Bab 7

8.4K 229 3
                                    

PEJAM celik pejam pelik, hampir 6 bulan menjalani kehidupan di sini. Aku sangat gembira menjalani hari-hariku. Bertekak dengan Azrai tu sudah menjadi kebiasaan. Bergaduh dengan Kak Ema dah kira perkara wajib, tapi semua menjadikan hidupku penuh dengan warna-warni. Tanpa semua itu, hidup ini terasa hambar.

Sedar tak sedar, sebenarnya inilah kehidupan yang perlu aku jalani. Apa pun, aku tetap gembira.

"Dah siap bilik tu?" soal Adibah sebaik sahaja aku sampai lobi.

"Dah," jawabku. Ada tetamu yang mahukan bilik eksklusif dan ingin menginap selama 3 hari. Sabtu, Ahad dan Isnin. Harap tak banyak songeh. Selalu tetamu lelaki tak banyak bunyi, tetamu perempuan yang selalunya melebih. Ada saja yang tak kena.

"Pasangan nak berbulan madu ke?" Aku kepohchi sikit. Selalunya tetamu yang mahukan bilik tu merupakan pasangan pengantin baru.

"Rasanya."

Aku angguk dan beredar. Masa untuk aku bersihkan kawasan luar homestay. Ada pokok-pokok bunga yang memerlukan perhatianku. Sejak 6 bulan memang kerja aku tanam pokok-pokok di halaman homestay. Pasti saja bunga calla lily menjadi pilihanku di samping aku buatkan taman mini bunga ros.

Yang buat aku rasa sangat gembira ialah bila ada tetamu yang kagum dengan usahaku dan ada yang memuji. Terasa penat lelahku dihargai.

Sebuah kereta masuk ke kawasan letak kereta. Aku perhatikan saja. Seorang lelaki keluar dari kereta. Awal dia sampai. Sepatutnya daftar masuk bermula pukul 12.00 tengah hari ke atas.

Lelaki yang memakai pakaian agak ringkas, jean dan T-shirt warna kelabu bertangan pendek menghampiriku.

Aku tersenyum. Polisi homestay harus senyum selalu.

"Boleh saya bantu, encik?" Aku bermanis kata. Namun lelaki tinggi lampai dan berambut pendek sekadar memandang aku. Rasa-rasa seperti pernah jumpa, tapi tak ingat di mana. Serius, memang pernah jumpa, tapi aku tak ingat langsung.

Lama dia pandang aku sehingga aku rasa semacam. Dia pandang aku serupa tak pernah tengok perempuan kerja tukang kebun. Hina sangat ke kerja sebagai tukang kebun?

Tapi serius, aku rasa pelik sangat. Cara dia pandang aku seperti seorang kekasih memandang kekasihnya yang lama dia tak jumpa. Macam nak peluk aku pun ada. Tak, aku saja yang rasa macam tu.

"Ya, encik?" Aku tegur dia. Tidak mahu terus-terusan dipandang pelik.

"Dah boleh check in ke?"

Alahai, nak tanya benda tu saja rupanya.

"Selepas pukul dua belas, encik," jawabku. Itu kira dah baik. Ikutkan tempat lain selepas pukul 2.00 petang baru boleh daftar masuk.

"Habis, sementara pukul dua belas saya nak buat apa?"

Tanya aku pula. Dah tak tahu buat apa, buat bodohlah. Dia yang datang awal, siapa suruh?

"Encik bolehlah jalan-jalan dulu ke..." Aku beri cadangan. Nak suruh dia bawa isteri atau kawan tengok Cameron Highlands, nampak kereta dia kosong. Dia makan angin sorang-sorang aje agaknya.

Dia pandang aku lagi. Seperti hendak bercakap semula tapi mungkin tak tahu nak cakap apa. Akhirnya tanpa membalas kata-kataku, dia ke keretanya semula.

Macam-macam perangai manusia ni.

"Kenapa?" soal Adibah sebaik sahaja kereta lelaki tu beredar pergi.

"Mamat tu la. Dia tanya boleh check in tak? Aku jawablah selepas pukul dua belas baru boleh. Lepas tu merungut. Dia nak buat apa sementara nak sampai pukul dua belas?"

Cik Sederhana Dan Encik SegakWhere stories live. Discover now