Bab 8

4.7K 90 0
                                    

AIRA hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Firzal pun automatik hilang kata-kata. Pelik. Tadi di rumah mamanya, tak adalah Firzal nampak Aira kekok atau bisu macam ni. Okey aje.

Atau mama ada cakap apa-apa tadi? Ke Aira datang bulan? fikir Firzal. Eh, takkan tiba-tiba datang bulan? Logik sikit Firzal, oi. Tapi memang pelik la diam macam ni.

Hujung mata Firzal masih tak lepas mengerling Aira di kerusi sebelah. Matanya merenung jauh ke depan. Tak tahu pandang apa. Dekat lebuh raya ni bukannya ada skrin layar pun. Lampu jalan adalah.

Aira tak suka jumpa mama? Aira tak suka jumpa Nisa dan Nini? Hati Firzal berbisik lagi.

"Aisya Humaira." Tanpa disedari, nama itu terkeluar dari bibir Firzal. Aira tersentak. Laju dia berpaling memandang Firzal.

"Hah? Awak panggil saya?"

"Nama awak Aisya Humaira, kan?" Firzal sengih dua saat.

"Kalau betul tu nama awak, betul la tu saya panggil."

Aira mencebik. Dia tak ada mood nak bergurau sebenarnya.

"Kenapa la selama ni saya tak tahu nama penuh awak?" Firzal senyum sendiri. Memang selama ni dia tak tahu pun apa sebenarnya nama budak perempuan yang dia ajak kahwin ni. Gila betul.

"Awak pernah tanya ke? Tak, kan?"

"Eleh, saya punya nama pun awak tak tanya. Saya yang bagi tahu sendiri. So, patutnya awak sendiri la yang bagi tahu."

"Ada ke macam tu. Takkan tiba-tiba saya nak buat muka tak malu. Hai, nama saya Aisya Humaira. Panggil aje Aira."

"Macam tu pun okey." Firzal ketawa.

"Eh, awak okey tak ni?" soal Firzal setelah melihat Aira diam kembali.

Memang dia pelik apabila nampak Aira diam dari tadi. Dah hampir sampai kawasan rumah Aira pun.

Aira menarik nafas berat. Dia mengangkat bahu. "Okey... Kut."

"Awak tak suka jumpa mama?"

"Eh, taklah. Siapa cakap? Saya suka aje. Mama awak baik."

"Dah tu?"

"Dah tu apa?" Kening Aira terangkat. Otak tak dapat nak tafsir apa sebenarnya soalan Firzal.

"Awak diam aje dari tadi."

"Kan saya bercakap ni?"

Firzal mati kata-kata. Memang kena angin kus-kus kut Aira ni. Lebih baik jangan kacau.

OTAK Aira masih lagi bersimpang-siur. Segan dengan mama Firzal. Segan dengan Firzal juga. Dia ingat mak cik-mak cik yang pakai jubah ni anti habis dengan perempuan tak bertudung macam dia ni.

Tapi dia bukan hanya tak bertudung. Warna rambut ala-ala Jennifer Aniston lagi. Mahu tak ketar lutut dia tadi waktu nampak mama Firzal. Sikit lagi dia nak cabut. Tapi apabila mama Firzal peluk dia, terus dia kelu.

Dia pula yang segan dengan diri sendiri. Dan sekarang barulah dia terasa tak sesuai langsung ambil wuduk dengan warna rambut macam ni. Air cecah rambut tak? Sumpah dia segan apabila solat sama-sama dengan mama Firzal tadi. Selama ni solat dekat rumah tak adalah fikir sangat. Jarang pun dia solat.

Kenapa baru sekarang nak fikir?

Segan dengan mama Firzal ke segan dengan diri sendiri sebenarnya?

Haish! Aira dah pening!

Layak ke dia jadi isteri Firzal?

Tanpa sedar, kereta Firzal dah mencecah ruang parkir rumah. Enjin masih belum dimatikan. Rasanya Firzal tak payah la masuk kut, dah hampir asar pun sekarang.

"Thanks."

Firzal senyum lalu mengangguk.

Laju Aira melangkah masuk ke dalam rumah. Segan tu masih ada.

"Aira!"

Spontan langkah Aira mati. Dia berpusing ke belakang.

"Hmmm?"

"Maaf kalau saya buat hari awak teruk hari ni. Maaf juga kalau famili saya buat awak tak senang."

Aira terdiam. Mungkin kebisuan dia tadi menyebabkan Firzal fikir macam-macam walhal keluarga Firzal tadi sangat baik.

Dia aje...

Dia aje yang tak baik... Perlahan-lahan dia menapak kembali ke kereta Firzal.

"Awak." Aira menarik nafas.

"Keluarga awak sangat baik. Malah, saya yang rasa tak sesuai masuk dalam keluarga tu. Saya bukan orang baik."

Firzal senyum nipis. Nah... Itu sebenarnya yang buat kepala Aira pusing sampai terbisu sepanjang jalan tadi.

"Hei budak, kita bukan siapa-siapa nak tentukan siapa baik siapa tak baik. Jangan risau. Mama dan keluarga saya okey. Saya pun okey."

Aira senyum tawar. Dia mengangguk faham. Kata-kata Firzal sedikit sebanyak meleraikan kusut di dalam kepala.

"Saya balik dulu, ya? Take care." Firzal menaikkan cermin kereta. Aira mengangguk. Tapi tiba-tiba dia teringat sesuatu.

"Awak, kejap!" Cermin kereta diketuk oleh Aira.

Firzal yang baru berkira-kira untuk menekan pedal minyak terhenti. Dia kembali menurunkan cermin kereta.

"Kenapa?"

"Emmm... Errr..."

"Kenapa?" Kening Firzal terangkat.

"Emmm, mana nak cari selendang macam Nisa pakai?"

Dan bibir Firzal terus tersenyum...

Pencuri Cinta Kelas SatuWhere stories live. Discover now