"Ringg!!"
Loceng terakhir sekolah tersebut baru sahaja berdering. Sesi persekolahan sudah berakhir untuk hari itu.
Suraya baru sahaja mengemas barangannya untuk pulang ke rumah. Mona yang masih berada di dalam makmal menyuruhnya menunggu menerusi sms. Rakannya itu dan murid-murid sedang mengemas makmal.
"Hm.. terus ke tempat parking la.. bosan kat sini..", getus hatinya sendiri.
Suraya yang tiada apa-apa plan untuk tengahari itu tidak sabar untuk pulang ke rumah. Kalau boleh, beliau ingin tidur sahaja. Badannya terasa letih kerana tidak cukup tidur. Bahana berjaga lewat semata menonton drama.
Sampai sahaja beliau di tapak letak kereta, beliau berteduh di salah satu pokok yang merimbun daunnya. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, ia memberi ketenangan. Suasana sekolah itu semakin sunyi. Ramai murid-murid sudah balik menaiki bas sekolah, diambil ibubapa dan sebagainya. Suraya melihat jam di tangannya.
"Haish.. dah nak dekat pukul 2 dah.. Mana si Mona ni?", rungutnya di dalam hati.
Suraya berdiri sendirian di situ. Selalunya jika Mona terlewat seperti ini, beliau akan tunggu sahaja di bilik guru. Entah kenapa beliau tidak kali ini. Sambil menunggu, Suraya bermain Candy Crush di telefonnya.
Sedang beliau ralit dengan applikasi permainan itu, dirinya ditegur dan tepi.
"Suraya..."
Cikgu muda itu memaling. Matanya terbuka luas, kemudian berkerut.
"Ishak..."
Wajah Suraya berubah masam mencuka. Disebabkan ralit bermain, beliau tidak sedar Ishak datang menghampiri.
"Kau buat apa di sini?"
"Aku datang sebab nak jumpa kau Suraya.."
Telefon itu digenggam dan dimasukkan ke dalam beg. Kemudian, Suraya menyilangkan lengannya dan berpaling ke arah bertentangan.
"Kita tiada apa untuk dicakapkan.. Baik kau pergi.. Aku tak mahu jumpa kau.."
Ishak yang memakai baju hitam berseluar jeans mengambil satu langkah menghampiri.
"Berilah aku peluang lagi, Suraya. Aku benar-benar menyintai kau.."
Suraya berpaling semula ke arah Ishak. Mulutnya dikecilkan kerana marah.
"Kau tak faham bahasa ke hah? Berapa kali aku kena terangkan kat kau? Kita dah takde apa-apa Ishak! Takde apa-apa! Kau.. sudah takde dalam hidup aku..", Suraya membentak.
"Tapi Suraya.. aku masih tidak dapat lupakan kau. Aku tau aku bersalah. Berilah aku peluang. Aku bukan seperti dulu lagi. Tidakkah kau dapat melihat? Kau tak dapat ke bunga aku bagi kau tu?"
"Sudahlah Ishak.. Sudah. Aku sekarang sudah bersama Zain. Dia lebih baik daripada kau. Tolonglah lupakan aku. Aku pasti ada orang lain yang lebih sesuai untuk kau.."
Ishak tidak berpuas hati. Egonya terasa bagaikan dipijak-pijak tatkala mendengat Suraya menyebut nama Zain. Apatah lagi apabila gadis itu meletakkan Zain lebih tinggi daripadanya. Lelaki itu cuba memegang bahu Suraya. Tangan itu ditepis. Darah Ishak makin berderau.
"Apa laki tu ada yang aku tiada Suraya? Dia kaya ke? Dia handsome ke? Aku lebih kenal kau dahulu daripada dia! Kau takkan dapat lebih baik dari aku.."
Darah Suraya mula mendidih. Beliau terasa seolah Ishak cuba memberitahu bahawa dirinya hanya memandang rupa wajah dan harta pada seorang lelaki.
"Hey Ishak.. aku sayangkan dia bukan kerana harta atau rupa tau.. Aku sayangkan dia kerana dia lebih memahami aku berbanding kau. Dia lebih percaya pada diri aku berbanding kau yang jenis cemburu buta! Kau takkan mampu buat atau jadi seperti dia.."
Ishak tersentak seketika. Bajunya yang semakin lencun dengan peluh menampakkan susuk tubuhnya yang sedikit gempal. Sesekali beliau mengesat peluh di dahi.
"Percayalah Suraya.. aku boleh berubah. Malah jadi lebih baik dari dia. Percayalah.. Aku sayangkan kau.. Hati aku tidak mampu buka kepada orang lain selain kau Suraya. Berilah aku peluang Suraya. Tinggalkan dia.. kembalilah kepada aku.. Tidak ingatkah memori indah kita sewaktu bersama dulu? Tidakkah kau inginkan kebahagiaan sepertimana kita pernah kecapi bersama?"
Ishak kelihatan begitu bersungguh. Kalau boleh beliau ingin sahaja melutut di situ juga.
Suraya terdiam. Keadaan menjadi jeda seketika. Gadis itu masih menyilangkan lengannya. Fikirannya berlegar-legar. Beliau sememangnya tidak mahu beri peluang kepada Ishak lagi. Beliau tidak mahu hidup di dalam keadaan tertekan lagi. Biarlah mimpi ngeri itu berakhir. Lagipun, beliau kini menyintai Zain sepenuh hatinya. Tiada yang lain. Lagipun, Ishak yang putuskan hubungan mereka dahulu. Bukannya Suraya. Buat apa kembali lagi? Sekali sudah dibuang, takkan beliau nak berbalik? Beliau bukannya anak patung yang boleh dibuang dan kutip!
Suraya menarik nafas panjang. Matanya mula redup. Beliau sudah penat dengan semua ini. Dirinya sebolehnya tidak mahu lagi Ishak mengganggu. Beliau memikirkan jalan supaya Ishak faham hatinya sudah tertutup dan tidak ingin dikacau lagi. Suraya kilas ke arah wajah bekas kekasihnya itu.
"Ishak.. Fahamilah ini. Aku sudah tidak menyintai kau lagi. Aku cinta pada Zain. Hati aku bukan untuk kau lagi. Simpan sahajalah semua memori kita berdua. Jadikan teladan bagi diri kau di masa hadapan. Lupakan sahajalah aku, Ishak. Aku rayu pada kau. Carilah pengganti aku yang sesuai. Yang lebih memahami kau. Yang boleh menyayangi diri kau lebih baik daripada aku. Janganlah berharap pada aku. Aku dan Zain akan berkahwin tak lama lagi. Kita berdua tiada jodoh..."
Suraya membohongi mengenai dirinya akan berkahwin dengan Zain dalam masa terdekat. Ayat itu cuma mahukan Ishak tidak lagi mengacaunya. Dan ayat itu, memakan diri Ishak dengan rakus sekali. Lelaki itu terkesima dan terdiam. Jantungnya ibarat terlari sedetik.
"Ishak.. aku harap kau fahami aku. Kalau kau sayangkan aku, lepaskanlah aku. Sudahlah.. redha sahaja yang kita berdua bukan jodoh. Aku minta diri dulu.."
Suraya terus meninggalkan Ishak yg terpegun di situ. Langkahnya dilajukan. Ishak tidak mengejar. Wajahnya penuh dendam. Ishak tidak percaya apa yang beliau dengari sebentar tadi. Beliau merasakan maruahnya diludah-ludah oleh jejaka bernama Zain itu. Ishak tidak mahu berdiam diri. Beliau menjerit supaya didengari Suraya.
"Tidak Suraya.. Tidak! Aku takkan gantikan kau dengan sesiapa. Kau milik aku Suraya! Milik aku sorang!.. Kau akan menyesal Suraya.. kau akan menyesal!"
Suraya tidak mengendahkan ugutan Ishak itu. Beliau semakin laju berjalan menuju kembali ke dalam bangunan sekolah. Beliau ingin pergi ke bilik guru mencari Mona.
Ishak yang melihat Suraya hilang ke dalam bangunan itu, terus mendengus dan melangkah keluar sekolah. Beliau benar-benar tidak puas hati. Ishak sebolehnya mahukan Suraya kembali. Beliau tidak akan berputus asa.
Di bilik guru, Suraya terserempak dengan Mona yang sudah siap untuk keluar. Mona melihat wajah Suraya yang merah padam.
"Eh, kau ni dah kenapa?"
"Kau lambat sangat kenapa?"
Mona berasa pelik dengan nada Suraya yang tinggi. Keningnya berkerut.
"Eh.. Kan aku dah cakap aku lewat sikit. Kenapa marah-marah ni?"
Suraya melepaskan satu nafas yang berat. Kepalanya terasa sedikit pening. Beliau melabuhkan punggung di bucu meja yang terdapat di hadapannya.
"Hmm.. Ishak. Tadi dia datang jumpa aku kat tempat parking. Merayu lagi nak aku balik. Eeiii... stress lah!"
"Ishak? Eh.. mana dia?"
"Dia dah balik dah.. Aku datang sini sebab nak lari dari dia la..."
Mona menghampiri Suraya dan memegang lembut bahu kecil itu. Matanya menatap tepat pada wajah Suraya yang begitu jelas tiada mood.
"Kau ok ke Suraya?"
"Hmm... Ok. Dah la.. Jom balik.. Kat rumah la kita sembang.."
"Baik-baik.. Dah.. Jom.."

YOU ARE READING
Suraya! I Love You
HorrorKehidupan Suraya indah semenjak bercinta dengan kekasihnya, Zain. Namun, kebahagiaan itu musnah apabila bekas kekasihnya, Ishak hadir semula menuntut cintanya kembali. Namun, Suraya yang telah mengenali diri sebenar Ishak, terpaksa menolak. Semenja...