Bab 5

90 15 7
                                    



"Hai, 04!" Joseph tersenyum mesra. Kanak-kanak lelaki itu hanya mencebik. Wajahnya masih serius. Adakah lelaki itu masih belum mahu mengaku yang dia ialah Joseph?

"Sila beri tunjuk ajar Joseph." 04 menundukkan tubuhnya sedikt sebagai tanda hormat. Buat masa ini, lelaki itu ialah gurunya.

"Kamu masih ingat? Professor Alvin buat apa dekat kamu semalam?" soal Joseph ingin tahu. 04 hanya menjeling dengan penuh rasa jengkel.

"Joseph, bila kita nak mulakan!" jerit salah seorang kanak-kanak di situ. Soalan yang diajukan oleh Joseph kepada 04 tergantung begitu sahaja.

"Oh, iya. Baiklah, kita mulakan dengan seni tempur. Mula-mula saya mahu kamu semua belajar cara untuk seimbangkan tubuh agar tak mudah jatuh bila bertarung. Ikut posisi seperti saya." Joseph mula memasang kekudanya. Kakinya dibuka luas dan tubuhnya direndahkan sedikit. Kanak-kanak yang lain mengikut demonstrasi yang diajarkan oleh Joseph.

Lelaki itu berjalan dan memantau semua kanak-kanak di situ. Masing-masing hanya mampu bertahan dalam posisi tersebut sehinggalah Joseph memberi arahan baharu. Agak lama juga untuk memantau keseluruhan pelajar kerana terdapat seratus lebih kanak-kanak di situ.

Joseph agak kagum dengan disiplin yang ditunjukkan oleh mereka. Dia melihat ke arah 04 yang masih tidak berganjak dari posisi yang diajarkannya tadi. Sengaja dia membiarkan mereka duduk dalam keadaan itu dalam tempoh yang lama untuk melihat kemampuan dan stamina mereka.

Setelah setengah jam berlalu, hampir separuh daripada jumlah kanak-kanak tersebut sudah kekejangan. Ada yang pengsan kerana tidak tahan duduk begitu dalam tempoh yang agak lama. Joseph hanya mencebik. Dia melihat ke arah 04 yang masih lagi bertahan. Dahi kanak-kanak itu sudah berkerut menahan lenguh. Peluh tak usah ceritalah. Habis lencun sekitar kolar bajunya itu.

'Baik, kita lihat lagi 10 minit,' getus hati Joseph.

Setelah 10 minit berlalu, hanya 04 dan 03 yang masih lagi bertahan. Peluh yang mengalir sudah beberapa kali menyejat.

"Kamu berdua tak apa-apakah?" soal Joseph. 04 memandang tajam ke arah lelaki itu. dia hanya mendiamkan diri. Baginya, Joseph sengaja hendak menyiksa mereka! Dia tidak akan sekali-kali mengalah!

"Joseph, lama lagikah kami harus begini?" soal 03 secara tiba-tiba. Joseph tersenyum mendengar soalan tersebut.

"Ok, kita teruskan ke bahagian yang seterusnya. Kamu berdua boleh kembali ke posisi asal." Joseph menepuk tangannya sekali. Kanak-kanak lain segera bangun dan berdiri berhadapan dengan pasangan masing-masing.

'Syahid, kau harus kuat!' Joseph menggumam sendiri.

Topik seterusnya ialah cara untuk menumbuk dengan kuat dan padu. Setelah menunjukkan demonstrasi, kanak-kanak genius itu cuba untuk mengikut.

"04, cuba kamu tumbuk." Arah Joseph. Dia menyuruh kanak-kanak lelaki itu menumbuk penghadang yang disediakan. 04 segera menumbuk penghadang tersebut tanpa banyak soal.

Buk!

"Argh!" 04 melibas-libas tapak tangannya. Dia sudah yakin dengan cara tumbukannya lalu menumbuk sekuat hatinya namun begini pula jadinya.

"04, kamu belum cukup fokus sebenarnya ni. Cuba genggam buku lima kamu seperti yang kamu buat tadi." 04 yang malas untuk membantah hanya menurut sahaja. Dia menunjukkan buku limanya yang kemerahan akibat menumbuk penghadang tadi.

"Sekarang nampak tak di mana kesilapan kamu?" 04 memerhatikan buku limanya. Iya, seperti yang dikatakan oleh Joseph, dia agak kurang fokus.

"Apabila kamu menggenggam buku lima, sepatutnya kamu tidak boleh biarkan sebarang ruang udara untuk wujud di dalamnya. Masa hentaman akan meningkat dan mengurangkan daya impuls. Akibatnya, tangan kamu yang sakit tetapi tumbukan tidak pula kuat. Sebagai jalan penyelesaian, masukkan ibu jari ke dalam genggaman dan kepal sekuat hati tangan kamu." Joseph menunjukkan salah cara yang sepatutnya kepada 04. Kanak-kanak itu hanya mengangguk tanda mengerti.

ZEN: PrologWhere stories live. Discover now