Saat Tuhan Menguji

28 3 2
                                    

Setelah sekian lama tidak merasa akan nikmat kecewa, semalam Allah beri saya ruang untuk merasa walaupun dalam hal yang kecil.

Ya, kecil buat yang lain tetapi besar buat saya.

Semalam saya bercuti. Bangun awal pagi teringin nak makan nasi ayam. Google resepi dan terus keluar beli apa yang perlu di bangunan sebelah.

Balik dengan riang dan sudah terbayang nasi ayam yang bakal siap nanti. Pasti sedap!

Satu persatu saya ikut mengikut resepi. Berulang kali juga mundar-mandir untuk sahihkan apa yang telah saya catat menjadi mengikut aturan resepi. Maklumlah, saya mempunyai masalah untuk mengingati sesuatu dengan tepat. Terpaksa mengulang berkali-kali tetapi sering juga salah.

Ok, setelah selesai siapkan nasi dan sup, saya cuba membuat sambal nasi ayam mengikut resepi. Pada masa itu, Allah uji fikiran saya buntu sedangkan resepi memang sudah ada di depan mata. Berulang kali juga saya besarkan mata untuk hadam apa yang perlu.

Sudah kisarkan semua, masak di atas dapur. Hampir siap, cuba rasa. Manis!

Saya baru teringat, sewaktu kisarkan cili, saya ada masukkan gula dan jus limau nipis. waktu masak di atas dapur pun saya masukkan lagi 4 sudu gula dan jus limau nipis.

Saya cuba usaha dengan masukkan air untuk kurangkan manis. Rasa pedas sudah kurang, manis masih kekal rasanya. Kecewa, buang terus sambal yang sudah hampir siap tadi.

Saya perhatikan balik resepi tadi.

" Ah, tak nak resepi ni! " bentak hati.

Saya google lagi. Kali ini saya cuba gunakan cili kering. Dan saya pun tak tahu bagaimana saya boleh masukkan tepung jagung 2 sudu dan larutkan dalam air lalu dikisar bersama cili kering dan yang lain. Kali ini lagi mengecewakan. Macam dah nak buat sos keropok lekor tapi kategori tak sedap.  Kecewa lagi.

Duduk termenung. Tak tahu kenapa, tetapi hanya kerana sambal nasi ayam saya hampir titiskan air mata. Bukan kecewa kerana saya tersalah resepi, tetapi geram pada diri sendiri yang sukar untuk ingat dan hadam sesuatu. Lebih lagi disaat yang saya sangat gigih berusaha.

Kebetulan sahabat saya, farah whatsapp tanya apa masakan untuk hari ni. Terus saya mengadu sambal yang saya buat tak menjadi. Dia berusaha berikan saya resepi. Saya cuba kuatkan semangat untuk buat lagi.

Satu-satu saya baca. Cuba lagi.

" Kalau tak jadi juga, aku redha. " Bisik hati. Nak menitis juga air mata sebenarnya.

Siap. Tapi saya langsung tak rasa. Takut kecewa lagi. Tunggu kawan-kawan balik.

Saat yang paling saya risau bila mereka sudah balik dan mahu makan. Tapi tadi kan saya dah kata saya redha. Jadi, redha saja.

Alhamdulillah. berjaya masuk perut mereka dengan selamat. Apa rasa? Kalau sahabat-sahabat yang komen, mestilah mereka kata sedap. Apa pun, syukur.

Apa yang saya dapat dari sambal nasi ayam tu, Allah tahu saya selalu merungut atas kelemahan saya itu dan Dia tetap uji saya dengan hal yang sama. Mengapa?

Kerana Dia Maha Tahu yang saya tidak pernah putus asa untuk berusaha. Dengan cara ujian sebegitu, saya berusaha lagi untuk baiki kelemahan yang ada.

Sedangkan selama ini nak menulis sesuatu perkataan pun kadang kalanya saya google untuk sahihkan ejaan, inikan pula untuk hadam atau ingat sesuatu. Itu memang kelemahan dan kekurangan saya sejak dulu. Mereka yang tahu sahaja yang akan faham.

Moga Allah redha tiap langkah saya dan kalian juga. Amin!


Sarah Lee,

Yang gigih berusaha.

14/4/2016


Coret Hidup Si Bunga TuhanWhere stories live. Discover now