BAB 2 Rencana rahsia

529 38 14
                                    

Pertemuan untuk melaksanakan rencana rahsia yang diatur bersama-sama paman semakin hampir. Bidasari mencapai sepersalinan lengkap milik ayah dari dalam gobok lalu dilipas kemas di dalam kantung kain batik. Semua barang keperluan telah tersedia termasuklah sebilah keris pusaka milik keluarga arwah ibunya.

Bidasari menarik nafas panjang sebelum melangkah keluar dari kamar menuju ke pintu utama. Hanya beberapa langkah sahaja, rencananya pasti akan berjaya jika suara garau ayah tidak berkumandang seisi rumah.

"Bidasari! Mahu ke mana kamu? Bukankah sudah gelap isi buana di luar sana?"

Serta merta langkah Bidasari terhenti. Perlahan-lahan kepalanya berpaling ke sisi. Ayahnya masih memaku mata menanti jawapan. Dari lisan mahupun bahasa tubuh Bidasari; berpatah semula ke kamar. Tak sengaja matanya menangkap sesuatu yang amat menarik.

Ada kitab baru di tangan ayah? Tulisan siapa? Hati Bidasari mendesah ingin tahu. Luaran kitab nampak asing di matanya. Akan tetapi itu bukanlah keutamaan buat masa ini meskipun keasyikkannya terhadap ilmu dan kitab tiada tolok bandingan. Ada permasalahan bangsa dan negara yang perlu dia selesaikan malam itu. Sudah tentu tanpa pengetahuan ayahnya.

Bidasari merapati Pak Rasul. Soalan meluncur laju dari mulut. "Kitab pasal apa ayah? Pertanyaan sebegitu bertujuan mengalih perhatian ayahnya dalam masa yang sama memenuhi lonjakan hati Bidasari. Bibir sang ayah mengukir senyum. Dia tahu sangat keasyikan satu-satu anak gadisnya itu.

"Kajian tentang alam semesta. Bagaimana terang dan gelapnya bulan dan kaitan dengan kejadian alam. Pasang dan surut air laut, gelora dan tenang muara. Malah menjadi panduan bagi ahli falak bagi penentuan kitaran hari dalam sebulan."

Punggung Bidadari telah berlabuh di sisi ayahnya tanpa dia sedari. Ilmu baru!

"Karangan siapa? Orang kita? Atau kitab yang bersandarkan ilmu bangsa lain?"

Pak Rasul ketawa kecil. Dagu anaknya disentuh lembut.

"Jika mahu tahu lebih banyak lagi, duduk lama-lama di sini. Mari mentelaah bersama-sama ayah."

Bidasari menolak pelawaan dengan lembut. "Sari ada janji dengan Paman malam ini. Mahu bicara hal penting kata Paman."

Pak Rasul meletakkan kitab ke riba. Dicari anak mata Bidasari dalam kesamaran cahaya dian di hadapan mereka. "Ada-ada sahaja Paman kamu itu. Tidak cukup siang, malam pun dia mahu berkelek dengan anak aku. Bilang sama Paman kamu, suruh anaknya Si Siantan itu cari jodoh cepat-cepat. Biar segera bermenantu. Ini tidak, anak aku juga yang dikejarnya."

Hati Pak Rasul cepat panas apabila adik arwah isterinya sering mendapat perhatian Bidasari.

Habislah aku. Hati Bidasari mendecit amaran. Bidasari tahu sangat bahawa ayahnya dan paman tidak sebulu. Jika dilayan, sampai ke pagi dia akan betapa di situ mendengar omelan ayah tentang Paman. Oleh yang sedemikian, dalam gerak pantas, tangan tua itu Bidasari kucup laju. Ciuman Bidasari singgah di kepala Pak Rasul sebelum dia bergegas bangun lalu menuju ke pintu.

"Sari harus pergi sekarang. Mungkin Sari akan bermalam di rumah Paman."

Kedua-dua belah kaki Bidasari telah menuruni tangga rumah ketika ayah berteriak kuat, "Apa? Bermalam di rumah Paman? Paman kamu benar-benar mahu merebut kamu dari aku ya?"

Bidasari pura-pura tidak mendengar kata-kata Pak Rasul . Dia pasti ayahnya akan menghalang jika diminta izin terlebih dahulu. Atau akan tidak sedarkan diri jika mengetahui rancangannya yang sebenar. Dari jauh Bidasari melaung, "Ayah jaga diri ya. Makan dan minum sudah Sari sediakan di bawah tudung saji di dapur."

Bidasari menarik kain batik agar menyelubungi seluruh kepala. Biarpun jelas bahaya yang menanti, keterujaan mengatasi bimbangnya.

 Biarpun jelas bahaya yang menanti, keterujaan mengatasi bimbangnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
DUA PEWARIS TAKHTAWhere stories live. Discover now