2. Tuan Besar

79 3 0
                                    

Ekonomi kita bagus, kata pak menteri, kita mewah, kita kaya, dan berharta. Kita ada tanah dan kita ada ladang, maka kita ambil orang Indonesia dan Bangladesh kerja dengan kita. Kita ada restoran atau kafe kecil, maka kita turut gajikan orang Bangla ataupun Indon tadi. Kita ada gerai kecil di bawah pokok pun kita gajikan mereka juga.

Selagi boleh kita gajikan orang, maka kita akan gajikan. Bukan sebab apa, nak gajikan orang kita juga dah tak ada sebenarnya, semuanya nak jadi tauke atau bos dan tak ada siapa nak jadi kuli. Lagipun dengan tawaran gaji yang ciput sahaja manalah anak bangsa kita nak kerja, ya tak?

Ada la yang nak, akan tetapi yang biasanya terjadi apabila bagi kerja kat orang sendiri, lepas seminggu dia mintak advance, cukup sebulan dapat gaji pertama terus lesap. Dua bulan lepas tu apabila duit dah habis, datang balik tersengih-sengih minta kerja semula.

Nak kerja tukang cuci atau tukang sapu, kita tak layak kerana ini negara kita, kita tuan besar, jadi kita gajikan dan berikan pekerjaan tersebut kepada orang lain. Oleh itu, jadilah kita negara yang majmuk dan kaya dengan pelbagai budaya, bahasa, dan juga adat resam. Jadi meriahlah negara kita dengan segala macam pekerja asing.

Baguslah begitu, kan? Barulah kena dengan tagline Malaysia Truly Asia. Macam Astro jugak, semua ada. Dengan kepelbagaian bangsa, budaya, bahasa, adat resam, dan sebagainya, maka kita dapat merasai sendiri kepelbagaian tadi.

Untunglah, kan?

Cuba kita toleh dan jeling-jeling ke negara lain pula. Kita tengok negara Jepun contohnya. Ada pernah nampak rakyat asing seperti Bangla, Indon atau Nepal, dan sebagainya jadi tukang cuci atau tukang sapu sampah di jalanan? Tak nampak, bukan? Bukannya langsung tak ada, namun ia sangat sedikit, jadi jarang-jaranglah kita dapat tengok.

Jepun ni sebolehnya setiap kerja daripada paling kecil hinggalah kepada yang paling besar dilakukan sendiri oleh rakyat tempatan. Tukang cuci tandas orang dia, tukang lap kerusi kereta api pun orang dia, yang berjualan di kedai, gerai, restoran, supermarket, dan sebagainya pun orang dia, dan yang jadi CEO syarikat multinasional pun orang dia juga.

Rugi tak?

Rugilah Jepun kerana tidak dapat khidmat buruh yang murah, selain dapat melihat cara hidup dan budaya rakyat negara asing. Orang Jepun kena terbang ke Indonesia, Nepal, Vietnam, dan Bangladesh untuk melihat cara hidup, budaya, dan adat resam warga asing.

Di Jerman juga begitu, jarang dapat melihat warga asing bekerja di sektor tersebut. Walaupun ada tenaga kerja asing dari negara Eropah Timur yang bekerja di Jerman, namun jumlahnya tidaklah seperti di Malaysia.

Kerja-kerja renyah dan berat seperti menjadi tukang sapu, tukang cuci, buruh di tapak pembinaan, mengangkut sampah, dan sebagainya, kebanyakannya masih lagi dilakukan oleh warga Jerman sendiri. Walaupun masih boleh nampak warga imigran yang bekerja seperti tukang sapu atau tukang cuci dan buruh binaan, namun ia tidaklah seramai di negara kita yang mana pekerjaan seperti itu didominasi hampir sepenuhnya oleh warga asing.

Rugilah Jerman kerana tidak dapat menjadi tuan besar di negara sendiri. Semua kerja harus dilakukan dan tidak diberikan kepada orang lain. Tak dapatlah duduk di kedai kopi borak-borak kosong, atau merempit sepanjang malam kerana sudah penat bekerja.

Jadi kedai-kedai seawal jam 7.00 malam semua dah ditutup dan kompleks membeli-belah pun turut ditutup jam 8.00 malam bagi memberi peluang kepada orang Jerman untuk berehat. Hari Ahad langsung ditutup habis semua perniagaan kecuali yang menjual makanan, bagi memberikan rehat yang cukup kepada rakyat mereka untuk mula kembali bekerja pada hari Isnin.

Nampak tak kerugiannya di situ?

Selain kerugian dari segi ekonomi akibat perniagaan dah rugi sehari sebab wajib ditutup, mereka juga tidak dapat melihat dan belajar cara hidup serta adab resam warga asing. Nak tengok cara hidup warga asing, maka kenalah keluar duit pergi berjalan ke negara asing. Sebab itulah pelancong atau pengembara dari Jerman merupakan antara yang paling ramai di dunia.

Kan dah kena habiskan duit keluar negara melihat negara lain.

Rugi, kan?

Kita pula bagaimana?

Daripada sekecil-kecil kerja sehinggalah ke paling besar pun kita gajikan warga asing sahaja. Jadi kita boleh relaks sikit dan kerja yang best dan tak memenatkan sahaja. Segan juga kalau orang kampung nampak kita jadi tukang cuci kat lantai KLCC atau jadi buruh binaan kat tapak projek di Segambut tu.

Itu kerja yang kecil-kecil, kerja yang besar-besar macam CEO ke pun sebolehnya kita bagi jugalah kat warga asing. Bukan apa, kita punya ilmu belum cukup lagi untuk kendalikan syarikat besar-besar tu, ya tak?

Kita tak perlu lagi ke Bangladesh, Myanmar, Nepal, Vietnam, dan sebagainya untuk melihat budaya dan cara hidup mereka. Semuanya ada di depan mata. Kita boleh lihat cara bagaimana mereka hidup di sini. Kadangkala kita sendiri rasa seperti rakyat asing di negara sendiri bilamana sesuatu kawasan didominasi oleh warga asing dari negara-negara tertentu.

Tapi tak mengapalah, mereka inilah yang membantu memudahkan semua kerja-kerja kita. Kalau mereka tak ada, maka lumpuhlah ekonomi kita. Siapa nak jadi buruh binaan? Siapa nak jadi tukang cuci jamban? Siapa nak layan kita di restoran dan seribu satu macam kerja lagi.

Kan?

Janji kita semua jadi bos dan tak perlu buat kerja-kerja yang remeh, busuk, dan memenatkan serta dipandang jijik oleh orang kita sendiri. Kita juga jadi seperti orang Itali yang mana mereka pun suka jadi tuan besar di negara sendiri. Sebab itulah kita dapat lihat ramai warga asing terutamanya dari Bangladesh bekerja dan mendominasi segala bentuk pekerjaan dan perniagaan daripada gerai menjual cenderamata, pelayan di restoran, dan pelbagai kerja di sektor perladangan dan pembinaan di sana.

Seperti di Itali, kita kekal sebagai tuan besar di tanah air sendiri.

Untunglah.

(TEASER) Untunglah Malaysia Masih Aman - Khairul AbdullahWhere stories live. Discover now