Bab 12

2.3K 45 0
                                    

TEPAT jam tiga setengah pagi, Dyla bangun sendiri untuk bersiap ke surau. Berqiamullail. Dia berjalan seorang diri kerana yang lain masih belum bangun. Letih barangkali. Sewaktu lalu di hadapan chalet Alfan, pintu bilik lelaki itu sudah sedia terbuka. Lelaki itu kelihatan bersongkok dan berkain pelekat. 'Untuk ke surau juga ke?'

Dyla buat tidak nampak. Alfan juga tidak menegur. Masing-masing berjalan ke destinasi yang sama – surau. Walaupun jalan bersebelahan, tidak seorang pun yang bersuara.

Selesai berwuduk, Dyla menunaikan solat tahajud dan istikharah. Dia cuba tahan diri, tetapi air mata tidak mahu berhenti. Empangan pecah barangkali. Pecah hancur berderai bersama hatinya, mungkin?

Angin yang meniup langsir tempat pembahagi ruangan lelaki dan perempuan mengizinkan Dyla untuk melihat kelibat Alfan yang sedang menadah tangan berdoa. Entah khusyuk entahkan tidak.

Dyla pelik bila terlihat lelaki itu mengelap matanya. 'Kenapa dengan dia? Menangis ke?'

Hanya sekali itu dia nampak kelibat Alfan. Kemudiannya ada beberapa pelajar mulai masuk ke dalam surau. Semakin lama semakin ramai.

"LEPAS ni, kita breakfast. Habis breakfast, pinggan cawan minta tolong cuci sendiri. Makanan jangan tak habis. Jangan ada pembaziran. Kalau saya nampak ada sisa, siap kau orang. Sampah! Jangan buang merata." Suara Amir kuat bergema di kantin.

Masing-masing ada yang meletakkan pipi di atas meja. Mengantuk! Ada yang menahan kepala dengan tangan, ada yang menguap entah kali ke berapa.

Dyla hanya merenung makanannya. Teh O panas diletakkan di sebelah pinggan. Alfan yang duduk berdepan dengannya sesekali menjeling.

Rasa mengantuk yang teramat baru terasa. Dyla sumbat nasi goreng ke dalam mulut. Dirinya hampir separa sedar. Sudahlah tidur lima belas minit saja.

Mata Alfan memandang Dyla tajam. Adilah dan Saadah yang berada di kiri kanan Dyla, seram melihat Alfan. Tenung orang macam nak telan!

Dyla capai cawan kertas. Terus dihirupnya tanpa melihat.

"Ahhh!" Cawan terlepas daripada tangan. Air teh tersimbah di baju dan tangannya. Lidahnya perit. Alfan bingkas bangun.

"Mata tu ada, boleh tak guna?" Keras suara Alfan. Dia mendekati Dyla. Tisu ditarik kasar daripada kotak. Tangan Dyla dilap dengan tisu pada saat lututnya mencecah lantai bersebelahan Dyla. Lantas gadis itu menarik tangannya.

"Tangan tak kena kulit awak pun, lah!" Sisa marah masih jelas dalam suara Alfan.

"Sakit tak Dyla? Kau nak pergi klinik?" tanya Saadah yang risau.

Alfan bangun dari melutut. Lengan Dyla ditarik supaya bangun daripada kerusi. Dyla yang lemah terikut bangun. Entah ke mana lelaki itu melangkah, Dyla hanya mengekor. Adilah dan Saadah jongket bahu.

Alfan membuka pintu kereta tempat duduk penumpang.

"Duduk!" perintah Alfan.

Dyla duduk. Kaki dilunjurkan ke luar. Alfan buka pintu tempat duduk belakang. Mencari kotak peti kecemasan yang sentiasa dibawa ke mana-mana.

Alfan melutut sekali lagi di hadapan Dyla. Dyla tenung lelaki itu.

"Awak ni apa? Doraemon? Thumb drive ada, first aid box ada." Dyla bersuara.

"Keperluan. Kalau kau belajar dekat luar, kau sendiri-sendiri. Apa-apa kemungkinan nak jadi, kena fikir. Daripada menyusahkan orang, baik kau simpan sikit kepandaian untuk bersedia dalam apa jua keadaan. Be prepared." Alfan berkata tanpa memandang wajah Dyla. Dia mencari-cari ubat.

Alfan menghulurkan krim kepada Dyla. Tangan Dyla yang sudah merah dipandang. Gigi diketap. 'Boleh tak kau jangan sakit depan aku?'

Dyla mengusap perlahan ubat yang diberikan. Kadang-kadang dahinya berkerut menahan perit.

Dendam CintaWhere stories live. Discover now