Cerita 7 - Jelmaan

60 3 0
                                    

Raihana bangkit dari katil, bergegas keluar dalam gelap. Malas dia mahu menyalakan lampu biliknya. Sudah tidak tahan benar mahu terkencing. Ikutkan matanya, malas mahu tinggalkan katil tapi hajat yang satu itu tidak mahu berkompromi! Rumah mamanya, teres dua tingkat, 4 bilik, 3 bilik air. 1 dari bilik air itu, berada antara biliknya dan bilik adiknya. Cuma disaat genting begini, bilik air itu digunakan. Pastinya, adiknyalah! Terpaksalah Raihana ke tingkat bawah, gunakan bilik air di dapur. Laju - laju dia membawa kakinya bimbang bocor pula ditengah jalan.

Lampu diruang tangga, menyala kuning suram. Memang mama tidak suka tangga bergelap, khuatir mudah tergelincir akibat tidak nampak jalan. Dihujung tangga, ialah muka dapur. Di dinding sebelah dalam, kanan muka dapur, terletaknya suis - suis lampu dan kipas. Sambil tergesa - gesa, dipetik satu suis. Lampu tidak menyala tapi Raihana sudah tidak peduli. Dalam gelap dan meraba - raba, bertemankan suram lampu laluan belakang rumah, akhirnya Raihana berjaya juga membuka pintu bilik air. Sekali lagi, suis yang dipetik tidak berfungsi. Maka terpaksalah dia melepaskan hajat dalam gelap - gelita.

Akibat gelap, dia perlu berhati - hati bimbang terjatuh pula dalam bilik air itu. Tersepak baldi pula. Raihana terperanjat sendiri. Sedang dia terkial - kial mencari selak pintu, dia mendengar pergerakan didapur. Seperti ada orang sedang berjalan dan menolak kerusi. Dari celahan bawah pintu bilik air, ternyata dapur masih bergelap. Adiknyakah atau mama atau ayahkah? Tiada suara untuk diteka. Sekadar bunyi pergerakan yang perlahan dan diam. Tapi Raihana tidak tergerak hati mahu memanggil.

Sebaik dapat membuka pintu, Raihana segera keluar sambil melihat - lihat kekiri kekanan, mencari kelibat yang kedengaran berjalan didapur dalam gelap tadi. Tiada apa - apa atau siapa - siapa. Matanya yang sudah mulai terbiasa dengan kesuraman itu, membolehkannya bergerak lebih pantas di dapur berbanding tadi. Langkahnya sudah sampai ke muka dapur saat dia mengesan ada seseorang diruang tamu, bergelap. Dari saiznya yang sedang duduk itu, macam adik keduanya, Raihan. Kalau Rayzal, bayang itu seharusnya lebih kurus dan tinggi. Apa pula dibuatnya dalam gelap macam orang bertafakur begitu?

Sambil langkahnya menyentuh tangga, dia berpaling, "Buat apa sorang - sorang dalam gelap tu? Tidurlah. Esok sekolah."

"Hmm..." Itu saja jawapan yang kedengaran.

Entah kenapa, suara itu ditelinga Raihana, tidak seperti suara Raihan pun. Ah, suara orang bangun tidur atau orang mengantuk kadang - kadang memang garau, kan...

Raihana sampai atas dan melihat bilik air itu masih lagi digunakan. Lama betul budak ni guna bilik air? Fikirnya. Hmm, senyap aje. Tertidur ke?

Raihana mengetuk pintu bilik air.

"Who's there? Ok ke tak tu?"

"Hmm..." Suara yang sama macam tadi, menjawab.

Raihana mula meremang. Rambutnya yang separas bahu terasa kembang. Jantungnya mula berirama tidak sekata

Dia berdiri terpaku depan bilik air dengan separuh hatinya mengajaknya menjenguk ke bawah. Dalam bimbang dan takut, hatinya berperang sendiri... Namun kakinya tidak mahu berunding. Tahu - tahu sudah menapak turun!

Separuh jalan, langkahnya berhenti. Jantung masih berlari. Dia membongkok sedikit, menjenguk ke bawah. Matanya lingas - lingas memerhati. Sosok yang disangka adiknya itu masih kaku ditempatnya tadi.

"Hmmm..." Suara itu bergumam, garau.

Raihana terperanjat!

Dia berlari naik. Lalu saja didepan bilik air itu, tiba - tiba lampunya terpadam sendiri tetapi tiada siapa keluar dari situ. Raihana terperanjat lagi.

Kakinya seperti berlaga lutut sama sendiri bila dari dalam bilik air yang gelap itu dia dengar suara gumam yang serupa. Kemudian gumaman itu bersahut pula dari tingkat bawah.

Pintu biliknya seperti jauh dari jangkauan. Ketakutan semakin terasa bila dia mendengar derap langkah naik ke atas. Langkah itu berat sampai berkeriut anak tangga dipijaknya. Lampu tangga berbalam berkelip - kelip. Suram, gelap. Suram, gelap.

Raihana gagahkan kaki sehingga berjaya mencapai tombol pintu biliknya. Sebaik dia sampai ke muka pintu biliknya, dia dengar pintu bilik air pula terbuka. Lampu tangga terpadam... Langkah yang berat itu semakin hampir ke atas!

"Hmmm..." Gumaman itu berganda bunyinya.

Kerana panik, berkali diputar tombolnya tetapi pintu biliknya tidak boleh dibuka!

Raihana mula menangis tetapi masih berusaha membuka pintu. Untuk ke bilik adiknya, dia tidak mahu lalu depan bilik air itu. Bilik mama pula, jauh sedikit.

Tiba - tiba pintu biliknya terbuka. Angin sejuk menerpa tubuhnya. Raihana meremang lagi tetapi dia terus masuk dan menutup pintu dengan kelam - kabutnya. Seketika dia perasan, suara bergumam itu tidak lagi kedengaran. Langkah yang berat itu pun, entah sejak bila berhenti. Bersandar sejenak didaun pintu, Raihana menarik nafas lega.

Ketenangan mula memeluk hati. Menepis ketakutan tadi. Raihana yakin semua itu adalah kerana rasa was - wasnya terhadap kegelapan. Nafas panjang dihela lalu tubuhnya dibawa ke katil. Rebah. Raihana mahu tidur lena. Letih dia melayan ketakutannya tadi.

Terlentang dengan tangan mendepa dan kaki terbuka. Nyaman ditiup angin sejuk dari kipas siling.

"Hmmmm..."

Suara bergumam garau itu tiba - tiba kedengaran lagi. Dekat betul! Raihana yang masih terlentang, terkaku. Ditoleh kesisi...

"Hmmm..." Dua 'biji mata' merah membalas pandangannya.

"Aaaaaaarghhhhhhh!!!"

Sekian.
ReD_aWan🍓
3:26am. Ahad, 29072019.

Ini Sebuah Cerita... Where stories live. Discover now