Puteri Gunung Ledang

11.8K 134 9
                                    

Di atas puncak Gunung Ledang, tinggal seorang tuan puteri yang sangat jelita, dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang. Namun, Puteri Gunung Ledang bukanlah tinggal keseorangan di atas gunung itu. Dia ditemani oleh para dayang yang menjadi teman dan pembantu setianya. Malah, kononnya turut terdapat seorang nenek kebayan tinggal bersama-sama dengan mereka.

Segelintir penduduk di beberapa buah kampung berhampiran kaki Gunung Ledang sering mendaki gunung itu. Mereka mencari pelbagai jenis hasil hutan di atas gunung itu. Sekali-sekala, mereka terserempak dengan puteri Gunung Ledang. Hal ini demikian kerana Puteri Gunung Ledang sering memberikan pertolongan apabila mereka tersesat jalan atau ditimpa sesuatu kesusahan.

Oleh yang demikian, nama Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan dan termasyhur ke mana-mana.

Sekali, kemasyhuran Puteri Gunung Ledang yang terkenal sangat jelita itu sampai kepada pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang sedang memerintah di negeri Melaka. Timbullah hasrat dalam hati baginda untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisurinya.

Sultan Mahmud Syah lalu memaklumkan hasratnya itu kepada sekalian pembesarnya. Terkejutlah para pembesar baginda apabila mendengar kata-kata itu. Namun, masing-masing hanya berdiam diri kerana tidak berani menegur kehendak Sultan Mahmud. Malahan, Datuk Bendahara juga tidak berani bersuara apa-apa."Bukanlah mudah untuk mencari Puteri Gunung Ledang itu kerana bukan semua orang bertuah dapat bertemu dengannya," fikir Datuk Bendahara dalam hatinya.

Namun, apalah daya bagi Datuk Bendahara. Beliau tahu, Sultan Mahmud sangat bengis dan pantang dihalang segala kehendak hatinya. Jika ada sesiapa yang ingkar, mautlah padahnya. Mahu tidak mahu, terpaksalah beliau memilih dan menentukan beberapa orang daripada kalangan pembesar istana untuk pergi mencari dan meminang Puteri Gunung Ledang.

Datuk Bendahara memilih Tun Mamat sebagai ketua. Tidak ketinggalan, beliau turut memilih Datuk Sang Setia supaya ikut serta dalam rombongan itu. Beliau berharap Datuk Sang Setia, sebagai seorang tua yang berpengalaman luas, akan dapat turut membantu Tun Mamat.

"Beta mahu Datuk Laksamana Tun Tuah turut pergi bersama-sama!" titah Sultan Mahmud.

Terkejutlah Datuk Bendahara mendengar titah itu. Beliau sengaja telah mengecuali Laksamana Hang Tuah kerana tidak ingin membebankannya dengan sebarang kerja berat lagi. Lebih-lebih lagi kerana Laksamana Hang Tuah ketika itu sudah sangat berusia dan selalu pula berkeadaan uzur.
Laksamana Hang Tuah memahami perasaan hati Datuk Bendahara. Namun kerana tidak ingin menderhaka kepada Sultan, beliau tetap patuh pada titah itu.

"Ampun, tuanku! Titah tuanku tetap patik junjung," sembah beliau.

Sukacitalah hati Sultan Mahmud bukan kepalang apabila mendengar sembah Laksamana Hang Tuah. Baginda sangat mengharapkan cita-citanya akan tercapai.

Tiba hari ditetapkan, berangkatlah rombongan utusan Sultan Mahmud menuju ke Gunung Ledang. Jauhnya bukan kepalang. Perjalanannya pula bukan mudah untuk ditempuhi. Meredah rimba belantara, menyeberang sungai, mendaki bukit, dan menuruni lurah.

Namun, segala pahit getir itu terpaksa mereka tempuhi.

Akhirnya, mereka tiba di sebuah kampung berhampiran Gunung Ledang itu. Terceganglah orang kampung apabila mengetahui bahawa rombongan itu adalah utusan daripada Sultan Melaka yang datang untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Namun, tiada seorang pun daripada kalangan orang kampung itu yang berkesanggupan untuk menolong mereka.

"Bukan kami tidak ingin membantu," ujar penduduk kampung. "Kami sendiri tidak mengetahui di manakah sebenarnya tempat tinggal Puteri Gunung Ledang di atas gunung itu."
"Puteri Gunung Ledang itu mungkin seorang puteri bunian. Sebab itulah tempat kediamannya tiada diketahui oleh sesiapapun," sampuk yang lain pula.

Legenda MelayuWhere stories live. Discover now