Bab 3

89 1 0
                                    



"KAK long sihat?" sapa Dania terus sebaik sahaja kakak ipar dan abangnya muncul di muka pintu rumah. Bayi yang berada dalam kendongan Raihana diambil.

"Sihat alhamdulillah, angah. Angah cuti ke minggu ni? Tak ada kelas?"

"Tak ada kelas weekend ni, kak long. Tak tahu nak buat apa dekat kolej, so angah balik rumah. Tak jauh mana pun Pulau Pinang tu dengan KL ni. Lagipun angah rindu dengan Kaisara comel ni!"

Geram Dania dibuatnya melihat pipi Kaisara yang semakin montel itu. Sudah hampir sebulan dia tidak menemui anak buahnya yang berusia 9 bulan itu. Walaupun dia kini menyambung ijazahnya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, itu tidak menghalang dirinya daripada pulang ke rumah setiap minggu. Lagipun adiknya yang bongsu itu mana boleh dibiarkan keseorangan lama-lama di rumah. Kalau tidak, tak ada pula kawan untuk berbual. Sayang juga dia dekat adiknya yang nakal itu.

Tersenyum Danial Ashari melihat adik perempuannya mengendong bayi kecilnya. Tangannya dihulurkan apabila adiknya itu mahu bersalaman. "Belajar macam mana, angah?"

"So far so good, along. Ini pun dah sebulan angah tak balik sini. Banyak aktiviti untuk program kolej. Along ni angah tengok makin kacak. Oh baru perasan! Along shaved!"

Tersengih Danial apabila mendengar pujian adiknya itu. "Eleh, yelah tu. Dah lamalah along shaved. Tengoklah suami siapakan, sayang." Matanya melirik nakal ke arah isterinya di sebelah. Raihana ketawa kecil. Mereka bertiga berjalan beriringan ke ruang tamu.

"Hmm... Baru ingat nak balik ke rumah. Kalau tak disuruh makan malam dekat sini, tak adanya nak datang jenguk mama kan? Hari-hari jumpa papa dekat pejabat, tapi mama langsung tak jumpa kat rumah ni," ujar Puan Sri Karmila. Bahu anak sulungnya dipeluk erat.

Danial membalas pelukan mamanya sambil menghadiahkan ciuman di pipi. "Sorry ya mama. Along sibuk sikit sejak kebelakangan ni dengan papa. Rai kan selalu datang ke mari."

"Itu isteri kamu memanglah. Tapi mama rindu dengan anak kandung mama ni. Papa kamu pun satu. Langsung tak boleh nak consider kepentingan anak sendiri. Kesian mama tengok Rai datang ke sini tanpa along. Kan senang kalau along dengan Rai pindah ke sini. Bolehlah mama jagakan Kaisara sekali," ujar Puan Sri Karmila. Sudah berkali-kali dipujuk anak sulungnya untuk tinggal bersama tetapi Danial berkeras untuk tinggal di rumah sendiri. Katanya mahu berdikari sendiri.

Muncul Tan Sri Dahlan dari dapur. Segala perbualan isteri dengan anak sulungnya dapat didengar satu rumah. "Abang dengar Hawa cakap yang abang tak consider dengan kepentingan along?"

"Yelah. Abang tu, bagilah along balik awal ke rumah. Kesian Mila tengok Raihana ni." Puan Sri Karmila mempamerkan wajah sedih. Sengaja mahu memancing simpati suaminya.

Tan Sri Dahlan hanya tersenyum tenang. "Mila kena faham, along bakal gantikan tempat abang. Jadi, dia kena bekerja lebih keras untuk biasakan segala urusan dalam pejabat. Kalau bukan dia siapa lagi? Nak harapkan angah, angah dah pilih jalan dia sendiri. Itu abang tak boleh nak buat apa."

Dania hanya melihat wajah papanya di sebalik tubuh abangnya. Terpukul sedikit dengan kata-kata papanya itu. Dia memilih untuk menjadi seorang pendidik yang bukan menjadi pilihan papanya. Jadi sebab itulah papanya sudah jarang sekali berbual dengannya. Makan hati Dania dibuatnya. Dia melangkah perlahan ke halaman rumah sambil mendukung Kaisara. Cuba meredakan kesedihan dalam jiwanya, dia mencium pipi anak kecil itu.

"Abang... kita tak boleh nak kawal sangat kehidupan angah tu. Dia ada impian dia sendiri. Abang sepatutnya sokong angah. Bukannya buat angah makin jauh hati."

"Kalau bukan anak-anak kita sendiri nak bangunkan syarikat abang tu, siapa lagi yang boleh abang harapkan? Takkanlah pada along sorang je abang nak harap? Walau macam mana sekalipun, abang nak Dani ikut jejak Danial. Abang tak mahu dia ikut jejak angah, langgar kehendak orang tua sendiri."

Danial mengeluh perlahan. Apabila keluarganya berkumpul dalam keadaan begini, pasti hal yang sama diperkatakan. Sikap dingin papanya itu memang payah diredakan. Disebabkan perkara itu, dia sentiasa akur dan turut kehendak orang tuanya walaupun kadangkala itu bukan kemahuannya.

"Marilah kita makan. Mama masak lauk apa malam ni? Dani mana?" Danial terus bersuara sebaik sahaja papanya mula mempamerkan wajah ketat.

Puan Sri Karmila memandang anak sulungnya dengan senyuman. "Mama masak macam-macam malam ni. Along dengan Rai kena makan sampai habis tau."

Raihana memeluk bahu ibu mertuanya sambil berjalan ke arah dapur. "Mama ni. Naik kenyanglah Rai nanti. Mama pun kena habiskan sekali. Rai pergi ke depan kejap ye mama. Nak panggil angah makan sekali."

"Okey sayang, pujuk sikit angah tu. Rai tahu kan angah macam mana." Puan Sri Karmila menepuk perlahan bahu menantunya. Raihana mengangguk kemudian berlalu pergi. "Dani ada kat depan sekali dengan angah tu. Dia tengah basuh motorsikal."

Danial mengangguk. Kemudian dia mengambil tempat di meja makan. Makanan sudahpun tersedia awal. Rajin betul mamanya memasak kesemua lauk pauk ini. Kesemuanya makanan kegemarannya. Ada ulam-ulaman, sambal belacan, kuah asam. Naik geram dia dibuatnya.

"Along..." Dani terus bersalaman dengan Danial apabila dia berada di ruang makan. Kemudian dia bergerak mengambil tempat duduk di sebelah Dania.

"Macam mana sekolah? Still dapat nombor satu?"

"Mestilah along. Along tahukan adik along ni macam mana." Terselit nada riak di sebalik kata-kata Dani. Dia menyengih melihat Dania yang hanya bermasam muka sahaja.

"Bagus. Kekalkan prestasi tu. Senang nanti along nak hantar Dani study kat oversea lepas SPM nanti."

"Kenapa kat oversea pulak? Local university pun okay lah along. Dani tak nak lah jauh dari mama. Kat UM kan boleh." Dani berpendapat sendiri bahawa dia lebih gemar belajar di sini daripada berjauhan dengan mama kesayangannya.

"Sampai bila nak duduk bawah ketiak mama tu? Papa nak Dani ikut jejak along. Take your master in engineering, study in overseas at least 5 to 7 years and bring back what we want. And lastly, work with me. Don't you ever let me down,  Dani Ashraff."

Sangat tegas dan terdapat nada ugut di sebalik kata-kata papanya. Dani melihat wajah papanya yang agak serius pada ketika ini. Kenapa perlu bereaksi macam tu sekali padanya? Takkanlah disebabkan kakaknya itu tidak mengikut haluan seperti abang sulungnya papanya jadi sebegini tegas? Dani hanya mampu diam ketika itu.

"Betul tu, Dani. Jangan jadi macam angah. Setakat study dekat local university, tak ada siapa nak pandang. Ikut apa yang papa nak, apa yang papa suka... Dani dah boleh jadi anak kesayangan papa macam along. Jangan jadi macam angah, papa tak ingin pun peluk cium bila balik ke rumah." Dania terus meninggalkan ruang makan. Dia tak dapat menahan air matanya daripada mengalir. Hatinya semakin luruh apabila papanya tidak habis-habis memprovok dirinya sendiri.

Puan Sri Karmila tidak sempat mengikut anak perempuannya apabila tangannya dipegang oleh suaminya. Matanya memandang wajah suaminya yang hanya merenung ke hadapan. "Abang..."

"Biarkan dia. Nanti suruh Dani hantarkan makanan kat bilik dia. Jom makan. Abang dah lapar."

Apabila Tan Sri Dahlan berkata begitu, dia tidak mampu menolak. Puan Sri Karmila duduk kembali di atas kerusi. Sampai bila suaminya itu bersikap dingin dengan anak perempuannya yang degil dan keras kepala? Memang sikap Dania banyak mewarisi suaminya. Seorang yang lantang bersuara, lasak, berani dan suka mempertahankan pendapat sendiri.

Dani sangat sayang pada kakaknya itu. Dia dapat rasakan bahawa Dania berada dalam kesedihan. Lepas habis makan, dia pasti akan memujuk kakak kesayangannya itu.

RomentikWhere stories live. Discover now