lain. Kita pun belum miliki semua.

" Bila nak kerja?"

Bila nak kahwin?"

"Bila nak ada anak"

Lupuskan. Lupuskan soalan sebegitu. Mungkin bila tiba saat kita merasa, baru nak mengadah semua. Cukup yakin dengan apa yang telah dan akan ditentukan olehNya.

Ohh ya. Pasal jejaka tadi, nanti aku sambung kemudian. KIsahnya menarik :)


Coret Hidup Si Bunga TuhanWhere stories live. Discover now