Bab 7

2.3K 99 5
                                    

Siap mandi dan tukar pakaian, Dalili keluar dari dalam bilik bersama bakul yang penuh berisi kain kotor.

Selepas berkali-kali diajar oleh Ummar cara menggunakan mesin basuh automatik di loundry room, akhirnya dia dah pandai kendalikan sendiri.

Langkah Dalili mati ketika dia melintasi bilik Ummar. Pintu terbuka luas. Dari luar dia lihat Ummar sedang kusyuk menunaikan solat subuh.

Entah kenapa perasaannya bagai ditiup-tiup untuk terus memandang suaminya.

Bakul yang sarat dengan kain kotor diletakkan ke tepi buat sementara. Kakinya perlahan-lahan mendekati pintu bilik Ummar.

Dalili berdiri di jenang pintu memerhati setiap pergerakan suaminya. Dari mengangkat mengangkat takbir sampailah sujud terakhir.

Sedar tak sedar dia dah duduk bersimpuh di situ. Tekun memandang suaminya yang sedang berdoa. Tidak lepas-lepas pandangan Dalili walau sesaat.

Seperti ada magnet yang membuatkan dia mahu terus melihat suaminya sedang menunaikan rukun wajib itu.

Entah mengapa perasaannya terasa bagai ditekan-tekan. Berat dan menyesakkan. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak. Seolah mahu menangis.

Perasaan yang tak pernah pun dia rasai sebelum ini. Tersentuh melihat setiap pergerakan yang dilakukan oleh Ummar.

Bagaikan ada sesuatu yang mencuit tangkai hati untuk dia terus memerhati lelaki itu.

Waktu itu Dalili rasakan dirinya betul-betul hina. Terasa hidupnya begitu tak berguna. Sedangkan Ummar yang dah cukup segalanya masih tunduk pada Sang Penciptq.

Dia yang tak punya apa-apa ini pula masih lagi sombong dengan nikmat kurniaan Maha Kuasa. Kejinya dia di mata Tuhan.

Dah berbukit-bukit dosa yang ditanggung. Mungkin dah bergunung-gunung tingginya. Tapi masih sahaja dia angkuh tak mahu mengakui yang dirinya ini makhluk yang dicipta oleh Allah.

“Lili? Buat apa kat situ?”

Dalili tersentak. Sedikit terkejut. Dia mengangkat muka dari lantai. Ummar sudah pun siap menunaikan solat. Lelaki itu melipat sejadah dan diletakkan di atas satu meja di sudut bilik.

Terkocoh-kocoh Dalili bangun. Dia kembali berdiri. Berdebar-debar jantungnya, haraplah Ummar tak marah dia sebab curi-curi tengok lelaki itu menunaikan solat.

“Li… Lili minta maaf.”

Jelas kerutan di dahi Ummar. Dalili nak minta maaf untuk apa pula?

“Lili tak buat salah apa pun dengan abang.”

“Sebab Lili curi-curi intai abang solat. Lili minta maaf.” Dalili cuak. Peluh mula menonjolkan diri.

Ummar geleng, ada senyuman bergayutan di hujung bibir. Pelik dia melihat Dalili. Mudah benar ketakutan.

Sedangkan dia langsung tak marah. Dan tak ada apa yang perlu dimarahi. Dalili bukannya buat salah.

“Lili dah solat?” Lembut dia menyoal.

“Err… Be… Belum.”

“Cuti?”

Lambat-lambat dia mengangguk. Bibir diketap, terasa bersalah kerana telah berbohong. ‘Cuti’ apa pula kalau baru sahaja minggu lepas bendera Jepun berkibar.

Sebenarnya dia malu pada Ummar, malu dengan diri sendiri. Usahkan solat, sejadah pun dia tak pernah sentuh.

Sejak kecil dia tak pernah diasuh untuk menghambakan diri kepada Maha Pencipta.

Nak asuh bagaimana kalau sekali pun dia tak pernah nampak Mahad atau Hamidah menunaikan rukun wajib tersebut. Sungguh, dia terasa sangat-sangat malu.

“Abang nak makan? Lepas Lili masukkan kain dalam mesin, Lili siapkan sarapan untuk abang ya?”

Ummar menggeleng. Dia meraih tangan Dalili lalu digenggam.

“Hari ni biar abang yang masak. Asyik Lili aje yang ke dapur.”

Hampir terjatuh rahang Dalili. Betul ke apa yang dia dengar ni? Ummar nak masak? Tak tahu pula dia yang lelaki itu juga tahu memasak. Ah! Nampaknya dia sekali lagi bersikap gender racism.

“Tapi ni kerja Lili.”

“Siapa cakap?”

Dalili tersengih. Yalah, masak. Istilah masak itu sendiri dah sinonim dengan kaum perempuan. Tentulah dah menjadi tugas dia untuk sediakan makanan dalam rumah ini.

“Bukan selalu tau abang nak masuk dapur. Lili patut happy abang nak siapkan sarapan. Jangan ingat lelaki pun tak tahu masak.” Ummar angkat kening sebelah.

Dalili hanya mampu garu kepala. Dah ini rumah Ummar, siapalah dia nak menghalang. Lelaki itu boleh buat apa sahaja dalam rumah dia sendiri.

🌼🌼🌼🌼

UMMAR membuka pintu kabinet yang menempatkan pelbagai jenis sos dan kicap. Botol kicap pekat dan sos tomato dibawa keluar.

Dia menghampiri peti ais pula. Sosej serta cili kisar yang diberikan oleh Shila dua minggu lepas masih elok lagi. Bolehlah dia siapkan pasta simple pagi itu.

“Ada apa-apa perlu Lili tolong?”

Dalili yang baru turun dari tingkat atas, menghampiri Ummar. Berdiri di sebelah suaminya, sama-sama memandang ke dalam peti tempat menyimpan barang-barang basah. Tak tahu apa yang Ummar nak masak pagi itu.

“Tak apa biar abang yang siapkan semuanya, Lili duduk aje.”

Dalili garu kepala. Takkan dia nak duduk sahaja memandang suaminya bersilat di dapur? Sebaik ternampak bungkusan sosej dalam tangan Ummar, laju sahaja dia mengambilnya.

“Biar Lili tolong potongkan sosej ni. Nak potong macam mana? Serong, memanjang atau bulat-bulat?” Paket sosej dipandang.
Ummar merampas semula bungkusan sosej dari tangan Dalili.

“No. Biar abang yang buat. Khas untuk isteri abang ni.”

Ummar mengangkat dagu Dalili. Buat seketika mata mereka bertentangan sebelum Ummar melepaskannya semula. Dia tergelak kecil. Kesian pula bila Dalili dah tayang riak cuak. Tapi tak tahu kenapa reaksi Dalili begitu comel di matanya.

“Lili tunggu aje kat luar. Dapur ni biar abang ambil sekejap. Tak surpriselah kalau Lili ada kat sini.”

Disebabkan jantungnya masih berdegup laju disebabkan perlakuan Ummar tadi, laju Dalili menonong keluar. Sesak nafas dia. Setiap kali mereka bertemu mata pasti dadanya akan berdebar.

Apa tandanya? Entahlah. Dalili tak mahu tanam harapan. Kerana dia sedar perkahwinan ini wujud hanya untuk sementara.

Ummar mengeluarkan paket pasta lalu direbus. Sementara menunggu pasta menjadi lembut, Ummar mengupas bawang merah dan bawang putih. Kemudian sosej dipotong bulat-bulat.

Pasta yang telah pun lembut diangkat dan ditoskan. Ummar mengisar bawang putih dan bawang merah pula. Selesai bawang dikisar, Ummar mencapai kuali. Dipanaskan minyak.

Bawang yang telah dikisar tadi ditumis bersama cili kisar dan sedikit air. Setelah pecah minyak, giliran kicap pekat, sos tomato, potongan sosej dan kiub lembu Knor pula dimasukkan.

Akhir sekali pasta dimasukkan dan digaul sebati sehingga masak. Garam dan gula turut dimasukkan secukup rasa. Kelentang-kelentung maka siaplah pasta simple hasil air tangan Ummar sendiri.

Plate dicapai, pasta diangkat dan dibawa ke meja makan. Dalili tak ada di situ. Mungkin dah naik ke tingkat atas, sambung mencuci pakaian. Ummar bergerak semula ke dapur untuk siapkan minuman.

Selesai semuanya Ummar memanggil Dalili untuk sarapan bersama.

Ketika Dalili melangkah semula ke dapur, bau yang agak sedap kuat mencucuh deria hidunya. Terus perut Dalili diserang dengan rasa lapar.

Ummar menarikkan kerusi. “Have a seat.”

Teragak-agak Dalili melabuhkan duduk. Kali pertama ada yang masakkan untuk dia. Terharu pula Dalili rasa.

Ummar menyenduk pasta simple hasil air tangannya ke dalam pinggan. Dihulur kepada Dalili.

“Maaflah kalau tak sedap.”

Dalili mencapai garfu. Pasta dirasa sedikit. Berbintang-bintang pandangannya. Tak pernah dia makan makanan macam ini.

“Sedap.”

“Makanlah. Abang masak spesial untuk Lili.”

Ah! Dalili betul-betul rasa mahu menangis.

“Terima kasih, abang.”

Ummar tersenyum dalam hati. Suka pula dia tengok Dalili makan penuh selera. Berbaloi dia masuk dapur pagi ini.

Tulus Aku Menikahi Dirimu [TERBIT]Where stories live. Discover now