"Ada perkara aku lupa hendak bertanya kepada engkau Faisal."
"Apa dia?"
"Macam mana engkau tahu semua ini?"
Faisal tersengih. Dia menoleh kepada Bakri.
"Kenapa kita hendak mencari mereka di lorong bawah tanah sebegini? Ini bukan lorong MRT yang telah lama ditinggalkan ke?" Bakri menoleh sekeliling.
Mereka berdua sedang berjalan di atas sebuah rel. Kawasan itu tersangat gelap, namun mereka berdua dipandu oleh lampu yang melekat di bawah pistol Faisal.
Faisal mendahului dengan bergerak secara berhati-hati.
Dia mengenakan jaket yang ditenun khas oleh Organisasi Hitam, organisasi yang menaunginya semasa dia masih seorang pembunuh profesional. Jaket sut itu ditenun oleh fabrik yang ringan tetapi sangat utuh, mengatasi kevlar.
Sementara Bakri kekal kasual dengan baju lengan panjang disingsing, dipadankan dengan seluar sukan.
"Organisasi Hitam bukan berada di bawah pengaruh Ryuken secara langsung. Tinggal, semua organisasi gelap yang berada di asia tidak akan sesekali berani menentang Ryuken. Jadi, tanpa ada apa-apa peraturan bertulis, setiap organisasi gelap akan tunduk kepada Ryuken."
"Jadi?"
"Antara misi yang pernah diberi kepada aku ialah menyiasat pengkalan-pengkalan rahsia milik Mitsuhide di seluruh Malaysia. Aku sangat pakar dalam kerja yang aku buat." Faisal tersengih.
Bakri bertepuk tangan. Acah-acah kagum.
Faisal tertawa. Menggeleng.
"Engkau santai sahaja ya Bakri. Ini memang kehidupan engkau, bukan?"
"Boleh dikatakan sedemikian. Aku tidak membesar seperti kanak-kanak lain. Aku dilatih oleh bapaku semenjak kecil, kemudian menjalani pembedahan untuk menjadi seorang Pemburu, seterusnya melalui misi demi misi, sebagai seteru kepada Kesatuan Pemburu."
"Engkau tidak rasa apa-apakah meragut nyawa orang lain?"
Soalan itu membuatkan Bakri terdiam sementara.
Langkahan Faisal juga terhenti.
"Kita tidak membunuh dengan membuta tuli, Faisal." Bakri mengingatkan.
Faisal menghela nafas. Bakri melangkah merapati lelaki itu.
"Dan kini kita dipertanggungjawabkan oleh Inteligen Kerajaan Malaysia, pihak berkuasa di negara ini, untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air ini, juga agama rasminya dari sebarang ancaman." Belakang tubuh Faisal ditepuk-tepuk. Seakan Bakri mahu meredakan kegelisahan yang bermain di dalam jiwa bekas pembunuh profesional itu.
Giliran Faisal terdiam. Hanya matanya sahaja yang mampu menatap wajah Bakri.
Walaupun Bakri hampir sedekad lebih muda berbanding dirinya, tetapi anak muda itu ternyata matang. Itu antara sebab mengapa mereka berdua hanya ber'aku-engkau' sahaja dalam berbicara. Dia tidak dapat merasakan dirinya lebih tua di hadapan Bakri.
Anak muda ini ternyata telah melalui satu perjalanan yang amat panjang sebagai seorang pejuang, sehingga Faisal yang lebih tua merasakan Bakri itu setaraf dengannya. Gaya pergaulan mereka tidak ubah seperti rakan karib, walhal mereka tidaklah seakrab mana. Tetapi Bakri menerimanya dengan tangan terbuka. Membantunya untuk diposisikan di atas jalan yang bermakna.
YOU ARE READING
Samurai Melayu
ActionMus'ab menyimpan kisah silam yang hitam. Sebagai algojo organisasi gelap terbesar asia - Ryuken, dia telah banyak meragut nyawa. 15 tahun yang lalu, dia dihantar pulang ke Malaysia untuk menjadi senjata rahsia bagi organisasi tersebut. Menanti untuk...