Cerita 2 - Nak kaya.

215 14 53
                                    

PROLOG

"Mat!"

Mat menoleh. Terhenti seketika kerjanya mengasah parang. Kelihatan Daim berjalan pincang, mendekatinya.

"Kenapa kaki kau tu?"

"Jatuh."

"Bila kau jatuh? Semalam elok aje."

"Malam tadilah."

Berkerut dahi Mat. Jatuh katil pun, takkan sampai tempang kakinya?

"Kau jatuh kat mana?" Mat bertanya juga akhirnya.

"Hmm..." Wajah Daim terkulat - kulat.
Dilabuhkan punggung di pangkin sambil kepala digaru - garu. "Kat kubur..."

Ayat terakhir itu membuat Mat terbuntang biji mata!

SATU

Daim menguis - nguis tanah dengan sebatang ranting. Entah lakaran apa yang digores di atas tanah itu dia sendiri pun tidak tahu. Apa yang dia tahu, dia sedang kusut sekarang. Kusut masai, berserabut dan penuh sawang dalam benaknya. Setelah setengah jam, baru dia merasa lenguh dan ketat sendi lutut. Perlahan - lahan Daim berdiri. Didongaknya langit yang cerah membiru. Selama di kebun, apa saja yang dibuatnya? Daim cuba memaksa akalnya yang beku itu berfikir. Tercangkung berangan sambil mencakar tanah saja pun, sudah lebih kurang setengah jam! Terik matahari, macam sudah hampir tengahari. Mungkin sekarang sudah pukul sebelas, sedangkan kerja menabur baja pun belum habis seguni! Bergegas Daim menyambung kerja yang terbengkalai. Kalau tak habis seguni ni hari ni, bernanah telingalah jawabnya menadah leteran mak!

"Haihhh... Jaga kebun macam ni, bilalah nak kaya?" Keluh Daim sambil menabur sisa - sisa baja terakhir.

Baki yang ada, dituangnya ke perdu pokok. Kemudian guni dilipat kemas, sarung tangannya dibuka. Tertoleh - toleh Daim kesegenap sudut kebun. 'Luas kebun ayah ni... ' Fikirnya. 'Jual sikit pun tak apa.' Spontan kepalanya terangguk - angguk. Cepat - cepat dia melangkah menuju ke motornya. Tidak sabar mahu mengutarakan cadangan bernas yang melintasi akal sebentar tadi, kepada emaknya.

DUA

Terbuntang biji mata Piah mendengar bicara anak bujang terlajaknya tadi. Kalau boleh tersembul keluar, haruslah kena mengutip biji - biji matanya itu untuk dimasukkan semula!

"Apa yang kau fikir tu, Im? Hah? Apa?" Keras intonasi Piah bertanya.

"Daim bagi cadangan aje. Mak emo ni, kenapa?"

"Cadangan kau tu, kalau pun boleh dipakai, mak tak setuju! Dari jual tanah tu, baik kau kerjakan betul - betul, jaga elok - elok. Mak bagi kau upah. Lagi pun, bila mak dah tak ada nanti, tanah tu kau punya juga. Jadi sumber pendapatan kau juga!" Piah telan liur. Nyaris tersedak dia tadi. "Kerja, Im. Usaha! Baru ada hasil. Ada duit. Bukan pagi petang, buang masa dengan kawan di kedai kopi!" Sengaja Piah menekan suara pada ayat terakhir.

Terjungkit bahu Daim terperanjat dengan bentakan emaknya. "Apa mak ni? Terkejut Im."

"Saja..." Jawab Piah. "Mak tengok kau mula tak endah tadi. Mak jerkahlah." Sambung Piah lagi. Daim hanya terkebil - kebil menahan malu disindir dek sang bonda.

Jam sudah pukul tiga petang. Entah masa bila emaknya memasak, dia pun tidak sedar kerana selepas 'perbincangan' tadi, dia tidur. Tahu - tahu, masuk ke dapur, nasi dan lauk - pauk sudah terhidang di atas meja. Tanpa disuruh dipaksa atau dipujuk rayu, Daim ambil pinggan. Nasi, sayur kangkung goreng, ayam goreng dan sambal telur dipenuhkan ke dalam pinggannya. Lapar sudah menyiat - nyiat perut.

Piah memerhati saja dari tengah rumah tingkah anaknya sambil tangannya cekap melipat kain. Keluhan dilepaskan sehela nafas. Tertanya - tanya juga dihatinya apakah salahnya dalam mengasuh Daim hingga anaknya menjadi pemalas dan penganggur sampai ke tua begini.

Ini Sebuah Cerita... Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang