BAB 1

1.9K 88 4
                                    

TAN SRI AHMAD mengurut pelipisnya sambil membelek fail kewangan syarikat KTK Construction di atas meja kerjanya. Hati tuanya bimbang. Sejak tiga tahun lepas, KTK Construction tidak mampu menghasilkan keuntungan. Sejak ke belakangan ini juga, syarikat ini banyak menanggung rugi. Tan Sri Ahmad bimbang syarikat yang dibina hasil titik peluh dan tulang empat keratnya tidak mampu bertahan.

Sejak tiga tahun ini, sudah berpuluh projek kendalian syarikat KTK Construction terbengkalai begitu saja. Pekerja pembinaan juga sudah mula rungsing, takut gaji mereka tidak berbayar. Bukan itu saja, pelabur dari dalam dan luar yang sedia ada sudah mula menyuarakan kebimbangan mereka. Takut pelaburan mereka tidak membuahkan hasil.

Tan Sri Ahmad buntu. Mujur saja Naina tiada di Malaysia melihat keadaannya yang tertekan. Anak tunggalnya itu sedang melanjutkan pengajian di Australia dalam bidang fesyen di tahun akhir.

Dia perlu bertindak cepat sebelum Naina kembali ke Malaysia. Syarikat KTK Construction perlukan pelabur baru. Mereka perlukan pelabur baru yang meletakkan kepercayaan mereka terhadap KTK Construction. Tan Sri Ahmad yakin KTK Construction boleh beroperasi seperti dulu.

Tapi syarikat mana yang perlu dilamarnya untuk jadi pelabur KTK Construction yang baru? Syarikatnya memerlukan pelabur yang kukuh ekonomi dan pengaruhnya seperti ES Empire.

Tan Sri Ahmad menegakkan badannya diatas kerusi kerjanya. ES Empire? Entah mengapa tiba-tiba dia boleh terfikirkan nama syarikat itu. Kalau tidak silapnya, ES Empire merupakan sebuah syarikat yang ternama dan ia diterajui oleh seorang anak muda.

Tan Sri Ahmad tersenyum. Dia suka idea yang menjengah di mindanya ketika ini. Dia menekan punat interkom dan meminta setiausahanya, Husna masuk ke dalam pejabat.

Husna mengetuk pintu yang diperbuat daripada kaca itu sebelum dia mendengar arahan daripada Tan Sri Ahmad. Husna mengatur langkah mendekati meja kerja Tan Sri Ahmad sebelum dia menghentikan kakinya tepat di depan meja kerja Tan Sri Ahmad.

“Ada apa yang saya boleh bantu, Tan Sri?” tanya Husna seperti biasa. Dia membuka buku organisasi Tan Sri Ahmad, sedia mencatat segala yang diarahkan oleh majikannya itu.

“Duduk dulu, Husna,” pelawa Tan Sri Ahmad seperti selalu. Walaupun dia ketua teratas kepada semua kakitangan KTK Construction namun dia tidak pernah memperlakukan mereka seperti hambanya. Dia memberikan layanan kepada kakitangannya sama rata dengan keluarganya.

Husna menarik bangku di hadapan meja kerja Tan Sri Ahmad sebelum melabuhkan punggungnya disitu. Buku catatan tadi diletakkan di atas meja.

“Saya nak awak cari maklumat tentang ES Empire.”

Husna mengangkat kening ke atas. Biar betul, Tan Sri?

“ES Empire?”

“Kenapa?”

Husna menggeleng pelahan lalu mencatatkan sesuatu di dalam buku catatan itu. “Itu saja?”

“Awak tahu apa-apa pasal syarikat ES Empire?” tanya Tan Sri Ahmad kepada Husna.

Husna menggeleng pelahan. “Tak banyak yang saya tahu pasal ES Empire. Cuma yang saya tahu, CEO syarikat tu muda. Kalau tak silap saya, dia baru berusia 32 tahun. Syarikat itu dia warisi daripada arwah ayah dia, Dato' Ariff Fauzan. Beliau dan isteri terkorban dalam nahas jalan raya yang meragut nyawa ratusan pengguna jalan raya sepuluh tahun lepas.” ujar Husna panjang lebar.

Tan Sri Ahmad mengangguk lemah. Peristiwa itu masih segar dalam ingatannya. Mana tidak, nahas itu juga turut mengorbankan nyawa isterinya, ibu kepada Naina, Faith Suraya. Kemalangan itu merupakan kemalangan terbesar yang pernah berlaku di atas jalan raya.

Bukan Untuk Dicintai ( NEW VERSION )Kde žijí příběhy. Začni objevovat