Bab 2 (01)

4.1K 186 17
                                    

Nota Penulis : Segala entri yang tersedia di sini adalah hak milik penulis sepenuhnya kecuali gambar-gambar yang diambil dari pelbagai sumber (Google, Pinterest). Dilarang sama sekali mengambil, menyunting, mencuri dan menyalin dari mana-mana bahagian entri. Tolong hargai usaha dan penat lelah cik author. Terima kasih. ❤❤

~~~

Berdebarnya dia ketika itu tuhan sahaja yang tahu. Kaki tangan menggigil, badan rasa seram sejuk seperti mahu demam. Peluh terbit satu demi satu atas dahi.

Kali pertama dia berdepan situasi begini. Takutnya itu tak ubah macam pesalah yang bakal dihadapkan ke hukuman gantung. Resah. Gelisah. Gerun sampai ke tahap kecut usus-usus dalam perut. Perasaan pun jadi tak tenteram.

Berkali-kali dia memandang pintu masjid. Tertunggu-tunggu siapa yang akan melewati pintu tersebut. Ternanti-nanti lelaki yang mengenakan baju sama warna dengan baju dipakainya.

Lebih kurang lima belas minit menunggu penuh debaran, dua orang wanita diekori seorang lelaki berbaju kemeja batik lengan pendek masuk ke dalam masjid.

Mata Dalili tunak memerhati tiga orang tersebut. Wanita pertama mengenakan dress warna coklat terang. Berselendang di atas kepala. Wajahnya serius. Langsung tak ada senyuman.

Wanita kedua pula dalam usia 40-an. Cantik dengan persalinan baju kurung moden. Juga berwarna coklat, tapi gelap sedikit dari warna baju wanita pertama tadi.

Dan lelaki yang mengenakan kemeja batik tadi paling mencuri tumpuan Dalili. Usianya terlihat dalam linkungan lewat 40-an.

Dahi Dalili berkerut. Itukah orangnya? Tapi emak kata lelaki itu umurnya 33 tahun. Yang ini dah macam rupa bapa anak lima. Umur pun langsung tak nampak dalam 30-an. Jangan-jangan dia dah kena tipu!

Pintu masjid dipandangnya lagi. Kut-kut ada orang lain yang akan masuk. Tapi tak ada sesiapa pun yang masuk selain dua wanita dan lelaki tadi.

Hamidah yang duduk sebelah Dalili segera bangun menyambut dan bersalam dengan dua wanita tersebut. Mereka bercakap-cakap sesuatu sebelum ketiganya mengekori Hamidah ke tempat Dalili duduk.

"Ini anak saya, datin."

Hamidah memperkenalkan Dalili selepas dia duduk semula sebelah anaknya itu.

"Not bad. Tak adalah hodoh mana." Selamba sahaja tuturnya.

Dalili telan liur ketika dirinya menjadi tumpuan. Atas bawah dirinya direnung. Sungguh, dia rasa sangat tak selesa.

"Salam cepat!" bisik Hamidah.

Teragak-agak Dalili menghulurkan tangan untuk bersalam. Bersambut. Tapi ketika dia menunduk untuk mengucup hormat, secepatnya pula wanita dalam usia awal 50-an itu menarik tangannya semula. Seolah tak sudi disentuh.

Dalili hanya mampu tersenyum kelat. Terusik hati? Sikit sahajalah. Tak sampai dua peratus pun.

Giliran wanita kedua pula disalaminya. Yang ini manis sahaja tersenyum. Usai bersalam, dibalas pula dengan berlaga pipi. Janggal, tapi sekurangnya Dalili lega. Tak adalah menggerunkan seperti wanita pertama tadi.

Mata Dalili berkali-kali mengerling lelaki berkemeja batik tersebut yang sedang berbual dengan tok kadi dan ayahnya Mahad. Waktu itu dia betul-betul mahu menangis. Dia rasa tertipu.

Bukan lelaki 30-an seperti yang emak sebut, sebaliknya seorang lelaki yang kelihatan seperti sudah berkeluarga. Remuk hatinya. Patutlah emak dan ayah berahsia sangat. Rupanya dia dijual kepada lelaki yang jauh lebih tua. Ya Allah... Apalah nasib dia!

"Majlis dah nak mula. Pengantin lelaki pun dah sampai," beritahu Hamidah dengan suara perlahan.

Dalili tersentak. Jantungnya berdegup laju. Tak sampai setengah jam sahaja lagi dia akan bergelar isteri kepada lelaki yang sama sekali tidak dikenalinya. Kuatkah dia untuk menghadapi semua ini?

Kepala tertunduk. Matanya terpejam rapat. Dia cuba untuk reda, tapi tetap tak mampu. Siapa sahaja yang boleh terima dalam masa singkat untuk perkara sebegini. Tak ada!

Dan... Perlahan-lahan air matanya turun ke pipi.





🌸🌸🌸🌸🌸

Nota Cinta Cik Author

TQ awak-awak yang sudi singgah sini. Jangan segan-segan nak komen dan tekan bintang tau. Ngeee~~
BTW, moga terhibur.

🌸🌸🌸🌸🌸

Tulus Aku Menikahi Dirimu [TERBIT]Where stories live. Discover now